Belanjawan 2023 Tidak Santuni Golongan Rentan Di Sabah
Oleh Prof. Madya Datuk Dr. Ramzah Dambul, Felo Institut Masa Depan Malaysia (MASA)
BELANJAWAN 2023 yang dibentangkan perdana menteri baru-baru ini menarik perhatian banyak pihak berkepentingan termasuk rakyat biasa.
Pembentangan tersebut turut mengundang minat yang tinggi di seluruh negara, memandangkan ini merupakan alternatif baru kepada belanjawan kerajaan sebelumnya, yang tidak sempat dibahaskan dan diluluskan pada sidang Parlimen.
Secara dasarnya, belanjawan berjumlah RM388.1 bilion ini disambut baik oleh semua pihak kerana sifatnya yang begitu manusiawi.
Belanjawan ini memberi penekanan terhadap isu terangkum, reformasi institusi dan urus tadbir serta mengimbangi keadilan sosial.
Namun demikian, jika ditilik dengan lebih mendalam, naratif tunjang yang memandu belanjawan ini masih bersifat status quo, mengulangi formula lama sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan pada awal 1970-an.
Persoalan pokok kekal berkisar pada usaha merapatkan jurang sosioekonomi penduduk, yang ketika ini dirujuk sebagai kelas masyarakat B40, M40 dan T20.
Apakah natijah daripada naratif lama ini? Kaedah agihan belanjawan yang bakal dirangka oleh pembuat dasar dan birokrat tinggi kerajaan — pastinya masih lagi bertunjang utama kepada usaha menangani jurang masyarakat.
Tiada masalah dengan pendekatan ini kerana jurang kasta ekonomi dalam masyarakat memang perlu ditangani.
Namun, kaedah ini tidak mampu membawa nilai tambah dan pembaharuan dalam menangani permasalahan jurang ekonomi antara wilayah. Kita memang sentiasa menyedari kewujudan jurang kelas ekonomi yang melibatkan golongan rentan.
Namun begitu, kita barangkali kerap alpa bahawa fenomena wilayah rentan juga wujud di Malaysia, yang tidak pernah disisipkan secara tersurat dalam banyak naratif nasional.
Bayangkan cabaran yang perlu diharungi oleh golongan rentan di wilayah rentan seperti Sabah. Sudah tentu darjah kerentanannya adalah dua kali ganda berbanding di Semenanjung.
Memang benar, wilayah Sabah ada menerima bajet khusus setiap tahun, tetapi jumlahnya cukup kerdil relatif kepada jumlah keseluruhan nasional.
Mengambil contoh, bajet yang diberi kepada Sabah dalam belanjawan 2023 adalah RM6.5 bilion, tetapi hakikatnya, jika dilihat secara timbang tara, nilai tersebut hanya 6.5% daripada jumlah bajet pembangunan negara, iaitu RM99 bilion.
Satu jumlah yang tidak mencerminkan keperluan sebenar wilayah ini yang dikatakan 30 tahun ketinggalan ke belakang berbanding Semenanjung dari segi infrastruktur asas.
Lebih memilukan dan juga ironis, sumbangan wilayah Sabah kepada hasil pendapatan negara adalah cukup besar sekali, terutama melalui sumber minyak dan gas.
Dalam merangka kaedah baru agihan dana untuk menangani jurang ekonomi antara wilayah, satu naratif baru yang lebih sejagat perlu diperkenalkan bagi menggantikan naratif lama yang tidak lagi relevan.
Jurang wilayah mesti mendahului jurang pendapatan, dalam naratif baru. Ini wajib dijadikan prinsip teras yang akan memandu para birokrat tinggi di setiap kementerian tatkala membuat pertimbangan dan keputusan yang melibatkan skema agihan bajet di lapangan sebenar.
Ramai pelaksana dasar dan pembuat keputusan sebenarnya boleh terlepas pandang pertimbangan jurang wilayah ini apabila membuat keputusan agihan.
Sebagai contohnya, bagi dana bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi pada 2022, berapa peratus yang diagihkan ke wilayah Sabah?
Pernah satu ketika, Sabah hanya menerima kurang 2% daripada anggaran kasar sejumlah RM250 juta. Adakah peratus agihan ini munasabah, sedangkan jurang di antara Sabah dan Semenanjung dalam hal ehwal penyelidikan masih begitu besar.
Begitu juga ceritanya dengan bidang dan sektor-sektor lain. Dari segi keperluan infrastruktur asas seperti perhubungan jalan raya misalnya, menurut kajian Bank Dunia, jarak perjalanan untuk sampai ke bandar-bandar di negeri Sabah, contohnya dari Kota Kinabalu ke Sandakan mengambil anggaran masa sehingga 5 jam.
Sebagai perbandingan, perjalanan dari bandar Shah Alam di Selangor untuk ke Kuala Lumpur hanya mengambil masa sekitar 2 hingga 3 jam sahaja.
Pembuat dasar yang bertanggungjawab ke atas pembangunan infrastruktur harus sedar dan cakna dengan situasi seperti ini agar agihan belanjawan yang bersasar dan menepati sasaran mampu dirangka.
Naratif baru ini sama sekali tidak bermaksud untuk menafikan keperluan bagi merapatkan jurang pendapatan dalam kalangan masyarakat, kerana isu ini juga perlu ditangani.
Naratif baru ini juga jauh sekali ingin mengabaikan keperluan negeri-negeri lain di Malaysia, akan tetapi tuntutan untuk merobohkan kesenjangan antara wilayah perlu diletak sebagai paksi utama belanjawan.
Mengapa? Kerana impak jurang wilayah sifatnya lebih sejagat, dan mudaratnya juga lebih meluas dan mendalam. Jurang pendapatan dan kelas sosioekonomi adalah subset kepada jurang wilayah.
Justeru, merapatkan jurang ekonomi antara wilayah Borneo dan Semenanjung adalah cabaran terbesar bagi gagasan Malaysia Madani yang tegar memupuk semangat terangkum dan keadilan sosial.
“If you keep doing what you’ve always done, you’ll keep getting what you’ve always got”.
Hanya melalui naratif baru pembangunan yang memberi penekanan kepada jurang ekonomi antara wilayah dapat mencitrakan strategi agihan belanjawan yang berpaksikan kepada matlamat pembangunan saksama, dan bukan sekadar sama rata.