Kaya Politik Miskin Ekonomi
KESTABILAN politik yang sangat diharapkan rakyat jelata setelah selesainya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kelihatan belum tercapai walaupun sedikit, apatah lagi sepenuhnya seperti yang amat diinginkan banyak pihak, termasuklah Ketua Negara.
Sebenarnya, kemelut politik negara yang semakin teruk saban hari, tidak memerlukan ilmu tinggi dan otak geliga dalam kalangan rakyat, termasuklah yang marhaen untuk segera mengertinya.
Sehubungan ini, logik penghujahan yang dikemukakan didapati bukan sahaja langsung tidak masuk akal pada kebanyakan perkara yang dipertikai, ia juga jelas memperlihat kerakusan licik selain kebebalan bengap.
Ini kerana perkara yang sudah terang lagi bersuluh cuba dikaburkan melalui dalil tolol oleh satu pihak, yang cuba pula dipatahkan oleh pihak yang satu lagi menerusi hujah yang sama pandiknya.
Selain sikap rakus dan sifat bebal ini, amat malang lagi menyedihkan sekali apabila penganjuran acara suci dalam bulan mulia ini, dicemari dengan jijiknya oleh agenda politik masing-masing pihak.
Ia cuba dinafikan kedua-dua pihak, tetapi pelbagai tindak-tanduk mereka yang tidak bermaruah jelas memperlihat sikap dan sifat itu memang wujud dan secara terang-terangan lagi.
Jamuan yang sebenarnya rezeki suci ditunggang tanpa segan silu. Nikmat makan dan minum yang hendak diberikan yang merupakan pahala sepatutnya tidak dipertikai jika ia tidak melibatkan unsur politik daripada kedua-dua pihak.
Seperkara yang sangat malang tentang hal ini ialah apabila kos perbelanjaannya diungkit, sedangkan niatnya adalah berkongsi nikmat, khususnya dengan rakyat jelata yang kurang berada untuk menikmati juadah raya yang disediakan.
Selain jamuan raya ini, banyak perkara lain yang dilakukan kedua-dua pihak ini ikut diperhati oleh pihak luar negara. Daripada pencerakinan pihak asing ini, kita didapati sangat handal dengan pelbagai cara laku politik yang sesetengahnya amat baharu bentuknya dalam sistem demokrasi.
Sehubungan ini, ia berupa bahan hebat untuk penelitian bidang sains politik semasa. Dengan ini, Malaysia kini adalah lapangan politik yang amat subur, yang dapat membekalkan data yang tidak terhingga jumlahnya untuk mengayakan pengajian dan kajian politik, khususnya yang rakus dan jahil.
GAGAL
Banyak konsep ekonomi diguna pakai sebagai hujah dalam kemelut ini. Namun, ia hanya retorik belaka. Ini kerana ekonomi negara tidak terpulih walaupun dijanjikan akan bertambah jauh lebih baik daripada sebelumnya dalam waktu singkat sahaja, dengan tertubuhnya kementerian khusus.
Sehubungan ini, kadar inflasi terus dirasai keperitannya dengan dahsyat sekali oleh rakyat jelata, walaupun diisytiharkan telah banyak menurun dan kini keadaannya sudah stabil.
Untuk ehwal ekonomi negara, yang pastinya ialah kita akan terus terbeban dengan harga makanan yang tinggi, yang cuba diawasi melalui kawalan harga dan subsidi bahan api dan lain-lain, tetapi tanpa banyak kejayaan signifikan.
Lebih membimbangkan ialah kita berkemungkinan besar berhadapan dengan kegawatan ekonomi. Ia ekoran daripada pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia yang amat perlahan pada masa ini.
Dengan penurunan mata wang ringgit kita yang memberi banyak dampak kerana kita banyak mengimport barangan, termasuklah makanan, kita sebenarnya amat lemah, malah miskin sekali dari segi ekonomi, khususnya kos sara hidup.
Dengan jumlah wang yang lebih banyak diperlukan untuk menampung perbelanjaan asas, antaranya makanan, tahap kehidupan kita, khususnya golongan kurang berada pasti akan banyak terjejas.
Dengan ini, nilai hidup kita juga akan terjejas dengan teruknya, iaitu kita tidak akan dapat lagi dengan senangnya membeli makanan berkhasiat dan keperluan asas lain dengan harga sederhana rendah.
Sepatutnya, inilah yang diperjuang ahli politik kita dengan gigih lagi tekun yang merupakan tujuan murni bidang politik yang diceburi mereka, iaitu melakukan perkara yang membawa kebaikan dan kemaslahatan kepada rakyat.
Namun, kerana hanya tahu berpolitik sepanjang masa untuk kelangsungan diri dan parti, tanggungjawab ini tidak dapat dipikul sepenuhnya pada kebanyakan masa. Inilah yang sebenarnya berlaku di negara ini semenjak beberapa masa yang lalu.
Keadaan runcing ini wajib dihentikan kalau kita tidak mahu negara tercinta ini menjadi negara gagal, khususnya dalam pengertian ia tidak mampu melindungi kepentingan rakyatnya lagi.
Perkara ini tidak mustahil berlaku di Malaysia. Ini kerana negara gagal itu antaranya disebabkan ketidakstabilan politik yang tempoh keadaan kacau-bilaunya adalah terlalu lama.
Selain faktor politik yang disebabkan konflik sengit antara kerajaan dengan pembangkang, keadaan ekonomi yang tidak baik dan berpanjangan pula akibat pengurusan ekonomi yang tidak cekap, akan ikut menghancurkan Malaysia.
Dengan masalah kemiskinan, pengangguran dan pelbagai yang lain, khususnya pengabaian usaha ekonomi kerana terlalu berpolitik, Malaysia akan hilang kemampuan untuk melindungi rakyatnya daripada krisis ekonomi ini serta yang lain-lain.
Oleh itu, marilah kita berdamai dalam bidang politik untuk memastikan bidang ekonomi kita bukan sahaja boleh dipulihkan dengan lebih cepat, ia juga dapat kita lestarikan untuk terus dilihat sebagai Malaysia negara berjaya.
Sesungguhnya semua ini berada dalam tangan kita, sama ada mahu terus-terusan bersengketa dalam bidang politik yang pasti akan ikut menjejaskan bidang ekonomi dan juga yang lain-lain atau sebaliknya. Dengan ini, tepuk dada tanya selera.
Sumber: Utusan Malaysia, 2 Mei 2023
Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat Inastitut Masa Depan Malaysia (MASA) merangkap Felow Majlis Profesor Negara (MPN)