Rencana

Apa Lagi Layanan Tidak Adil Diterima Etnik Cina?

Oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA)

ISU subjek Bahasa Melayu yang rata-ratanya bukan sahaja tidak diminati tetapi juga dianggap tidak penting oleh etnik Cina sebenarnya adalah manifestasi kepada persoalan yang jauh lebih besar lagi serius, iaitu rasa tidak puas hati mereka terhadap tata kelola negara ini. Ini dapat dilihat pada tindak balas di media sosial yang secara langsung meluahkan isi hati mereka tentang rasisme dan diskriminasi etnik yang didakwa berlaku di negara ini.

Walaupun secara khusus tidak mengenai isu kebahasaan ini, luahan itu memperlihat betapa marahnya etnik Cina kepada cara negara ini diurus tadbir dari segala macam segi. Soalan daripada seorang bapa sama ada anaknya yang amat cekap berbahasa Melayu akan dilantik kelak menjadi naib canselor universiti awam dan kenyataan guru tentang anaknya yang begitu
cemerlang dalam pelajaran dengan mendapat gred tertinggi untuk subjek Bahasa Melayu tidak pun diberikan biasiswa oleh kerajaan untuk belajar di luar negara merupakan antara hamburan kemarahan itu. Ia bersifat pukul anak sindir menantu.

Sehubungan ini, rasa jengkel etnik Cina terhadap bahasa Melayu sebenarnya adalah sentimen berang mereka kepada rasisme dan diskriminasi etnik yang didakwa wujud di negara ini. Meskipun begitu, rungutan begini tidak pernah datang daripada para pemimpin Cina sendiri secara terbuka, apatah yang rasmi sifatnya, lebih-lebih lagi yang berada dalam barisan kepimpinan negara semasa walaupun pernah lantang dilaungkan mereka sewaktu belum menjadi pemerintah.

Meskipun begitu, ia sangat perlu ditelaah sedalam-dalamnya oleh kedua-dua etnik Melayu dan Cina akan kebenaran wujudnya rasisme dan diskriminasi etnik yang dituduh hadir pula secara sistematik dan institusional lagi semenjak sekian lama. Untuk ini, sudah tiba masanya etnik Cina menyenaraikan segala ketidakadilan yang dirasai mereka untuk dipastikan satu per satu akan kebenarannya.

Dalam pada ini, diyakini kebanyakan yang dirasai tidak adil itu adalah tanggapan salah mereka sahaja, sebahagian kecil mungkin benar akibat lepas pandang dan semua yang lain-lain dibimbangi akan berlaku kelak. Penyelesaian sebegini amat diperlukan memandangkan perasaan tidak puas hati itu mempunyai dampak langsung pada sumbangan optimum kepada negara daripada etnik Cina yang pada kebanyakan masanya tidak berasa gembira selain asyik berdendam.

Ini dapat dilihat pada tindak balas tidak mahu menelaah subjek Bahasa Melayu dengan bersungguh-sungguh sebagai protes terhadap tata kelola negara yang dianggap banyak tidak menyebelahi mereka. Rasa tidak puas hati inilah yang sebenarnya menghambat banyak perkara dalam proses pembentukan negara bangsa.

DEB
Sehubungan ini, rasa keterikatan kepada negara tercinta ini oleh etnik Cina sering kelihatan tidak bersifat sepenuhnya dan kekadangnya tiada langsung. Oleh itu, ia tidak boleh sesekali dibiarkan berlanjutan lagi kerana memang didapati bukan sahaja boleh terus menjejaskan keharmonian, malah kemakmuran negara boleh ikut terkesan.

Dengan ini, ia tidak boleh lagi disembunyikan sebagai tidak pernah wujud tetapi sebaliknya ditangani dengan cekal lagi tabah akan masalah negara ini yang sudah lama berlarutan selain amat runcing sifatnya. Ini kerana ia berpotensi mencetuskan perbalahan etnik yang pasti tidak akan menguntungkan mana-mana pihak melainkan banyak merugikan negara.

Untuk ini, kedudukan istimewa etnik Melayu pada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang kemudiannya diteruskan dalam pelbagai program ekonomi negara semenjak tamat pada 1990 yang selalu dirunguti etnik Cina hendaklah dimuktamadkan tujuan keberadaannya secara harmoni melalui perbincangan hati ke hati. Ini penting sekali agar emosi negatif dirasai sebelum ini dapat digantikan dengan yang positif setelah mereka memahami kebenarannya bahawa ia merupakan tindakan a rmatif untuk kelompok tercicir dan bukannya sesekali bersifat rasisme dan diskriminasi etnik, apatah lagi yang sistematik selain institusional seperti yang disalah tanggap itu.

Peningkatan populisme Islam, iaitu pendekatan penggunaan ideologi Islam yang didakwa berlebihan sehingga meliputi kehidupan mereka yang bukan Islam adalah tanggapan lain yang perlu menjadi topik penting dalam perbincangan dari hati itu. Dakwaan tiadanya toleransi terhadap agama lain ekoran pendekatan ini bukan sahaja tidak benar, malah hendaklah diperbetul secara pasti untuk tidak diungkitkan lagi.

Sehubungan ini, pelbagai program pengislaman di banyak institusi awam haruslah tidak ditanggapi sebagai semata-mata mahu menyekat hak perlembagaan mereka yang bukan Islam, tetapi untuk mensyiarkan etos Islam dalam bentuknya selaku agama terutama di negara ini.

Tanggapan wujudnya legasi rasisme dan diskriminasi etnik di negara ini perlu juga dinoktahkan segera menerusi keazaman politik luar biasa bersekali dengan segala keikhlasan pada kedua-dua etnik Melayu dan Cina yang didapati saling mencurigai semenjak zaman penjajahan.

Untuk maju ke hadapan, marilah kita buang yang keruh dan ambil yang jernih dengan sama-sama berusaha untuk terus membentuk Malaysia progresif yang selama ini disemai nilai keterangkuman dan keadilan untuk dikecapi oleh semua etnik. Apa-apa yang ditanggapi kurang hendaklah ditangani secara langsung pada isu itu sahaja dan bukan sebaliknya seperti sengaja tidak mahu mengambil berat tentang bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara.

Dengan ini, tanganilah segala kekurangan hubungan Melayu-Cina dalam hal sosiopolitik, sosioekonomi atau sosiobudaya secara intrinsik, iaitu pada perkara itu sendiri sahaja dan tidak sesekali cuba dan sengaja pula mahu dikaitkan dengan perkara lain yang langsung tiada kaitan dengannya.

Sumber:https://www.utusan.com.my/rencana/2023/02/apa-lagi-layanan-tidak-adil-diterima-etnik-cina/

Back to top button