Rencana

3R Tetap Relevan Pastikan Perpaduan, Keharmonian Kaum

PERADABAN. Kata ini menurut Kamus Dewan Perdana (2021) bermaksud keadaan atau tingkat yang maju dari segi fizikal, mental dan rohani atau kata lain amat popular dan sinonim dengannya ialah tamadun.

Manusia telah menelusuri fasa-fasa peradaban yang memuncak kegemilangannya sehinggalah lebur tersungkur sama ada atas kehendak-Nya atau percaturan fitrah manusia berlumba-lumba untuk menguasai dan menawan kuasa lain.

Peradaban menjelmakan impak berkaitan kemajuan dicapai oleh manusia sehinggakan Mesopotamia, Indus, Babylon, Hwang Ho dan lain-lain telah menghasilkan nadi produk yang dimanfaatkan oleh masyarakat dunia. Pelbagai kemajuan bidang pentadbiran, ekonomi, pertanian, diplomatik, seni dan sebagainya menjadikan subjek sejarah peradaban dunia menjadi eksplorasi pengetahuan dan maklumat amat menarik dan mengujakan. Apatah lagi era kini, pendidikan dengan mudah boleh dihubungkan sama ada secara maya mahupun digital.

Sudah tentu kita juga tertanya-tanya, bagaimana manusia atau peradaban dahulu kala menentukan wilayahnya? Apa yang dinikmati oleh rakyatnya? Apa peraturan dan undang-undang mesti dipatuhi dan bagaimana tadbir urus sehingga peradaban mereka wujud sedemikian hebat? Menurut Bazrul Bahaman (2015), maksud rakyat terdiri daripada rakyat, ulama, pedagang dan hamba. Kesemua rakyat ini juga mempunyai hubungan dengan pemerintah, iaitu raja jika merujuk kepada Alam Melayu. Rakyat berfungsi sebagai entiti atau komponen penting pemerintahan untuk kemajuan peradaban, kesetiaan kepada raja memerintah juga sebagai pertahanan atau negara berdaulat.

Manusia hari ini mempunyai kedinamikan dalam mentakrif rakyat yang sama ertinya dengan warganegara. Kewarganegaraan sesebuah negara pada era kini tidak hanya difahami dengan konsep konvensional tetapi telah berinovasi dengan kemajuan teknologi, iaitu bagaimana konsep kewarganegaraan digital kini mula mendapat perhatian massa.

Kewarganegaraan digital merujuk kepada nilai menghormati, toleransi dan keselamatan serta penekanan prinsip demokratik seperti etika, undang-undang, keselamatan dan tanggungjawab yang merupakan panduan terhadap setiap perbuatan dan tindakan ketika berada dalam ruang maya. Kerangka warganegara digital oleh Ribble dan Bailey (2004) merupakan yang sistematik dalam menerangkan mengenai kewarganegaraan digital. Sembilan elemen kewarganegaraan dengan tiga prinsip utama iaitu menghormati, mendidik dan melindungi atau REP. REP membantu pelajar dan pendidik menjadi pengguna teknologi yang bertanggungjawab.

Kewarganegaraan digital bukanlah satu bentuk peraturan melibatkan hukuman semata-mata ke atas warganegara digital yang tidak bertanggungjawab, namun lebih menjurus kepada penggunaan teknologi maklumat secara berhemah. Pemahaman penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi secara meluas pada masa kini bukan sahaja untuk memenuhi keperluan profesional tetapi bagi tujuan pendidikan dan pembangunan.

Institusi pendidikan seperti sekolah dan pusat pengajian tinggi menjadi badan utama bertindak sebagai penyampai pendidikan kewarganegaraan digital kepada masyarakat. Penggunaan dan kebergantungan mahasiswa terhadap teknologi digital semakin meningkat. Maka, kesedaran dan panduan asas seperti pengetahuan, kemahiran, nilai-nilai murni serta tindakan bersesuaian dalam menangani isu etika penggunaan teknologi digital perlu diutamakan.

Pelajar dilihat lebih cenderung dan mahir terhadap akses, komunikasi, literasi serta keselamatan ketika berada dalam talian. Bagaimanapun, etika digital serta kesihatan dan kesejahteraan digital dianggap remeh dan dinilai rendah kerana pelajar tidak dapat membezakan mana betul dan salah dalam senario tertentu. Bukan sahaja golongan dewasa yang merasai kesan buruk akibat penyalahgunaan teknologi digital malahan kanak-kanak turut terpalit. Hal ini secara tidak langsung mengancam keselamatan dan kesejahteraan sesiapa sahaja dalam ruang digital.

Perkembangan teknologi terutama media sosial turut memberi pelbagai implikasi terhadap pengguna. Pembentukan norma-norma dan budaya digital perlu jelas. Perkara yang dipelajari oleh remaja dari laman media digital dianggap sebagai satu budaya untuk turut serta dalam kepelbagaian aktiviti atau trend semasa tanpa mengambil kira faktor keselamatan diri ketika berada dalam talian. Segala pencarian maklumat dalam talian mudah diakses melalui internet tanpa sempadan.

Kesedaran tidak memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan mahupun pandangan berbaur kebencian membabitkan elemen perkauman, agama dan institusi diraja (3R) dalam media sosial dan aplikasi pemesejan. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan, tindakan itu dikhuatiri boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian dalam negara. Konsep 3R tetap relevan dalam memantapkan perpaduan dan keharmonian kaum sekali gus menangani isu serta sentimen di media sosial yang boleh mengancam keselamatan negara. Konsep itu perlu difahami setiap rakyat termasuk ahli politik seiring perkembangan teknologi dan dunia digital ketika ini. Perkara seumpama ini boleh menjurus kepada fitnah sehingga boleh cetus kekacauan kerana menyakiti hati.

Kesedaran dan pengetahuan kewarganegaraan digital akan mendorong komuniti siber untuk mengamalkan adab, budi pekerti baik sekali gus mewujudkan aspirasi Malaysia Madani. Pengguna media sosial perlu mengamalkan sikap kesederhanaan ketika mengulas sebarang isu sensitif bagi memulihara keharmonian dan keamanan. Setiap catatan di media sosial adalah informasi tidak rasmi, maka pengguna perlu bijak dalam menilai kerana sebarang ulasan dan penyebaran kenyataan berunsur negatif yang boleh mengancam perpaduan rakyat berbilang kaum malah perlu dihentikan serta-merta demi kepentingan bersama.

Sumber: Utusan Malaysia, 19 Julai 2023

Profesor Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Felo MASA merangkap Pakar Psikologi Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia & Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh, Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Back to top button