Rencana

Malaysia Terajui Perpaduan Global?

Oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA)

KENYATAAN kepimpinan Cina negara ini bahawa Malaysialah yang sepatutnya menuntun dunia mengenai hal perpaduan dalam kepelbagaian, dan bukannya negara lain, bukan sahaja menarik untuk dikupas.

Sebetulnya ia membuka pekung di dada. Ini kerana dengan menonjolkan kejayaan Indonesia yang diakui mereka jauh lebih maju dalam soal ini, ia sebenarnya mendedahkan keburukan diri mereka sendiri untuk sengaja mencari keaiban.

Sehubungan ini, pelbagai hujah diketengahkan tentang kejayaan Indonesia dalam penyatupaduan nasional walaupun memiliki kependudukan yang jauh lebih rencam kepelbagaiannya daripada Malaysia.

Antaranya ialah telatah kepimpinan nasional republik itu yang mengenakan pakaian tradisional etnik Cina semasa ikut meraikan perayaan Tahun Baharu Cina, di samping sakan mendoakan kemakmuran dari pelbagai sisi kepada etnik Cina semasa mereka menyampaikan ucapan selamat.

Ia dinyatakan secara perbandingan seolah-olah perkara sebegini langsung tidak pernah berlaku di negara ini. Sebenarnya berpersalinan tradisional oleh mereka yang bukan daripada etnik berkenaan untuk tujuan sama-sama meraikan sesuatu perayaannya itu, adalah unsur luaran sahaja, yakni hanya bahagian luaran untuk sesuatu itu dan tidak lebih daripada itu.

Sehubungan ini, ia tidak bersifat mendalam, justeru sekadar sosial-sosialan semata-mata. Dengan kata lain, berpakaian tradisional itu bukan pun sesuatu yang wajib, walaupun ia merupakan unsur yang menonjolkan sifat sesuatu suasana itu dari segi struktur luarannya. Sebaliknya yang lebih penting secara perbandingannya ialah unsur dalaman, iaitu keadaan minda, yakni kapasiti berfikir selain merasai sesuatu itu.

Sehubungan ini, minda sangat penting dalam membantu kita menaakul, menilai selain membuat pertimbangan dan keputusan. Dengan adanya semua ini pada minda, ia sebenarnya dapat membantu kita memahami pihak lain dengan jauh lebih baik.

Selanjutnya minda amat penting sebagai unsur utama lagi asas bagi interaksi sosial untuk antaranya memupuk dan melestarikan perpaduan.

Unsur dalaman minda inilah yang didapati lebih dominan pada setiap rakyat Indonesia, termasuklah yang etnisitinya Tionghoa setelah melalui proses asimilasi yang menjadi asas pembentukan negara bangsa di republik itu.

Dengan ini, etnik Tionghoa di sana berjaya diidentifikasikan secara psikologi dengan etnik tempatan yang dominan, untuk sama-sama mendukung semangat peribumi sebagai etos (sifat ciri sesuatu bangsa) nasional republik itu dalam kehidupan domestik, apatah lagi yang nasional.

Melalui asimilasi begini semenjak kemerdekaan Indonesia pada 1945, apa-apa jua pengertian semasa sebagai lanjutan atau pembaharuan daripada yang lama, akan bukan sahaja segera sekali, tetapi sangat mudah pula diterima.

TOTOK
Hal ini amat berbeza dengan etnik Cina Malaysia yang didapati masih belum bersedia sepenuhnya untuk berintegrasi ke dalam struktur sosial Melayu yang dijadikan etos kebangsaan negara ini.

Sebenarnya, integrasi yang tidak pun menuntut apa-apa jua perubahan signifikan pada identiti etnik Cina itu, perlu sangat-sangat dihargai oleh kaum Cina Malaysia.

Ini kerana ia tidak menuntut peleburan identiti etnik asal sehingga tidak membenarkan mereka untuk terus-terusan menjadi Cina totok, antaranya dengan masih boleh meneruskan pendidikan dalam bahasa ibunda, jika dibandingkan dengan hampir semua negara lain di rantau ini yang mengamalkan asimilasi.

Dalam kenyataan kepimpinan Cina itu, disarankan agar Malaysia belajar dari Indonesia yang sangat dipuji sebagai jauh lebih berjaya dalam pengurusan kepelbagaian etnisiti.

Sehubungan ini, etnik Cina Malaysia seharusnya belajar untuk mengikuti peranan yang dimainkan etnik Tionghoa Indonesia. Sebenarnya saranan ini memperlihat kejelikan etnik Cina Malaysia yang masih enggan berintegrasi sahaja berbanding dengan etnik Tionghoa Indonesia yang diharuskan berasimilasi.

Dengan ini, sepatutnya etnik Cina Malaysia insaf untuk bukan sahaja menghargai, tetapi melunaskan setiap sisi integrasi yang masih tertunggak itu, antaranya menguasai bahasa Melayu dengan baik. Natijahnya di sini ialah asimilasi sebagai proses penyatupaduan didapati jauh lebih berkesan. Ini dapat dilihat di Malaysia sendiri pada komuniti Peranakan, antaranya Baba Melaka.

Melalui asimilasi, puak Cina ini bukan sahaja menerima budaya Melayu sebagai warisan, mereka juga mendukung etos Melayu dalam kehidupan seharian mereka. Inilah caranya perpaduan dipupuk dengan jayanya menerusi asimilasi.

Inilah yang sebenarnya berlaku di Indonesia. Asimilasi sebagai asas pembentukan negara bangsa bukan sahaja betul-betul menampakkan hasilannya yang jauh lebih nyata, ia sendiri sebetulnya adalah penyatupaduan utuh itu.

Jadi hasrat kepimpinan Cina itu yang mahu Malaysia menjadi penggerak utama pada peringkat dunia dalam usaha penyatupaduan dalam kepelbagaian untuk mengatasi Indonesia, adalah sangat tidak kena pada tempat.

Ini kerana asimilasi yang dijadikan asas oleh Indonesia bukan sahaja berjaya sekali, ia juga membolehkan pembaharuan dilakukan dengan mudah lagi cepat kerana asimilasi adalah fenomena psikologi berbanding dengan integrasi yang merupakan persekitaran sosial semata-mata.

Sangat memalukan untuk kita di Malaysia yang belum sepenuhnya berjaya mengintegrasi rakyat berbilang etniknya untuk mahu menjadi penggerak utama dalam arena global dalam penganjuran perpaduan dalam kepelbagaian yang harmoni lagi utuh.

Untuk hasrat ini menjadi kenyataan, etnik Cina hendaklah bersedia secara psikologi untuk lebih mengidentifikasikan diri mereka dengan etnik Melayu daripada yang berlaku kini, iaitu pada peringkat sosial sahaja, itu pun hanya berperisa sosial dan bukannya bersifat sosial yang sebetul-betulnya.

Sumber:https://www.utusan.com.my/rencana/2023/02/malaysia-sepatutnya-terajui-perpaduan-global/

Back to top button