Rencana

Perdana Menteri Cina Angan Mat Jenin?

IMPIAN etnik Cina Malaysia untuk melihat ketua kerajaan dalam kalangan mereka pada satu hari nanti dalam waktu tidak terlalu lama lagi adalah bukan sahaja angan-angan mat jenin, ia langsung tidak berpijak di bumi nyata.

Ini kerana ia tidak boleh semata-mata diasaskan kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan sahaja. Ia hendaklah ikut, malah wajib didasarkan pada watak dan sikap setiap seorang etnik Cina di negara ini sebagai hasilan daripada proses pembentukan negara bangsa yang dilalui.

Hujah diketengahkan yang menyebut tentang pelantikan Barack Obama, Rishi Sunak, Thaksin Shinawatra dan Corazon Aquino sebagai ketua kerajaan yang tidak pun ditegah perlembagaan negara masing-masing memperlihat pemikiran yang amat dangkal.

Ini kerana peruntukan sebegitu wajib diimbangi dengan jiwa raga kenegaraan yang bukan sahaja amat kuat, tetapi langsung tidak berbelah bahagi ekoran hasilan proses pembentukan negara bangsa yang berjaya.

Secara umumnya, jiwa raga kenegaraan ini sebenarnya tidak berapa ada, apatah lagi yang sepenuhnya pada setiap etnik Cina Malaysia. Hal ini dapat dilihat pada sebilangan besar etnik Cina walaupun sebagai warganegara Malaysia khususnya golongan muda, masih tidak mempunyai pengetahuan baik apatah lagi penguasaan tinggi terhadap bahasa Melayu, iaitu bahasa negara ini waima setelah melalui proses pembentukan negara bangsa sejurus penubuhan negara puluhan tahun dahulu.

Pemikiran bahawa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 43 semata-mata tanpa perkiraan lain untuk melayakkan mereka daripada etnik bukan dominan di negara ini menjadi ketua kerajaan adalah bersifat rakus selain langsung tidak memahami asas kenegaraan.

Sehubungan ini, Perkara 43 itu tidak boleh sesekali dipaksakan kesahihannya atas alasan ia persetujuan sewaktu kita mencapai kemerdekaan dahulu. Justeru, ia wajib dipertahan dalam apa-apa jua keadaan untuk membolehkan pelantikan ketua kerajaan dalam kalangan etnik bukan dominan.

Seperkara penting yang dilupai malah sengaja tidak mahu disebut, etnik Cina dalam soal pelantikan ketua kerajaan ini ialah proses pembentukan negara bangsa yang bersifat asimilasi.

Ia tidak dapat disangkal sebagai asas didapati amat berjaya untuk membentuk jiwa raga kenegaraan yang bukan sahaja utuh pada setiap masa tetapi lestari dari satu generasi kepada yang kemudiannya dalam kalangan rakyat dari etnik bukan dominan.

Ini amat berlainan dengan Malaysia yang memilih bentuk integrasi yang memperlihat hasilan jauh terkebelakang. Dengan ini, jiwa raga kenegaraan yang terhasil itu didapati tidak dapat menonjolkan identiti nasional bagi negara dan identiti budaya bagi rakyat dalam kalangan warganegaranya, antaranya oleh etnik Cina.

MUSTAHIL

Sehubungan ini, etnik Cina pada umumnya didapati tidak menghayati sejarah, tradisi, pemahaman dan aspirasi, sentimen dan gagasan serta budaya sepunya daripada etnik dominan untuk ikut menganggap Malaysia sebagai tanah air bersama.

Dengan keadaan begini, amat sangat mustahil malah langsung tidak mungkin etnik Cina boleh memimpin negara ini yang bukan sahaja perlu diterima baik etnik dominan tanpa sebarang kecurigaan. Tetapi lebih penting lagi ialah pelantikan itu harus merupakan hakikat bahawa setiap seorang etnik Cina di negara ini sudah pun betul-betul mengidentifikasi dirinya pada tahap tertinggi dengan etnik dominan.

Inilah sebenarnya berlaku di merata tempat lain apabila pelbagai sosok tertentu dalam kalangan etnik bukan dominan dilantik untuk menerajui negara yang didatangi mereka. Dengan kata lain, terdapat berlakunya asimilasi penuh lagi tuntas dengan etnik dominan yang telah menjangkau ke tahap psikologi dan bukannya pada persekitaran sosial semata-mata.

Hal begini langsung tidak berlaku pada etnik Cina Malaysia yang didapati masih liat untuk berintegrasi walhal amat ringan tuntutannya berbanding dengan asimilasi yang lebih berat tagihannya. Oleh itu, adalah sama sekali tidak layak untuk etnik Cina mengimpi seorang daripada mereka patut diangkat menjadi ketua kerajaan nanti apatah lagi mendesaknya agar cepat dilakukan.

Selagi etnik Cina Malaysia tidak bersedia untuk mula berintegrasi ke dalam struktur sosial Melayu dengan ikhlas selain meluas antaranya untuk menguasai bahasa Melayu di samping yang lain-lainnya, mereka hanya mat jenin yang asyik berangan tanpa adanya sebarang usaha gigih.

Untuk merealisasikan impian ini, etnik Cina wajib berusaha untuk pertama-tamanya gigih berintegrasi ke dalam struktur sosial Melayu seperti yang dipersetujui pada Perjanjian Etnik menjelang kemerdekaan dahulu sebagai kontrak sosial yang wajib dilangsaikan. Ini amat penting bukan sahaja untuk menjadikan mereka warganegara baik tetapi yang boleh dipercayai oleh etnik dominan untuk menerajui negara ini.

Lebih afdal lagi apabila mereka sanggup berasmilasi. Ini kerana ia satu-satu caranya dan dapat dilihat pada yang berhijrah ke negara lain, antaranya Australia di mana mereka diterima oleh etnik dominan sebagai barisan kepimpinan benua itu. Justeru, untuk etnik Cina diterima sebagai pemimpin utama di negara ini, mereka wajib memiliki jiwa raga kenegaraan Malaysia yang sama sekali tidak boleh lagi dicurigai etnik dominan setelah berasmilasi sepenuh-penuhnya.

Ia harus dilakukan dengan batin mereka yang bukan sahaja sarat tetapi berlebihan dengan konsepsi dan fenomena Melayu selaku etos kebangsaan.

Inilah sebetulnya yang berlaku, iaitu asimilasi sepenuh-penuhnya oleh setiap seorang etnik Cina sebelum pemimpinnya diangkat menerajui pemerintahan mana-mana negara yang mereka diami. Ia juga wajib begini di Malaysia untuk merealisasikan impian etnik Cina ini.

Sumber: Utusan Malaysia, 14 Mac 2023

Back to top button