Berita & Pendapat

Jangan Tambah Hutang, Utamakan Belanja Keperluan Asas

KUCHING: Beri keutamaan kepada keperluan asas dan tangguhkan perbelanjaan yang kurang diperlukan, kata Datuk Dr Madeline Berma.

Felow Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA) itu berkata, ini bagi mempersiapkan diri menghadapi ekonomi yang dijangka sangat mencabar menjelang tahun 2023.

“Malaysia merupakan sebuah negara ekonomi terbuka.

Ertinya, kita mudah terkesan dengan apa yang berlaku di peringkat antarabangsa.

“Melihat kepada dua perkara perang Rusia dan Ukraine serta dasar sifar Covid-19 China.

Ia bakal meninggalkan kesan terhadap ekonomi dunia.

“Oleh itu, kita perlu menyediakan payung sebelum hujan, dengan membuat simpanan wang dalam tempoh keadaan ekonomi semasa,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Menurutnya lagi, masyarakat perlu membuat pilihan yang betul dengan mengutamakan keperluan berbanding keinginan memiliki benda baharu – yang boleh memberi kesan kewangan kepada seseorang.

Tambahnya, orang ramai perlu menyedari hakikat bahawa keadaan ekonomi amat mencabar pada tahun hadapan, justeru lebih baik membuat tabungan terlebih dahulu.

Katanya, elakkan membeli barangan secara kredit dan cuba tangguhkan untuk menambah hutang baharu seperti kereta dan sebagainya.

“Besar kemungkinan subsidi akan dikurangkan dan bertumpu kepada golongan bersasar sahaja, pada masa sama berlaku kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Apabila subsidi dikurangkan, sudah tentu kita akan mengalami cabaran dari segi perbelanjaan kelak.

Manakala, apabila berlaku kenaikan OPR, kadar bayaran pinjaman akan meningkat,” katanya.

Beliau menasihati masyarakat untuk menumpukan perbelanjaan kepada perkara utama sahaja buat masa ini seperti pendidikan, kesihatan dan keperluan asas.

“Bagi perbelanjaan benda yang kurang diperlukan, cuba tangguhkan,” tegasnya.

Sumber: https://sarawakvoice.com/2023/01/02/jangan-tambah-hutang-utamakan-belanja-keperluan-asas/

Back to top button