Rencana

Ingatlah! Negara Ini Bertuan, Ini Negara Melayu-Islam

DENDA kerana berseluar pendek ke atas seorang peniaga wanita Cina di kedainya di Kelantan bukan sahaja mencetuskan kontroversi tentang hak asasi dan sifat kemajmukan negara ini. Ia juga mengundang polemik tentang moraliti awam di negara ini khususnya mengenai cara berpakaian sopan semasa di khalayak ramai.

Persoalannya di sini ialah moraliti, iaitu prinsip tentang perbezaan apa-apa yang betul dan salah atau lebih tepat lagi, sesuai atau sebaliknya yang dipegang seseorang. Ia wujud antaranya daripada moraliti tabii, iaitu baik buruk sesuatu yang difahami melalui pengetahuan daripada persekitaran sekeliling antaranya budaya dominan yang diamalkan. Ia juga hasilan daripada moraliti individu, yakni tara tingkah laku diterapkan oleh seseorang antaranya rasa malu dan nilai seumpamanya termasuklah kesopanan.

Selain ini, dua lagi jenis moraliti berperanan penting dalam memastikan kelakuan manusia agar berada pada landasan susila betul. Moraliti agama, iaitu fiil yang ditentukan ajaran agama sebagai yang betul lagi baik atau sebaliknya. Moraliti sosial pula ialah satu set nilai dan norma yang diwujudkan untuk mengawal tabiat sewaktu bermasyarakat.

Sepatutnya berdasarkan empat jenis moraliti ini, perkara berlaku itu tidak sepatutnya terjadi, lebih-lebih lagi dalam kalangan etnik Cina yang diuar-uarkan sebagai kelompok yang bukan sahaja berjaya berintegrasi, malah sudah berasmiliasi dengan kelompok majoriti dan dominan Melayu-Islam. Dengan terjadi insiden ini, ternyata etnik Cina Kelantan pada dasarnya tidak banyak berbeza dengan saudara Cina lain di seluruh negara. Ini antaranya dapat dilihat pada jenis bantahan dan cara penghujahan yang memperlihat mereka walaupun dijolok sebagai berjiwa Melayu daripada yang lain-lain adalah sama sahaja sikapnya dengan etnik Cina lain di negara ini.

Bantahan bahawa hak asasi bukan Melayu dan sifat kemajmukan negara dicabuli bukan sahaja keterlaluan, ia juga sama sekali tidak berasas. Ini kerana hak mutlak untuk melakukan apa-apa sahaja demi kepentingan kendiri tidak pun wujud di mana-mana, waima di negara yang lantang melaungkan kebebasan penuh untuk segenap perkara.

Walaupun negara ini majmuk sifat kependudukannya, ia tetap berteras etnik Melayu-Islam sebagai tonggak utamanya. Justeru, moraliti awam di negara ini ikut dikawal oleh Islam yang merupakan agama negara walaupun atas nama agama persekutuan.

RIMAS

Pun begitu, amalan budaya dan ajaran kepercayaan lain yang tidak bertentangan dengan warisan Melayu dan akidah Islam bukan sahaja tidak sesekali dihalang, ia ikut dimasukkan sebagai inti pati Dasar Kebudayaan Negara. Dalam pada ini, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan bahawa agama lain boleh terus dianuti dengan aman damai di segenap pelosok tanah air. Jaminan ini bukan sahaja tegas terpelihara, ia turut disokong kuat untuk amalan budaya etnik lain oleh Perkara 8 dan 11 dalam perundangan teragung negara itu.

Berbalik kepada kebebasan berpakaian ini, ia tidak dapat dinafikan menimbulkan banyak suasana tidak sopan apabila pakaian santai bersahaja antaranya seluar pendek yang didapati lebih sesuai untuk ranah riadah dan tidak formal lain dikenakan untuk ranah formal. Antaranya semasa beribadah, di wat Buddha, hadir di upacara kematian, pemujaan nenek moyang dan majlis rasmi kerajaan seperti penyampaian bantuan.

Oleh sebab kesedaran moraliti kendiri daripada moraliti tabii dan individu adalah rendah, sama sekali tidak salah untuk tujuan kesantunan awam diwujudkan etika, iaitu piawai tentang baik buruk sesuatu tingkah laku yang ditetapkan badan berkuasa bagi sesuatu keadaan sosial itu. Itulah yang sebenarnya berlaku pada kes denda itu.

Begitu juga dengan moraliti agama yang wujud melalui seruan berpakaian sopan pada setiap masa pada agama dianuti, baik Kristianiti, Taoisme atau Buddhisme, tidak diendahkan. Hal sama berlaku pada moraliti sosial yang memang diketahui wujud dan merupakan kesalahan di negeri berkenaan tetapi tidak juga dipedulikan.

Sepatutnya kelompok dan pemimpin bukan Melayu-Islam tidak perlu membantah dengan cara yang begitu agresif, seolah-olah hak asasi mereka telah dicabuli dan negara mula bertukar menjadi ultra konservatif.

Perkara yang berlaku adalah peringatan kepada kealpaaan bahawa negara ini bertuan. Ia negara Melayu-Islam. Oleh itu, mereka yang bukan asal yang mendiami Tanah Melayu ini dikehendaki menghuninya mengikut hukum tempatan. Dengan kata lain, mereka hendaklah menuruti resam di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Dengan ini, patuhilah peraturan dan adat yang diamalkan di tempat yang didiami.

Dalam hal ini, apa-apa peraturan yang dikenakan itu tidak sesekali bersifat mengongkong pada kesemua perkara. Ia menuntut hanya ranah tertentu dipatuhi melalui piawai yang telah ditetapkan untuk kebaikan bersama, iaitu khalayak terbanyak dan individu berkenaan serta etniknya bagi sama-sama menjaga kesantunan awam.

Etnik Cina juga berasa rimas melihat gejala ini apabila ada dalam kalangan mereka sendiri yang langsung tidak menghiraukan kepentingan kesantunan awam, kalau tidak pun tentang maruah kendiri. Ini dapat dilihat seketika mereka beribadah. Dengan berpakaian amat santai yang tidak sopan pula, bukan sahaja agama tertentu itu tidak dimuliakan, paderi dan saminya dipersenda dan jemaah lain diremehkan.

Sehubungan ini, ajaran Confucius sebagai tunjang utama dalam peradaban Cina dengan norma ketat untuk selalu bersifat sopan dalam apa-apa jua perkara, didapati mula dipersyaitan sesetengah etnik Cina. Inilah yang sepatutnya ditegur kepimpinan Cina dan bukannya menyerang etika untuk memelihara keharmonian sosial yang mengambil kira maruah, kehormatan diri dan reputasi semua etnik, khususnya yang majoriti lagi dominan.

Sumber: Utusan Malaysia, 4 Julai 2023

Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat MASA merangkap Felow Majlis Profesor Negara.

Check Also
Close
Back to top button