Bincang Juga Perpaduan Semasa Sambut Hari Guru
TAHUN ini merupakan sambutan hari guru ke-52 setelah bermula pada 1972. Selama tempoh setengah abad ini, pelbagai tema dipilih yang kesemuanya bertujuan memartabatkan ikhtisas perguruan. Sehubungan tema ini, terdapat banyak daripadanya menyentuh kerjaya ini secara langsung. Antaranya Peranan Guru dalam Pembangunan Negara untuk julung kalinya dan Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan pada 1992.
Ada juga tema sama yang diangkat semula. Antaranya Guru Berkualiti Aspirasi Negara (2002, 2003) dan Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara (2011, 2012). Sehubungan tema sama ini, Guru Pembina Negara Bangsa diangkat sebanyak empat kali. Pusingan pertama pada 2009 dan 2010, keduanya pada 2016 dan 2017.
Tema yang menyentuh ikhtisas ini pula secara tidak langsung, antaranya Pendidikan Teras Nasionalisme (1986) serta Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan (1995). Dalam hal tema ini, apa-apa jua diangkat pada sesuatu masa itu sebetulnya adalah perkara penting menjadi topik perbincangan umum yang boleh dikaitkan dengan bidang pendidikan. Dengan ini, temanya memperlihat golongan guru ikut dilibatkan untuk menjayakan sesuatu, antaranya dasar kerajaan semasa.
Hari Guru di negara ini disambut pada setiap 16 Mei kerana pada tarikh itu dalam 1956, Penyata Pendidikan Razak diterima sebagai Dasar Pelajaran Negara yang kemudiannya sehingga kini merupakan inti pati utama kepada Akta Pendidikan Negara 1996 dan sebelumnya pada 1961, selain Dasar Pendidikan Kebangsaan kita. Antara inti pati itu ialah bahasa Melayu selaku bahasa negara adalah bahasa perpaduan selain penggunaan kurikulum kebangsaan untuk tujuan pembinaan jati diri kebangsaan.
Hasrat untuk melakukan penyatuan linguistik melalui bahasa negara ini bukan sahaja bestari untuk perpaduan negara, iaitu hubungan etnik yang baik di Semenanjung khususnya dan integrasi nasional, yakni hubungan erat antara tiga wilayah yang membentuk Persekutuan Malaysia. Ia sesunguhnya visi unggul negara majmuk dari segi etnisiti yang pelbagai dan kewilayahan berbeza sejarah pembentukan, pertumbuhan kependudukan dan realiti sosiobudaya.
Selain menggarap tema berbeza saban tahun, antaranya mengikut perkembangan sosiopolitik semasa negara, sambutan hari guru hendaklah juga memberi tumpuan istimewa kepada hasrat penyatuan linguistik ini. Ini kerana ia merupakan kehendak utama dalam bidang pendidikan yang terkandung dalam Penyata Pendidikan Razak 1956 itu. Dalam pada ini, ia terus-terusan ditegaskan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan kita, khususnya melalui Akta Pendidikan Negara 1996, iaitu pada Perkara 17. Malah penyatuan linguistik ini juga diangkat dalam Dasar Perpaduan Negara 2021 sebagai antara tapak utamanya.
Daripada tinjauan awam, tahap perpaduan negara kita khususnya di Semenanjung adalah sederhana sahaja. Malah ia disebut sebagai wujud dalam bentuk kesepaduan sahaja, yakni belum pada dan jauh lagi daripada tahap perpaduan utuh dalam erti kata sebenar-benarnya. Oleh itu, tahap sederhana ini harus bukan sahaja ditangani secara serius untuk dipertingkat, ia juga penting diperbaiki agar tidak terus berlarutan setelah sekian lama kita menubuhkan negara dan membina negara bangsa.
KONKRIT
Sehubungan ini, ia hendaklah diteliti dengan sehemat-hematnya untuk bukan sahaja memikirkannya secara serius, ia juga amat diperlukan untuk kita melakukan sesuatu sebagai langkah konkrit seterusnya. Ini kerana tidak dapat disangkal lagi oleh mana-mana pihak bahawa kita telah gagal dalam hal penyatuan linguistik ini. Dalam keadaan begini, amat tidak wajar lagi untuk kita terus-terusan mengelak daripada berbicara tentangnya sedangkan ia memang membawa kemudaratan dalam erti kata sebenar-benarnya kepada negara.
Ini kerana negara yang rakyatnya tidak memiliki satu bahasa benar-benar dikongsi bersama, yakni mengetahuinya selain memiliki penguasaan baik untuk menggunakannya sebagai pertama-tamanya wadah perpaduan negara dan saluran integrasi nasional. Realiti satu bahasa dikongsi bersama ini adalah sangat penting dan hendaklah dipupuk semua warganegara pada setiap generasi dengan jayanya menerusi bidang pendidikan. Ia yang dilakukan dengan jayanya di segenap pelosok dunia hendaklah dipastikan juga berhasil di negara ini.
Penggunaan satu bahasa ini yang sudah tentu bahasa Melayu atas dasarnya sebagai bahasa negara kita, sesungguhnya dapat memberikan rasa kekitaan kepada setiap warganegara tanpa mengira etnisiti dan kewilayahan. Cara begini terbukti di merata tempat di dunia termasuklah yang didatangi kelompok bukan asal untuk terus bermastautin di sana. Sehubungan ini, Malaysia yang ikut didatangi kelompok bukan asal sepatutnya juga berjaya dalam hal ini setelah sudah begitu lama tempohnya.
Namun, hakikatnya ia gagal di Malaysia. Ini kerana antaranya kita tidak berjaya menjadikan perkongsian bahasa Melayu yang ikhlas betul-betul berlaku pada semua khususnya mereka bukan kelompok asal untuk benar-benar menghayati gagasan sama, iaitu penggunaan satu bahasa sahaja, lebih-lebih lagi dalam kehidupan nasional selain untuk urusan rasmi negara. Sebenarnya penggunaan lebih daripada satu bahasa dalam konteks kehidupan nasional didapati sukar menyatukan rakyat dengan sebaik-baiknya. Ini kerana hanya satu bahasa yang dikongsi bersama itu sebenarnya adalah alat penyatuan paling berkesan setelah wujud kepelbagaian bahasa dalam kehidupan komuniti masing-masing. Oleh itu, adalah penting sekali agar realiti perkongsian hanya satu bahasa ini direalisasikan segera setelah tertangguh sekian lama di negara ini.
Negara yang membenarkan penggunaan banyak bahasa dalam kehidupan nasional rata-ratanya didapati kurang berjaya dalam hal penyatuan linguistik khasnya dan perpaduan negara amnya. Ia berlaku dan terbukti di Malaysia dan hendaklah ditangani segera sebelum nasi menjadi bubur.
Sumber: Utusan Malaysia, 16 Mei 2023
Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat Inastitut Masa Depan Malaysia (MASA) merangkap Felow Majlis Profesor Negara (MPN)