Rencana

Kelompok Majoriti Angkuh Pada Minoriti?

KENYATAAN tentang sikap angkuh kelompok majoriti di negara ini terhadap minoritinya bukan sahaja amat mengejutkan banyak pihak, ia ikut mengundang pelbagai polemik sengit. Ia rata-ratanya amat tidak disenangi etnik Melayu selaku kelompok majoriti yang membantah keras akan kononnya wujud gejala sedemikian. Mereka sebaliknya mengatakan bahawa etnik bukan Melayu di sini dilayan dengan seadanya, malah lebih daripada itu jika dibandingkan dengan banyak tempat lain di dunia.

Sebenarnya kenyataan itu dibuat sebagai peringatan sebagaimana pada pengajaran dan pedoman agama Islam yang menganjurkan keadilan sosial untuk semua penduduk dalam sesebuah negara Islam itu khususnya kepada bukan Muslim.

Kenyataan itu bermaksud untuk disampaikan sebagai nasihat keinsafan kepada etnik Melayu selaku kelompok majoriti dan bukan sesekali sebagai teguran amaran terhadap perilaku mereka kepada kelompok minoriti.

Malah, Piagam Madinah ikut disebut semasa kenyataan itu dibuat. Secara khususnya, piagam itu mengandungi banyak prinsip untuk membela nasib dan memberi kebebasan kepada kelompok bukan Muslim oleh sesebuah pemerintahan Islam itu. Antaranya termasuklah hak dalam beragama, harta mereka tidak boleh dirampas, tanggungjawab untuk melindungi mereka daripada dizalimi serta kebebasan bergerak di bawah naungan kerajaan Islam.

Berdasarkan piagam itu, langsung tidak terdapat sebarang keperluan untuk kelompok bukan Muslim berasa takut bahawa mereka akan ditindas dan dizalimi dalam sebuah negara Islam. Ini kerana kesemua ini dijamin oleh Piagam Madinah sebagai antara komitmen agama Islam kepada penduduk bukan Muslim.

Itulah sebenar-benarnya mesej pada kenyataan itu yang disampaikan dalam nada suara dan gaya badan yang penuh dengan keinsafan. Malah ia diucapkan secara sayu. Oleh itu, ia tidak sesekali bersifat amaran, iaitu sesuatu yang jelik itu harus dihentikan segera melainkan merupakan keinsafan, yakni penerimaan hakikat sesuatu itu untuk menganggapnya penting lagi utama.

Dalam pada ini, etnik Melayu sebagai kelompok majoriti diperingat agar terus menyantuni bukan Melayu yang merupakan kelompok minoriti. Itulah sebetul-betulnya mauduk yang mahu disampaikan. Sesungguhnya etnik Melayu tidak pernah bersikap angkuh kepada etnik bukan Melayu. Ini dapat dilihat dengan jelas sekali semenjak tertubuhnya negara ini.

Sehubungan ini, kerakyatan diberikan secara mudah sekali, pendidikan dalam bahasa ibunda dibenarkan kewujudannya, kepentingan sah mereka dilindungi secara perundangan lagi, selain kebebasan mengamal warisan budaya mereka terjaga khususnya keizinan untuk terus menganuti sistem kepercayaan tradisional. Sudah tentu semua ini tidak akan sesekali dapat dilakukan dengan aman damai di segenap pelosok tanah air jika etnik Melayu selaku kelompok majoriti lagi dominan bersikap angkuh.

Angkuh dalam pengertian mementingkan diri sendiri sahaja, bertindak sebagai tuan rumah yang tidak berperikemanusiaan dan langsung tidak menghormati mereka yang ikut menghuni negara mereka. Selain tidak bersikap angkuh, etnik Melayu sebagai umat Islam senantiasa insaf agar tidak sesekali bermegah sebagai kelompok majoriti, yakni berkuasa dengan riak lagi ujub.

Ini dapat dilihat dengan jitunya apabila mereka tidak sesekali mengambil mudah akan tanggungjawab untuk meraikan kehadiran bersama daripada etnik lain di negara mereka. Untuk ini, berdasarkan pegangan mereka pada ajaran Islam, dua sisi, iaitu kerohaniah dan kebendaan sebagai prinsip utama pada Piagam Madinah itu bukan sahaja dipelihara sebaik-baiknya. Dua sisi ini pula diimbangi sebijak-bijaknya untuk mewujudkan keadilan yang sama-sama memberi kebaikan kepada semua pihak.

Sebenarnya etnik Melayu telah memberi banyak konsesi kepada etnik bukan Melayu pada sepanjang sejarah negara ini. Sehubungan ini, yang terbesar ialah pemberian kerakyatan. Ia sebenarnya lebih daripada kompromi kerana bukan sahaja pemberian itu mengurangkan hak eksklusif mereka, tetapi menyerahkan satu-satunya negara mereka untuk dikongsikan bersama-sama oleh semua etnisiti dalam semua hal.

Dalam perkara ini, sebenarnya tidak ada etnik asal lain di mana-mana negara di dunia ini yang begitu baik hati terhadap etnik bukan asal. Ini bukan sahaja memperlihat mereka kelompok sangat pemurah, ia juga menunjukkan etnik Melayu tidak sesekali angkuh, apatah lagi bermegah sebagai kelompok majoriti lagi dominan.

Oleh itu, etnik bukan Melayu hendaklah senantiasa mengenang jasa baik ini. Ia antaranya haruslah diperlihat menerusi rasa hormat yang tinggi selain timbang rasa yang luhur kepada etnik Melayu. Dengan ini, mereka tidak boleh sesekali membuat tuntutan yang bukan sahaja amat bukan-bukan sifatnya, tetapi juga yang selalu menguji kesabaran etnik Melayu.

Antaranya termasuklah kenyataan bahawa tidak wujud kelompok majoriti di negara ini, melainkan kesemuanya adalah minoriti. Malah kesemuanya adalah orang bukan asal yang mendatangi negara ini dan sama-sama membangunkannya.

Dengan ini, keadilan sosial dalam urus tadbir negara harus bersifat sama rata dan bukannya lebih berpihak kepada sesuatu etnisiti sebagai yang asal di negara ini.

Sesungguhnya kenyataan penuh kontroversi itu dibuat dengan niat baik untuk kita terus menghadapi hakikat masyarakat majmuk di negara ini dengan sebaik mungkin. Tujuan murninya adalah untuk meyatupadukan rakyat berbilang etnisiti dengan memberi panduan untuk diikuti semua pihak.

Dalam hal ini, yang majoriti ada tanggungjawabnya terhadap yang minoriti. Begitu juga dengan kelompok minoriti yang ada kewajipannya kepada yang majoriti. Semua ini tidak lain tidak bukan adalah bagi mewujudkan perdamaian antara rakyat, untuk seterusnya menjunjung kedaulatan negara tercinta ini. Inilah yang perlu kita semua insafi, iaitu memahami maksud ikhlasnya untuk menimbulkan kesedaran akan perkara sebenarnya yang mahu dicapai untuk kebaikan negara.

Sumber: Utusan Malaysia, 11 April 2023

Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat Inastitut Masa Depan Malaysia (MASA) merangkap Felow Majlis Profesor Negara (MPN)

Back to top button