Rencana

Ekonomi Digital Lahir Belia Berkemahiran Tinggi

GOLONGAN belia masih dilema dalam memasuki alam pekerjaan terutama sektor berkemahiran tinggi. Ini kerana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang disediakan adalah terhad dalam pasaran buruh domestik.

Data Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan menunjukkan hanya 127,000 pekerjaan berkemahiran tinggi ditawarkan, manakala 224,000 graduan memasuki pasaran buruh setiap tahun. Keadaan ini mewujudkan persaingan tinggi untuk menceburi bidang pekerjaan berkemahiran tinggi di negara ini.

Cabaran utama dihadapi golongan belia ialah ketidaksepadanan permintaan industri dengan penawaran buruh mahir. Ini kerana pasaran buruh kini hanya tertumpu kepada pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah. Ini dapat dilihat apabila berlaku lambakan graduan universiti menceburi ekonomi gig. Contohnya, mereka menjalankan pekerjaan e-panggilan (e-hailing) sebagai penghantar makanan untuk sumber pendapatan.

Menurut Judith A. Chevalier, Profesor Kewangan dan Ekonomi di Sekolah Pengurusan Yale, pekerjaan e-panggilan menjadi tarikan belia berikutan sistem yang fleksibel dan tidak terikat dengan persekitaran pejabat. Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun mencatatkan penurunan kecil kepada 11.3 peratus pada Februari lalu berbanding 11.5 peratus (Januari 2023). Statistik ini mungkin juga disebabkan penglibatan aktif golongan belia dalam ekonomi gig.

KETIDAKTENTUAN EKONOMI GIG

Menurut Arne L. Kalleberg, Profesor Sosiologi di University of North Carolina, pekerjaan gig tidak digalakkan untuk dibuat sepenuh masa. Ini kerana sifat pekerjaan ini yang tidak menentu dan tidak melindungi kebajikan pekerja dalam jangka masa panjang. Ini dapat dilihat apabila ia mendapat sambutan tinggi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19.

Kini, orang ramai kurang mendapatkan perkhidmatan itu susulan negara berada di fasa endemik yang membolehkan mereka kembali menjalani kehidupan normal. Ini sekali gus menjejaskan pendapatan dan memaksa mereka untuk menganggur atau mencari pekerjaan baharu.

Golongan belia berkemahiran tinggi juga menghadapi kesukaran untuk meningkatkan nilai tambah dalam diri mereka apabila menceburi bidang e-panggilan. Ini kerana keperluan dalam pekerjaan ini di bawah tahap kemahiran dimiliki mereka.

Ini akan mewujudkan situasi guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran dalam kalangan belia (SRU).

menyediakan peluang pekerjaan mengikut kelayakan graduan universiti.

Secara tidak langsung, ini dapat menarik lebih ramai graduan untuk bekerja di luar negara yang memenuhi tahap kemahiran dimiliki mereka. Menurut Bank Dunia, jumlah rakyat Malaysia berkemahiran tinggi menetap di luar negara meningkat tiga kali ganda khususnya untuk bekerja di Singapura atau negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). Natijahnya, ini akan mewujudkan perhijrahan cendekiawan yang mendatangkan kerugian dalam produktiviti negara.

LONJAK PEKERJAAN BERKEMAHIRAN TINGGI

Bagi mengatasi cabaran ini, ekonomi digital dilihat mampu memberi alternatif kepada golongan belia untuk menceburi bidang pekerjaan berkemahiran tinggi. Ekonomi digital mula mendapat perhatian pada 1990-an berikutan kemajuan teknologi yang semakin canggih sejak kerajaan memperkenalkan Koridor Raya Multimedia (MSC).

Kerajaan menyediakan platform pekerjaan yang memiliki pelbagai maklumat berkaitan ekonomi digital seperti MYFutureJobs, JobStreet dan Fastjobs. Ini bertujuan memudahkan capaian maklumat sekali gus menarik minat belia menceburi pekerjaan dalam ekonomi digital terutama graduan universiti.

Penyertaan golongan belia dalam industri digital dapat meningkatkan nilai tambah dalam diri mereka. Ini kerana mereka dapat meningkatkan kemahiran teknikal dan kemahiran insani menerusi pekerjaan berdasarkan intensif pengetahuan dan teknologi. Ini dapat menambahkan kelebihan dalam diri mereka untuk bersaing secara sihat dengan golongan lebih berpengalaman dalam pasaran buruh. Secara tidak langsung, pelbagai peluang pekerjaan dapat diwujudkan dalam pasaran buruh yang menepati tahap kemahiran dimiliki golongan belia berpendidikan tinggi.

RANCAKKAN EKOSISTEM EKONOMI DIGITAL

Selain itu, ekosistem digital dalam ekonomi gig mula diterima baik oleh masyarakat yang mana dapat mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara. Ini dapat dilihat melalui penubuhan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Antara program dijalankan MDEC ialah Global Online Workforce (GLOW) yang menyediakan latihan dan insentif bagi membantu karyawan bebas mendapatkan pekerjaan dalam sektor pendigitalan. Secara tidak langsung, program ini menyediakan persediaan awal kepada belia untuk menghadapi pelbagai musibah seperti pandemik Covid-19.

Program GLOW juga membuka peluang kepada pelabur asing untuk menjalankan pelaburan berteknologi dan bernilai tinggi dalam pasaran tempatan. Ini dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam ekonomi gig berkaitan teknologi digital.

Kebajikan pekerja dalam sektor ini turut terjaga dengan baik dalam jangka masa panjang berikutan permintaan tinggi mengikut persekitaran ekonomi semasa. Sehingga kini, GLOW berjaya melatih 73,198 peserta dan membantu mereka menjana pendapatan terkumpul lebih RM240 juta. Ia diteruskan menerusi program latihan karyawan bebas digital dan pekerja gig dengan peruntukan sebanyak RM3 juta di bawah Ikhtiar 7: Mengutama Agenda Digital dalam Belanjawan 2023.

Perkembangan ekonomi digital dalam negara turut membolehkan kepakaran diaspora Malaysia yang berada di luar negara diwujudkan. Pangkalan data menyeluruh berkaitan diaspora Malaysia akan dibangunkan untuk memanfaatkan bakat tersedia secara sepenuhnya dalam pasaran tempatan terutama bakat digital. Ini dapat menarik minat mereka yang bekerja di luar negara untuk kembali bekerja di Malaysia.

Kesimpulannya, kerajaan perlu giat mempromosikan ekonomi digital kepada masyarakat terutama golongan belia. Ini dapat melahirkan golongan belia memiliki kepakaran digital yang semakin diperlukan dalam pasaran buruh. Ini bertujuan meningkatkan kebolehpasaran golongan belia seiring kemajuan teknologi yang semakin pesat dan berdaya saing. Secara tidak langsung, jumlah buruh mahir dalam teknologi digital dapat ditingkatkan sekali gus pertumbuhan dalam produktiviti negara secara berterusan sehingga mencapai 3.6 peratus yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Sumber: Utusan Malaysia, 25 Mei 2023

Back to top button