Laungan Azan Harus Lantang, Wajib Boleh Dengar. Noktah!
MINGGU Perpaduan Negara sambut setiap tahun pada Mei. Ia yang diadakan antaranya untuk meningkatkan patriotisme sudah tentu adalah berdasarkan perpaduan negara dari segi etnisiti dan integrasi nasional dalam konteks kewilayahan.
Kedua-dua perpaduan dan integrasi ini perlu dipertingkat kerana berada pada tahap sederhana sahaja. Ia sepatutnya lebih baik setelah begitu lama kita menubuhkan negara dan membina negara bangsa.
Sehubungan ini, kita hendaklah terus-terusan berusaha agar tahap sederhana ini tidak merosot dan seboleh-bolehnya kekal sebegini. Sudah tentu pada masa sama, kita perlu berikhtiar untuk mencapai tahap baik.
Sebenarnya untuk ini, kita hendaklah mula berfikir secara serius bagi mengubah sesetengah struktur kenegaraan, antaranya sistem pendidikan agar lebih bersifat menyatukan dan bukan sebaliknya. Tidak dapat dinafikan sistem pendidikan kita kini bukan sahaja menggalakkan, malah membenarkan pengasingan etnik berlaku pada usia yang sangat muda. Semasa di tadika lagi, anak bangsa kita sudah terpisah. Ia kemudiannya berlanjutan dalam konteks polarisasi kaum di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Ia juga amat ketara di tempat kerja.
Sebenarnya banyak usaha perpaduan dan integrasi kita bersifat sementara sahaja dan bukan berjangka panjang. Ini kerana ia dilakukan apabila wujud sesuatu kejadian, bersifat separa lagi tidak sistematik selain sebagai hanya tindakan balas segera tanpa banyak berfikir. Kesemua ini baik untuk jangka pendek sahaja. Ini terbukti apabila masalah sama wujud semula dalam waktu singkat sahaja.
Ini dapat antaranya dilihat pada isu laungan azan. Ia sudah banyak kali wujud di pelbagai tempat termasuk di tempat sama. Ini kerana ia tidak pernah diselesaikan dengan pemahaman betul ekoran defisit sosial dalam hal agama. Sehubungan ini, kefahaman antara Islam yang merupakan agama negara dengan pelbagai agama lain yang dianuti di negara ini adalah rendah sekali.
Kefahaman baik tentang Islam sangat penting untuk kita khususnya rakyat bukan Islam untuk to live with it, iaitu menerima laungan azan, kalau tidak pun bertoleransi kerana ia antara perkara utama dalam syiar Islam. Selain ini, kita juga hendaklah memahaminya untuk to live by it, yakni menunjukkan sikap baik kerana Islam adalah agama negara. Dalam hal ini, kita juga hendaklah mempunyai sifat untuk to live up to it, iaitu menerimanya sebagai yang diperlukan. Inilah petua yang afdal lagi bestari. Ini kerana fitrahnya begitu, iaitu kita dikehendaki berkelakuan sedemikian apabila tinggal di negara Islam. Begitu juga halnya apabila agama lain merupakan agama rasmi di sesebuah negara itu.
ARAB SAUDI, SINGAPURA
Sehubungan ini, apa-apa sahaja yang ditanggapi sebagai menyulitkan oleh golongan bukan Islam, tidak patut sama sekali mahu diselesaikan dengan memberi kata dua kepada umat Islam, lebih-lebih lagi apabila mereka adalah kelompok majoriti. Ia haruslah dirunding bukan sahaja secara baik, juga dengan penuh kerasionalan kerana Islam adalah anutan majoriti penduduk selain agama yang mewakili Malaysia. Dengan ini, ia harus dihormati oleh setiap warganegara untuk sama-sama menjayakannya sebagai agama negara. Oleh itu, rundingan hendaklah pertama-tamanya berlaku dalam konteks akidah yang langsung tidak boleh dipersoal.
Seperkara penting dalam apa-apa jua rundingan di Malaysia ialah ia tidak boleh sesekali mahu berlandaskan kesamarataan, yakni semua etnik dan wilayah harus diberikan hak dan bahagian yang sama banyak atau seumpamanya. Ia sebaliknya hendaklah berunsur keadilan, iaitu pensetaraan mengikut keperluan dengan mengambil kira maruah penduduk asal selain pelbagai perkara azali. Ini antaranya kerana negara ini bertuan semenjak sekian lamanya termasuk pada zaman pramoden lagi.
Berkenaan dengan isu laungan azan, ia pertama-tamanya hendaklah difahami sebagai perkara wajib dalam Islam, yakni harus ada dan tidak boleh sama sekali ditiadakan dalam sebarang bentuk. Ia seruan, yakni bukan sekadar ajakan untuk memberitahu, tetapi anjuran agama yang fardu untuk umat Islam menunaikan solat. Oleh itu, ia wajib boleh didengari. Justeru, ia harus lantang.
Sehubungan kelantangan ini, ia boleh dibincangkan. Arab Saudi dan Singapura berjaya mencapai persefahaman baik dalam hal ini. Ia sepatutnya begitu di Malaysia dan bukannya mahu diselesaikan dengan membuat undian. Cara begini boleh ditafsirkan sebagai mahu menghina kesucian agama Islam yang akidahnya mahu ditentukan oleh golongan bukan Islam.
Sebetulnya sistem pendidikan kita perlu mempunyai kurikulum pengetahuan silang budaya. Ia didapati amat penting untuk mengurang dan akhirnya menghapuskan tanggapan negatif terhadap banyak hal sosiobudaya. Ia diyakini akan mewujudkan hubungan etnik dan wilayah yang lebih baik setelah berlakunya interaksi yang akan mengatasi resam tak kenal maka tak cinta.
Dalam hal ini, kepentingan agama dalam memupuk dan mengekalkan solidariti sosial dalam masyarakat majmuk adalah perkara yang dikehendaki.
Untuk ini, maklumat asas tentang Islam adalah penting. Antaranya rujukan suci al-Quran, wibawa pada Nabi Muhammad s.a.w., ritual termasuk solat lima waktu sehari, moraliti Islam seperti kejujuran, perlindungan hak dalam negara Islam seperti keadilan dan sangkala kudus seperti Israk Mikraj selain Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Semua ini diyakini penuh akan membantu golongan bukan Islam untuk to live with, to live by dan to live up to Islam sebagai agama negara yang harus ikut dilindungi semua pihak. Dengan ini, mereka pasti akan dapat berfungsi dengan jauh lebih baik berbanding masa sebelum mengetahui Islam dengan lebih dekat.
Sumber: Utusan Malaysia, 30 Mei 2023
Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat Inastitut Masa Depan Malaysia (MASA) merangkap Felow Majlis Profesor Negara (MPN)