Rencana

Tema Perayaan Negara Wajib Neutral

SAMBUTAN perayaan negara khususnya Hari Kebangsaan sama ada hari kemerdekaan mahupun Hari Malaysia adalah waktu seluruh rakyat dari segenap pelosok negara tanpa mengira latar sosioekonomi, perbezaan sosiobudaya dan kelainan sosiopolitik, tekad bersatu untuk mempertahan negara tercinta selain memperteguh azam mencintainya. Ini antaranya dilakukan melalui pemilihan tema untuk diangkat pada setiap tahun.

Sehubungan ini, ia harus nasionalisitik, antaranya dapat membangkitkan kebanggaan terhadap negara selain patriotik termasuklah meraih sokongan padu kepada negara untuk mempertahannya. Dalam hal ini, tema yang sama didapati diangkat berkali-kali sama ada untuk sebilangan tahun berturut-turut atau digunakan semula selang beberapa ketika. Ini kerana gagasan yang diangkat itu secara umumnya bukan sahaja sangat sesuai untuk perayaan negara sedemikian, juga amat disenangi semua pihak atas persetujuan perkara yang diangkat pada tema itu.

Namun begitu, terdapat sebilangan tema malah banyak juga yang telah menimbulkan kontroversi, yakni dipertikai pihak tertentu sehingga kekadang mencetuskan perbahasan hangat untuk mengangkat tema lain sebagai gantian di sesetengah negeri. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia memperlihat perpecahan pada kala kita semua seharusnya bersatu hati.

Hal begini berlaku apabila slogan tertentu yang menjadi tema pemerintahan kerajaan semasa ikut digunakan sama ada secara tersirat dengan mengambil satu dua perkataan sahaja, apatah lagi yang tersurat dengan menggunakan keseluruhan slogan sebagai tema perayaan negara sepenting itu, iaitu untuk menyambut Hari Kebangsaan. Sehubungan ini, perpecahan yang berlaku tidak kelihatan sangat atau langsung apabila kerajaan semasa itu mantap dari segi sokongan yang diperoleh melalui mandat rakyat. Perkara sebaliknya berlaku apabila kestabilan politik negara tidak wujud akibat sokongan rakyat yang sangat berbelah bahagi pada kadar amat signifikan.

Daripada senarai tema Hari Kebangsaan kita semenjak beberapa waktu lampau, rata-ratanya didapati bersifat neutral dengan seruan ikhlas kepada rakyat jelata untuk terus menyokong negara tercinta ini.

Bagaimanapun, tema Hari Kebangsaan didapati mula menyerupai slogan dan kekadang menggunakan sepenuhnya ketika kerajaan semasa itu tidak memperoleh mandat rakyat pada kadar yang teguh sokongannya.

Sepatutnya untuk perkara yang memang boleh menyatupadukan kita, walaupun untuk seketika dan pada perayaan itu sahaja seperti Hari Kebangsaan, kita sepatutnya tidak boleh sesekali menggunakan tema yang boleh membawa kepada perpecahan, waima sedikit pun. Ini kerana Hari Kebangsaan adalah terlalu mulia untuk dinodai dengan apa-apa jua perkara yang boleh memecahbelahkan rakyat. Dengan kata lain, tema untuk perayaan negara wajib berupa diayah negara sahaja untuk memupuk keharmonian sosial dalam kalangan rakyat.

Oleh itu, selain kita menggunakan peranti nasional, antaranya bendera negara Jalur Gemilang, Negaraku selaku lagu kebangsaan, bahasa Melayu selaku bahasa negara, tema yang diangkat itu wajib berupa gagasan kenegaraan yang neutral, yakni langsung tiada apa-apa nuansa etnisiti, agama, apatah lagi politik. Ini penting agar identiti nasional untuk negara dan identiti budaya untuk rakyat bukan sahaja terus terbina tanpa sebarang pertikaian, juga kelihatan dibina pada perayaan negara itu dengan kukuh sekali.

Dengan mengangkat tema berat sebelah, apatah lagi terang-terangan berupa slogan pihak tertentu, ia tidak mungkin boleh memperkukuh rasa keterikatan rakyat yang sepenuhnya kepada negara. Ini kerana rakyat kini sangat berbelah bahagi dari segi politik negara untuk sama-sama mendukung hasrat pada tema sebegitu rupa walaupun ia adalah untuk negara.

Sebenarnya melalui tema sesuai yang neutral sifatnya, semangat cintakan negara dapat dengan mudah dipupuk untuk dilestarikan seterusnya. Ini kerana semua rakyat akan mempunyai emosi positif yang sama atas keneutralan tema bagi sama-sama mendukung identiti nasional untuk negara dan identiti budaya untuk rakyat. Sama pentingnya dalam hal ini, rakyat akan ikut mempunyai rasa tanggungjawab terhadap satu sama lain, antaranya ekoran daripada tiadanya apa-apa yang mencurigakan pada tema melainkan menyakininya.

Dengan keadaan politik negara kini yang tidak dapat dinafikan berpecah sakan, tema neutral untuk Hari Kebangsaan adalah sangat penting. Ini kerana ia dapat mengurangkan konflik untuk seketika yang sebenarnya boleh dilanjutkan bagi rakyat terus bersatu padu. Kerajaan semasa harus berjiwa besar untuk memulakan sosialisasi melalui nilai kebersamaan pada setiap perayaan Hari Kebangsaan dengan mengangkat tema kenegaraan yang neutral.

Natijahnya, ia tidak boleh sesekali berupa slogan yang diguna pakai sebagai tema pentadbiran kerajaan semasa, waima apa-apa sekali dalilnya. Sehubungan ini, tema seperti hujan emas di negeri orang, baik lagi hujan batu di negeri sendiri walaupun berupa peribahasa lama adalah jauh lebih mudah untuk diterima daripada yang moden lagi kompleks tetapi merupakan slogan pihak tertentu. Ini kerana peribahasa itu bukan sahaja tidak berpihak, juga tidak akan menimbulkan sebarang kontroversi sebab tidak pun menyinggung perasaan mana-mana pihak khususnya yang sedang bersengketa.

Rumusan penting di sini ialah jangan kita sesekali berpolitik pada keluhuran ranah kenegaraan yang sebenarnya boleh dimanfaatkan sepenuhnya bagi tujuan penyatupaduan dan lain-lain untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Sumber: Utusan Malaysia, 18 Julai 2023

Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat MASA merangkap Felow Majlis Profesor Negara.

Back to top button