Kemahiran Insaniah Bentuk Generasi Madani
BIASAKAH anda dengan konsep kemahiran insaniah? Sejauh mana kita memahami kemajuan serta ketekalan satu-satu peradaban dunia terkait rapat dengan paksi kemahiran insaniah? Bertanyakan kepada atma diri, sudahkah kita menjalankan tanggungjawab serta amanah? Anak-anak ibarat kain putih, ibu bapa atau orang dewasalah termasuk para pemimpin, bukan sahaja mengkhususkan kalangan guru dalam melahirkan insan warganegara yang hebat dan cemerlang serta lengkap pakej insaniahnya.
Amat-amatlah diharapkan kita tidak larut dalam ledakan atom kandungan digital yang menjurus kepada impak globalisasi dunia tanpa sempadan, dunia hanya di hujung jari. Harus kita telitikan anak-anak ini adakah memiliki kualiti kemahiran insaniah yang diperlukan? Kelak mereka akan dapat hidup dengan menyesuaikan diri kepada perubahan suasana dan rencam budaya yang cukup dinamik.
Penglibatan ibu bapa sangat penting dalam meneliti perkembangan fizikal dan emosional anak-anak dari kecil sehingga dewasa. Sudah tentu kita mendambakan penerapan nilai-nilai akhlak, jati diri dan aspek kerohanian diperkaya kerana ini adalah benteng kepada anak-anak dalam mengharungi kehidupan begitu mencabar. Anak-anak mesti dibimbing saling menghormati, berdiplomasi, berbudi bahasa dan berintegriti bukan sahaja kepada orang dewasa tetapi juga terhadap rakan sebaya sama ada secara semuka mahupun maya.
Kemahiran insaniah ini akan memberi impak kepada kecemerlangan diri, kerjaya, seterusnya citra organisasi yang membawa pemantapan sikap dan personaliti profesional. Banyak hasil kajian membuktikan latar keluarga yang memiliki insaniah cemerlang akan melahirkan generasi cemerlang. Tepatlah peribahasa ini, bapak borek anak rintik. Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi.
Model penglibatan ibu bapa oleh Epstein (2002) menggabungkan perspektif psikologi, sosiologi dan pendidikan ke atas institusi sosial bagi menerangkan dan memperjelaskan hubungan antara ibu bapa, sekolah dan persekitaran tempatan dalam bentuk integrasi. Penglibatan ibu bapa masih di tahap sederhana kerana halangan besar mereka ialah kesuntukan masa kerana bekerja. Keputusan mengenai penglibatan ibu bapa memberi implikasi kepada pihak pusat untuk meningkatkan lagi kerjasama dengan ibu bapa agar keperluan mereka difahami.
Kurikulum institusi pendidikan juga digubal agar anak-anak dapat melibatkan diri mereka dalam program dan aktiviti yang akan memperkaya serta memperutuh kemahiran insaniah. Contoh paling terdekat ialah pengalaman masa kanak-kanak kita dengan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM).
Matlamat PPM adalah untuk membina semangat kerakyatan dan menggalakkan pembangunan fizikal, mental, sosial dan semangat golongan muda supaya mereka dapat memperoleh kedudukan yang baik sebagai anggota masyarakat tempatan, kebangsaan dan juga antarabangsa. PPM turut menggalakkan ahlinya menjadi jujur pada diri sendiri serta bertanggungjawab kepada dunia sekeliling. Kejujuran satu dimensi diri yang diberikan penelitian serius oleh PPM kepada ahli-ahlinya dan sudah tentu ini bertepatan dengan konsep insaniah yang sedang kita caknakan ini.
Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diisytiharkan sebagai Presiden Agung PPM oleh pemangku Ketua Pengakap Negara merangkap Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Profesor Datuk Dr. Mohd Zin Bidin, sudah tentu amatlah besar harapan pemimpin madani ini kepada gagasan insaniah yang dirintis oleh persatuan ini.
PENGANGGURAN
Mempelajari kemahiran insaniah merupakan proses sepanjang hayat. Jika dimulakan sejak awal, kita akan dapat membantu anak-anak dalam persediaan untuk berjaya bukan sahaja akademik, tetapi juga meniti alam kerjaya dan fitrah dewasa (berkeluarga). Budaya disiplin khususnya mematuhi waktu, menyiapkan tugasan dengan peruntukan masa ditetapkan, mematuhi prosedur sekiranya tidak dapat hadir bekerja dan bekerjasama dengan rakan kerja lain, semuanya perlu didedahkan lebih awal.
Menurut Majlis Kajian Pendidikan Australia, penerapan kemahiran kepimpinan sangat penting kerana ia satu daripada kemahiran yang menjanjikan pekerjaan untuk pelajar. Siti Salbiah (2018) pula menyatakan, kurangnya kemahiran insaniah telah meningkatkan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah. Siti Saleha (2017) pula menyatakan, antara penyebab graduan sukar mendapat pekerjaan kerana tidak memenuhi keperluan majikan dari segi kemahiran lain. Kebanyakan siswazah yang tamat pengajian masih belum mempunyai kemahiran berkaitan sesuatu bidang.
Kemahiran ini amat penting untuk beberapa sebab, iaitu seorang pemimpin yang baik bukan sahaja boleh berfungsi dengan baik di dalam satu pasukan, sosok ini juga harus berketerampilan apabila diperlukan. Perkara jelik yang berlaku hari ini di mana-mana sahaja diasbabkan pincangnya gabungan kemahiran insaniah dalam kalangan masyarakat, malah graduan serta pemimpin.
Kemahiran insaniah memainkan peranan penting terhadap kebolehpasaran graduan. Tanpa menguasai kemahiran insaniah, graduan agak sukar untuk memasarkan diri mereka dan meyakinkan majikan. Majikan bukan sahaja mengharapkan graduan mempunyai kemahiran teknikal dan disiplin dalam pelbagai kompetensi, tetapi juga kemahiran tambahan dan atribut seperti kerja berpasukan, komunikasi, kepimpinan, pemikiran kritis, kemahiran penyelesaian masalah dan kebolehan mengurus (Lowden et al, 2011).
Setiap institusi pendidikan berusaha untuk meningkatkan kemahiran insaniah pelajar mereka yang diperlukan untuk sukses dalam kehidupan. Pendidikan berkualiti dalam kemahiran insaniah bergantung kepada kebolehan guru menyampaikan maklumat ini dengan cara berkesan.
Kemahiran insaniah diintegrasikan dalam kurikulum sehingga pelajar dapat mempelajarinya melalui pelajaran biasa. Pelaksanaan aktiviti kokurikulum seperti debat, sukan, kepimpinan atau aktiviti sukarelawan dapat membantu pelajar membangunkan kemahiran insaniah seperti kepercayaan diri, komunikasi dan kerja berpasukan.
Mencipta budaya pembelajaran dari Rukun Daya Cipta Madani dapat mendorong pembangunan kemahiran insaniah. Institusi pendidikan harus mencipta budaya pembelajaran yang memupuk pembangunan kemahiran insaniah. Ini termasuk menyediakan suasana pembelajaran yang menyokong, menyediakan bahan bacaan berkaitan dan memberi sokongan kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran insaniah.
Sesungguhnya apabila seseorang memahat kemahiran insaniah ini dalam diri mereka, segala onak dan duri meniti perjalanan hidup tetap dijalani dengan optimis khususnya kepada potensi dan karisma diri dan pada saat tepat insaniah akan tetap membuatkan seseorang bangkit dan kembali menyerlah. Selamat kembali ke sekolah!
Sumber: Utusan Malaysia, 9 Mei 2023