Pendidikan merupakan komponen utama dalam pembangunan individu, masyarakat, bangsa & negara. Ini selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Namun, menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, seramai 180,680 atau 48.74% pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sesi 2021 memilih untuk tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Trend ini menunjukkan peningkatan berbanding 115,939 orang pelajar lepasan SPM (atau 35.16%) pada tahun 2020. Sementara itu, menurut laporan Astro Awani (11 Jun 2023), sejumlah 14,858 atau 3.8% daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 dan mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam mata pelajaran, tidak menduduki peperiksaan. Statistik ini menunjukkan peningkatan berbanding SPM 2021 yang merekodkan 10.681 atau 2.7% calon tidak hadir daripada keseluruhan 392,837 calon yang berdaftar.
Selain itu, kajian Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) yang diterbitkan pada Oktober 2020 mendedahkan, peratusan murid menengah atas yang tidak hadir ke sekolah agak membimbangkan semasa sekolah dibuka semula selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
1 daripada 5 kanak-kanak hilang minat untuk bersekolah, 8 daripada 10 tidak mempunyai akses kepada komputer, terutama ketika PKP serta pembelajaran dalam talian menjadi cabaran utama kerana masalah kekurangan peranti yang sesuai di rumah. Walaupun hadir ke sekolah, sebilangan besar murid hilang semangat dan minat untuk belajar selepas PKP.
Bagi mengatasi isu ini, KPM telah mengambil langkah antaranya melaksanakan rancangan pembangunan jati diri dan pendidikan kerjaya di sekolah bagi meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kepentingan pendidikan. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) pula menyokong penggunaan media sosial, khususnya TikTok bagi tujuan pembelajaran bagi menarik minat para pelajar.
Persoalannya, sejauh mana langkah intervensi KPM ini berkesan dalam menangani permasalahan ini? Apakah langkah lain yang lebih proaktif bagi mengatasi masalah ini? Wajarkah penggunaan aplikasi media sosial seperti TikTok digunakan secara meluas oleh guru bagi menarik semula minat pelajar? Atau, adakah sistem pendidikan kini masih relevan bagi menghadapi cabaran-cabaran semasa alaf baru?
Oleh itu, webinar ini dianjurkan bertujuan untuk mengupas dan membincangkan permasalahan pendidikan alaf baru serta membahaskan langkah penting yang perlu diambil untuk melahirkan pelajar berkualiti tinggi di samping memperkukuhkan sistem pendidikan pada alaf kini untuk masa akan datang.
LAPORAN PROGRAM