Rencana

Padu, Sepadu Dan Satu Padu

PERPADUAN negara yang secara puratanya hanya berada pada tahap sederhana untuk sekian lama seharusnya dapat dipertingkat dengan lebih baik lagi oleh kerajaan perpaduan sebagai pemerintah semasa. Ini kerana tema perpaduan bukan sahaja menjadi visi utamanya, ia juga merupakan misi khas kerajaan perpaduan.

Dengan ini, banyak polisi, program dan aktiviti sama ada berbentuk sosiopolitik, sosioekonomi mahupun sosiobudaya hendaklah digerakkan dengan lebih giat lagi untuk mencapai tahap terbaik, iaitu satu padu.

Mengikut naratif rasmi oleh Kementerian Perpaduan Negara, perpaduan negara pada tahap sederhana kini adalah peningkatan dari tahap sebelumnya yang hanya memperlihat rakyat pelbagai etnik berusaha untuk bergaul bagi bergabung sebagai satu unit. Setelah mengambil tempoh tertentu, kini perpaduan negara dikatakan meningkat ke tahap yang menyaksikan usaha percampuran untuk bergabung menjadi satu unit itu adalah umumnya telah menyeluruh.

Tahap seterusnya yang sangat ingin dicapai adalah peningkatan paling maju, yakni percampuran yang betul-betul menyeluruh sifatnya sebagai gabungan bukan sahaja sudah utuh tetapi akan lestari sebegitu.

Sehubungan ini, perpaduan negara dilihat sebagai proses yang terdiri daripada tiga tahap pembangunan dengan yang pertama pada beberapa waktu dahulu sebagai usaha bercampur untuk bergabung menjadi satu. Ia kemudiannya diikuti oleh hasilan yang umumnya menyeluruh selain sebati sifatnya dari segi percampuran untuk tujuan penggabungan sebagai satu.

Selanjutnya yang sangat-sangat mahu dicapai sebagai perpaduan negara terunggul ialah percampuran rakyat pelbagai etnisiti yang benar-benar sudah menjadi satu unit utuh yang berkekalan. Dengan pengertian lain, pernah wujud pada satu ketika dahulu khususnya sewaktu baharu menubuhkan negara tercinta ini, rakyat berlainan etnisiti mula berkenalan untuk menjadi mesra sebagai sama-sama warganegara.

Sesudah itu berlaku, rakyat sebagai sesama warganegara didapati mula bersatu sehingga kini tetapi pada tahap sosial sahaja. Untuk perpaduan negara terjamin utuh dan lestari selama-lamanya, ia wajib beralih dari tahap sosial kepada tahap psikologi untuk mewujudkan keadaan percampuran yang penggabungannya memang sudah benar-benar dan telah pun menjadi satu unit utuh.

Selain sebagai proses, perpaduan negara juga dilihat sebagai sistem. Dalam hal ini, sebilangan unsur didapati bukan sahaja saling berkait antara satu sama lain tetapi juga kesemuanya didapati bertindak mangkus sebagai satu keseluruhan. Unsur itu ialah entisiti, agama, gender, bahasa, pendidikan, kelas sosial, generasi dari jurang, politik khususnya hubungan kerajaan pusat dengan negeri atau wilayah, ruang antara bandar dengan luar bandar serta media.

SETUJU UNTUK TAK SETUJU

Sehubungan ini, kesemua 10 unsur sebagai satu sistem hendaklah ditangani dengan penuh hemat selain bijaksana sama ada pada setiap satunya, pertentangan antaranya atau kesemuanya sekali gus agar ada persetujuan sebulat suara oleh rakyat jelata ataupun setidak-tidaknya dengan penuh toleransi sesama mereka.

Sebagai contoh, walaupun pendidikan vernakular dipercayai banyak pihak sebagai liabiliti kepada sistem pendidikan kita untuk perpaduan negara antaranya dari segi identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat, ia masih terus dibenarkan wujud atas dasar toleransi yang kekadang disebut sebagai kesediaan bagi ‘bersetuju untuk tidak bersetuju.’

Naratif rasmi tentang perpaduan negara juga ikut dibicarakan dari segi prosedur. Untuk itu, ia melibatkan pelbagai bidang, saluran dan yang seumpamanya untuk berperanan sebagai tapak perpaduan.

Sehubungan ini, pendidikan adalah sebaik-baik bidang untuk memupuk dan melestarikan perpaduan negara yang utuh dan lestari.

Untuk ini, kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan hendaklah memanfaatkan sistem kini untuk memastikan perpaduan negara bukan sahaja dapat terus bertahan pada tahap sosial tetapi berikhtiar mempertingkatnya ke tahap psikologi agar lebih cemerlang lagi. Ini wajib dilakukan kerana pendidikan adalah antara tapak perpaduan yang paling efektif.

Selain ini, sukan adalah bidang lain yang berpotensi tinggi untuk melipatgandakan kala perpaduan yakni detik pencetusan semangat bersama dan kesetiakawanan sebagai satu unit dalam kalangan rakyat yang didapati amat penting dalam usaha memupuk dan melestarikan perpaduan negara utuh yang berterusan. Ini kerana sukan mempunyai kuasa untuk membawa rakyat yang berlainan etnisiti untuk bersama-sama. Ini dapat berlaku melalui interaksi sesama pemain dan peminat serta masyarakat umum untuk menuju ke arah yang sama antaranya kemenangan untuk pasukan negara.

Sebenarnya naratif rasmi tentang perpaduan negara ini sudah lama didendangkan. Namun, ia tidak menampakkan kesan nyata dalam memperbaiki hubungan etnik untuk memperlihat adanya peningkatan yang maju sifatnya sama ada ditanggap secara umum mahupun diukur secara jitu. Ini kerana pemerintah sebelum ini tidak mempunyai matlamat sosial ini sebagai mauduk utama pada urus tadbirnya.

Dalam hal ini, nilai kebersamaan yang diangkat itu walaupun ada kaitan dengan usaha mencapai tahap satu padu, ia didapati tidak terserlah secara langsung seperti yang ada pada pemerintah kini pada namanya sebagai kerajaan perpaduan. Dengan ini, kerajaan perpaduan wajib mempertingkat usahanya untuk mencapai tahap satu padu dengan piawai tinggi.

Dengan kata lain, ia tidak boleh hanya mempertahan tahap semasa agar tidak merosot kepada tahap sebelumnya untuk rakyat pelbagai etnisiti berpadu semula untuk menjadi sepadu. Sebaliknya, ia wajib melonjakkan tahap sosial sepadu kini ke tahap psikologi satu padu sebagai legasinya.

Sumber: Utusan Malaysia, 7 Mac 2023

Back to top button