Rencana

Kerajaan Negeri Perlu Laksana Dasar Sosioekonomi Inklusif Pasca PRN

DINAMIKA landskap politik kini menuntut keterbukaan semua pihak. Dengan berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN), manifestasi sokongan pengundi dan mandat rakyat diterjemahkan melalui kertas undi, sekali gus membuktikan kesuburan amalan demokrasi serta membuka lembaran baharu dalam landskap politik tanah air.

PRN yang melabuhkan tirai adalah detik luar biasa dalam politik negara kerana julung kali berdepan PRN serentak di enam negeri di luar tempoh pilihan raya umum (PRU). Rentetan itu, pelbagai analisis dinukil penganalisis dan pemerhati politik.

Meskipun pada dasarnya status quo dikekalkan di tiga negeri, PRN ini disifatkan sebagai kemenangan moral
kepada Perikatan Nasional (PN) yang mengekalkan momentum PRU15. Ia menyaksikan PN terus melebarkan penguasaannya di Kedah, Terengganu dan Kelantan dengan majoriti lebih besar, selain trend sokongan meningkat di tiga negeri lain.

Jika jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dijadikan kayu ukur, kelebihan ternyata memihak PN pada PRN Sabtu lalu, apabila berjaya menawan 146 kerusi DUN daripada 245 kerusi dipertandingkan di enam negeri, berbanding 91 kerusi DUN pada PRU14.

Gandingan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pula hilang 46 kerusi selepas memenangi 99 kerusi DUN berbanding 145 disandang sebelum ini. Majoriti kerusi ini dimenangi PH sebanyak 80, sementara BN sekadar 19 kerusi.

Dalam konteks peratusan undi popular, kerjasama PH-BN memperoleh 49.6 peratus undi popular berbanding PN 49.3 peratus. Namun, kelebihan peratusan dimiliki PH-BN adalah marginal iaitu sekitar 0.3 peratus atau bersamaan 17,017 undi.

Analisis prestasi undi majoriti mendapati tidak kurang 26 kerusi (10 peratus) dimenangi dengan majoriti undi kurang 1,000 daripada jumlah 245 kerusi DUN.

Dari segi pola pengundian, corak tersirat PRN baru-baru ini memperlihatkan trend aliran sokongan pengundi secara keseluruhan untuk PN dan fenomena perpindahan undi merentas segmen pengundi Melayu bukan sahaja di kawasan luar bandar, tetapi melangkaui bandar dan separa bandar termasuk di Selangor.

Turut menarik perhatian apabila PN berjaya menafikan majoriti dua pertiga gabungan PH-BN di Selangor dengan meraih 22 kerusi DUN, di samping menyusup ke Negeri Sembilan dengan memenangi lima kerusi DUN dan 11 kerusi di Pulau Pinang. Keupayaan PN untuk menembusi negeri kubu PH-BN ini harus diamati.

Keputusan ini secara tidak langsung menjadi cerminan keberkesanan dan prestasi kerajaan sepanjang tempoh lapan bulan, khususnya sentimen masyarakat terhadap janji diungkapkan.

Hakikat perlu diakui PN semakin ke hadapan dan diterima baik, terutama dalam kalangan pengundi Melayu. Rata-rata juga dilihat belum benar-benar meyakini gandingan blok kerajaan PH-BN yang dibentuk sejak November lalu.

Apa yang pasti, pasca PRN menjadi detik penting kepada semua parti untuk bermuhasabah, merungkai permasalahan dan menjalankan proses bedah siasat bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan serta membuat rombakan atau pembaharuan.

Seperti kelaziman, keputusan PRN didorong pelbagai faktor penarikan dan penolakan, antaranya faktor kepimpinan, kredibiliti calon, kesalinghubungan antara pemimpin-rakyat yang boleh menjejaskan kecenderungan pengundi termasuk pengundi atas pagar.

Dari lensa demokrasi, kematangan politik membuktikan rakyat semakin sedar dan tidak kekok mengundi parti memenuhi kehendak serta menepati aspirasi mereka tanpa menabur janji kosong.

UNSUR RETORIK KECEWAKAN RAKYAT

PRN kali ini juga memperlihatkan pentingnya pengukuhan naratif ekonomi membawa mesej jelas dan konsisten terutama isu kos sara hidup. Sebarang pendekatan memperagakan unsur retorik dalam dasar ekonomi dan fiskal hanya mengecewakan rakyat.

Bahkan sindrom penafian dan intonasi kempen bersifat pembunuhan karakter terhadap pihak lawan atas dasar politik dendam juga memakan diri dan perlu dihindari sama sesekali.

Pasca PRN, dasar sosioekonomi yang inklusif dan pragmatik perlu menjadi keutamaan kerajaan tanpa meminggirkan mana-mana pihak. Maka, menjadi tanggungjawab ‘Yang Berkhidmat’ untuk melunaskan tanggungjawab dengan menjalankan khidmat politik di kawasan demi manfaat rakyat.

Persidangan DUN bakal menyusul menjadi medan kepada wakil rakyat berpengalaman dan baharu untuk menggalas amanah sebagai jurucakap rakyat. Ruang demokrasi ini harus dimanfaatkan sepenuhnya, sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang untuk menyumbang idea, menegur kepincangan serta bertindak sebagai semak dan imbang efektif dalam pentadbiran negeri.

AUTONOMI ‘BAWAH KE ATAS’

Di peringkat makro, autonomi menerusi pendekatan bawah ke atas juga wajar diberi kepada kerajaan negeri tanpa mengira fahaman politik. Langkah ini penting dalam mencorakkan perancangan hala tuju serta memacu pemulihan ekonomi negeri bagi memastikan tiada golongan terpinggir.

Pengagihan peruntukan yang adil dan saksama berlandaskan Perlembagaan amat penting memandangkan setiap negeri memiliki sumber dan keunikan masing-masing ke arah merealisasikan potensi sebenar ekonomi negeri di samping mewujudkan persaingan sihat merentas wilayah.

PRN ini turut memberi bayangan mengenai hala tuju parti politik. Bagi PH, DAP terus menjadi penyumbang utama di kawasan majoriti bukan Melayu apabila memenangi semua kerusi ditandingi kecuali di DUN Derga, Kedah.

UMNO mengharungi prestasi kian merosot, amat berbeza seperti ketika PRN Melaka dan Johor sebelum ini, sementara usaha mencetus kuasa ketiga Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) gagal membuahkan hasil.

Sebagai langkah ke hadapan, kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya dijangka memberi implikasi terhadap pola pengundian menjelang PRU akan datang. Proses persempadanan semula bahagian pilihan raya di Sarawak dijangka berlangsung tahun ini, disusuli Sabah pada 2025 dan negeri Semenanjung pada tahun berikutnya.

Justeru, kerajaan perlu memastikan sinergi pemegang taruh dengan pembabitan semua pihak berkepentingan dalam usaha mewujudkan mekanisme persempadanan semula kawasan pilihan raya secara adil berdasarkan prinsip dan tatacara persempadanan sedia ada.

Pada masa sama, literasi politik dalam kalangan pengundi muda harus diberi lebih penekanan mengambil kira peratusan keluar mengundi belia masih rendah, seperti penerapan elemen berteraskan kenegaraan dan politik seawal prasekolah untuk memberi pendedahan kepada mereka mengenai hak dan tanggungjawab sebagai rakyat serta pengundi.

Apa yang penting keputusan PRN menyentuh kepercayaan dimandatkan rakyat perlu ditunai dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin ke arah memastikan kesinambungan agenda kemakmuran negara, sekali gus memangkin perubahan positif demi kesejahteraan rakyat serta membela nasib rakyat setempat.

Sumber: Berita Harian, 18 Ogos 2023

Sim Why Jean, Penganalisis Penyelidikan, MASA & Lili Fariza Ariffin, Pengurus Program, MASA

Back to top button