Rencana

Bak Kut Teh Makanan Warisan Negara?

BAK kut teh, iaitu sup tulang daging, asalnya babi, berwarna seperti teh Cina yang diangkat menjadi antara makanan warisan negara, telah menimbulkan kontroversi. Ini kerana nama itu tidak dapat dielakkan daripada terkait dengan babi, haiwan larangan untuk umat Islam.

Ungkapan bak kut teh adalah daripada bahasa Cina Hokkien. Dalam bahasa ini, perkataan bak bermakna daging secara umum. Walaupun begitu, ia tetap merujuk kepada hanya daging babi sebagai kependekan ti bak.

Hal sama juga berlaku pada perkataan daging dalam bahasa Melayu. Ia yang makna umumnya adalah isi antara kulit dan tulang, ikut mempunyai maksud khusus, iaitu daging lembu sahaja.

Ini dapat dilihat pada ungkapan rendang daging yang bermakna masakan rendang daripada daging lembu. Untuk daging lain, ia diberikan nama khusus, antaranya gulai ayam dan sate kambing.

Seperti pada bahasa Melayu, untuk merujuk kepada daging lain, subetnik Cina Hokkien akan menambahkan perkataan lain, antaranya gu bak untuk daging lembu bagi tujuan kejituan makna. Jadi, perkataan bak adalah rujukan khusus kepada daging babi dalam kalangan subetnik Cina Hokkien khususnya dan seluruh etnik Cina Malaysia amnya.

Kini daging ayam digunakan untuk versi halal sup itu di sesetengah hotel. Ia diberikan nama chic kut teh dalam bahasa Inggeris yang bermakna sup tulang ayam dalam bahasa Melayu.

Sehubungan ini, ada pihak yang mahu makanan tradisional Cina yang kini diangkat sebagai warisan negara diberikan nama bak kut teh ayam.

Dalam hal ini, ia sebenarnya mengambil contoh penamaan pada beef bacon dan beef pepperoni yang selalu juga diguna pakai dalam industri makanan halal di negara ini.

Makanan bacon asalnya ialah daging babi daripada bahagian belakang dan tepi haiwan itu yang biasanya disalai. Ia dihiris nipis sebagai hidangan. Kini cara penyediaannya yang sebegitu diterapkan pada daging lembu. Maka wujudlah nama beef bacon. Kekadang ia diberikan nama beef slice, bermakna hirisan daging lembu yang sudah tentu jauh lebih sesuai di negara ini.

Begitu juga dengan pepperoni yang rata-ratanya menggunakan daging babi berempah dalam bentuk sosej. Apabila dagingnya datang daripada lembu, nama beef pepperoni pula diberikan untuk membezakannya dengan yang berdaging babi.

Dalam pada ini, bak kut teh, bacon dan pepperoni pada asalnya ialah makanan tidak halal. Dengan mengekalkan nama asalnya walaupun digunakan daging halal menerusi namanya lagi, ia masih membawa pergertian tidak halal.

Ini kerana nama makanan berdaging babi itu sebagai yang asalnya masih dikekalkan, walaupun ditambahkan perkataan lain sebagai jaminan ia halal bagi umat Islam.

MINYAK BABI

Kini banyak makanan Cina tidak halal sudah mempunyai versi halalnya. Ini berlaku setelah diusahakan Cina Muslim yang menggunakan ramuan halal agar ia dapat ikut dinikmati oleh umat Islam.

Sebagai contoh, dim sum kini menggunakan daging ayam agar juga dapat sama-sama dinikmati oleh kaum Hindu, selain umat Islam. Begitu juga dengan kuih bulan yang penggunaan minyak babi digantikan dengan minyak masak lain yang halal.

Makanan sebenarnya boleh menyatukan kita semua sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya. Namun dalam sesetengah kes seperti ini, oleh sebab nama asalnya terang-terangan merujuk kepada larangan dalam Islam yang merupakan agama negara, maka adalah baik sekali penggunaan nama asalnya dielakkan sama sekali.

Ia boleh diberikan nama baharu yang tidak sesekali menggunakan nama asalnya, walaupun akan kehilangan tujuan sebenarnya mengangkat makanan berkenaan. Sebetulnya pengekalan nama asalnya setelah ditambahkan perkataan lain didapati masih tidak mampu sepenuhnya menghapuskan tindak balas emosi bahawa makanan baharu itu sudah halal. Oleh itu, nampaknya bak kut teh ayam yang halal itu masih tidak boleh disenaraikan sebagai makanan warisan Malaysia.

Sebagai warisan negara berbilang etnisiti dan wilayah ini, makanan itu haruslah yang neutral dari segi konsumsinya, yakni dapat dimakan semua pihak tanpa was-was dari apa-apa jua sisi termasuklah nama kontroversialnya.

Untuk mengangkat bak kut teh ayam, ia didapati tidak enak pun kerana tulang pada unggas ayam yang hanya sedikit itu tidak berupaya memberi aura, yakni rasa dan kualiti tulang yang sebenarnya menjadi sari utama kepada makanan itu. Dalam hal ini, ia mungkin lebih baik jika tulang lembu yang digunakan.

Sehubungan sup tulang lembu, mungkin ada baiknya diangkat sup gear box, iaitu tulang lembu yang berketulan besar dengan nikmat rebusannya terserlah bukan sahaja daripada aura tulang itu sendiri, juga sumsum di dalam tulang.

Sup ini memang unik selain digemari orang tempatan sendiri, ia juga diminati pelancong asing. Ini kerana selain keenakannya, namanya bukan sahaja amat menawan untuk diingati, ia juga sangat tepat, iaitu sebagai kiasan saiz tulang yang besar lagi bulat dengan bekas bulat di mana terkandungnya alat transmisi kenderaan.

Apa-apa jua, sup gear box yang baharu muncul ini perlu menunggu tempoh panjang sebelum mahu diangkat sebagai makanan warisan Malaysia. Ini kerana itulah syarat utamanya, iaitu perlu berupa amalan lama sebelum sesuatu itu boleh diketengahkan dalam konteks warisan.

Selain tidak sesekali mempunyai apa-apa jua unsur tabu dari segi agama negara, ia yang memang istimewa itu boleh diangkat jika terus-terusan diminati selain menjadi kebanggaan di negara ini.

Perkara terutama dalam hal warisan negara adalah ia tidak boleh sesekali ada dampak buruk, sama ada kelihatan seolah-olah sahaja, apatah lagi yang sebenarnya kepada citra negara khususnya sebagai negara Islam atau penduduk majoriti lagi dominan ialah umat Islam.

Sumber: Utusan Malaysia, 13 Jun 2023

Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat Inastitut Masa Depan Malaysia (MASA) merangkap Felow Majlis Profesor Negara (MPN)

Check Also
Close
Back to top button