Rencana

Kebebasan Bersuara Di Media Sosial Ada Had

AMARAN tentang hantaran penuh provokasi dalam mana-mana persada media sosial bahawa ia dipantau pihak berkuasa dan kemungkinan mereka yang melakukannya didatangi polis sesungguhnya adalah sebaik-baik peringatan daripada kerajaan kepada warganet. Ini kerana keadaannya sudah menjadi amat melampau apabila penyalahgunaan kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dicabuli tanpa ada apa-apa jua rasa tanggungjawab.

Gejala ini hendaklah bukan sahaja disekat, juga kelihatan disekat. Itulah yang sebenarnya berlaku dengan pengumuman amaran itu. Ia seharusnya disambut baik dengan minda terbuka oleh semua pihak dan bukannya dikutuk sebagai tidak demokratik oleh sesetengah golongan yang didapati terlalu liberal sehingga tidak berpijak di dunia nyata.

Sudah tentu dalam sistem demokrasi, kebebasan bersuara wajib dibenarkan untuk pelbagai tujuan. Antaranya untuk melindungi bagi menganjurkan prinsip kebebasan bersuara, menggalakkan randau terbuka dan mempermudah pertukaran pendapat. Kesemuanya ini adalah sangat baik untuk memupuk nilai demokrasi itu sendiri.

Yang diberikan amaran ialah bukan komen bertanggunjawab meskipun pedas, tetapi makian menghina sembrono yang dilemparkan untuk tujuan menyinggung, mengancam dan menyerang seseorang individu atau kelompok. Pada kelazimannya, makian ini sengaja dilakukan atas faktor etnisiti, agama, budaya, jantina, kerakyatan dan seumpamanya termasuklah ideologi politik tanpa langsung berhujah tentang sesuatu persoalan sedang hangat dipertikai itu.

Tidak dapat dinafikan, makian begini boleh membawa kepada perbalahan yang kemudiannya dapat mencetuskan keganasan. Ini boleh berlaku walaupun pada hanya makian peribadi kepada seseorang itu dan dalam komunikasi tertutup pula. Ini kerana ia boleh ditularkan dan ikut membangkitkan kemarahan pihak lain yang sealiran pemikiran, seetnik, seagama dan sebagainya dengan yang dimaki itu.

Sebenarnya kita mempunyai perundangan yang mencukupi untuk menangani gejala amat jijik ini. Namun, ia tidak dapat diambil tindakan walaupun makian itu terang-terangan berupa kesalahan yang disenaraikan, baik dalam bentuk akta tertentu mahupun kanun jenayah negara.

Sehubungan ini, pelbagai alasan diberikan pihak berkuasa terbabit. Antaranya sesuatu kesalahan itu lebih sesuai diambil tindakan oleh pihak berkuasa lain yang kemudiannya menyatakan ia perlu menunggu sehingga betul-betul terjadinya padah sesuatu makian itu, misalnya ugutan. Dengan kata lain, sesuatu kecederaan perlu berlaku terlebih dahulu, selain keyakinan potensi tercetusnya kekacauan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara sebelum tindakan boleh diambil.

RUKUN NEGARA

Seperkara lain yang amat jelas dalam hal mengambil tindakan ini ialah kedudukan kerdil kebanyakan individu atau kelompok dimaki itu. Ini kerana mereka hanya murba yang tiada apa-apa kepentingan pun untuk kes mereka diambil tindakan segera. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa kes mereka akan dikesampingkan begitu sahaja untuk selama-lamanya. Ini amat berbeza dengan kes melibatkan orang kenamaan. Kes mereka bukan sahaja cepat dibicarakan, juga mendapat pembelaan perundangan setimpal.

Natijah penting di sini ialah maruah manusia tanpa mengira kedudukan yang dijaminkan di negara ini, ia tidak seharusnya bersifat diskriminasi secara terang-terangan sehingga berbentuk dua darjat. Ini bukan sahaja tidak baik untuk dua prinsip Rukun Negara yang merupakan ideologi negara, iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang. Ia juga mempersenda, malah menghina unsur keluhuran dan kedaulatan itu yang diangkat juga sebagai falsafah negara.

Sehubungan ini, amaran yang dikeluarkan itu hendaklah betul-betul dilaksanakan pada setiap kesalahan sebagai jenayah negara yang bukan sahaja boleh menggugat ketenteraman awam apabila berlakunya keganasan nanti. Sama pentingnya juga ialah maruah manusia dalam konteks kehormatan selain harga diri yang harus dilindungi. Untuk ini, ia tidak boleh sesekali bersifat dua darjat. Ini kerana dengan keadaan begini berterusan, ia sesungguhnya menggalakkan makian terus berlaku, malah dengan lebih dahsyat lagi. Ini kerana hampir menjadi kepastian bahawa tiada apa-apa tindakan pun akan diambil terhadap mereka yang buruk laku ini.

Sebetulnya masyarakat kita kini sudah lali dan bersedia untuk terus hidup dengan keadaan dimaki dalam media sosial selain menyaksikan kesalahan 3R berkaitan raja, agama dan kaum dilakukan secara terang-terangan. Ini kerana mereka tiada kepercayaan lagi kepada sistem perundangan negara dalam soal ini yang bukan sahaja penguatkuasaannya hampir tiada, juga amat mengecewakan untuk membela mangsa serangan siber ini.

Nampaknya kita di Malaysia ini tidak bijak langsung berbanding jiran kita yang amat cepat menangani sesuatu masalah sensitif ketika ia masih kecil lagi sifatnya. Ini penting agar ia tidak menjadi masalah besar yang tidak dapat diselesaikan dengan mudah apabila sudah menjadi krisis. Sehubungan ini, walaupun Islam bukan agama negara, penghinaan oleh seorang remaja Cina ditangani dengan begitu cepat lagi tegas sekali. Ini dilakukan untuk menghantar mesej keras kepada seluruh rakyatnya agar jangan sesekali bermain dengan sensitiviti agama waima agama sendiri.

Islam walaupun agama negara di sini, ia sering diperlekeh malah teruk dihina tanpa adanya tindakan tegas diambil sehingga dapat betul-betul menjadi pengajaran amat berkesan. Ini dapat dilihat dengan masih adanya perbuatan biadab sedemikian dari semasa ke semasa yang hukuman keras terhadapnya jarang diketahui umum sebagai langkah pencegahan utuh lagi mangkus.

Sumber: Utusan Malaysia, 25 Julai 2023

Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat Inastitut Masa Depan Malaysia (MASA) merangkap Felow Majlis Profesor Negara (MPN)

Back to top button