Rencana

Melayu, Bukan Melayu Sama Saja Makan Suap

TUDUHAN rasuah terhadap pegawai imigresen berhubungan penahanan pelancong wanita dari China di lapangan terbangan utama negara antaranya bertukar menjadi polemik perkauman. Ini berikutan sayap tertentu sebuah parti politik Melayu dan kesatuan penjawat awam yang keahliannya rata-rata terdiri daripada etnik Melayu mengecam tindakan dilakukan untuk menyelesaikan kes penahanan itu.

Keadaan menjadi buruk apabila sayap tertentu sebuah parti politik Cina pula mengingatkan parti politik Melayu itu agar lebih bertanggungjawab dalam menangani salah guna kuasa dalam kes berkenaan. Ini disokong parti politik dominan Cina lain.

Dalam hal ini, didapati etnik Melayu, baik warganet mahupun tokoh tertentu yang tidak pun menafikan kemungkinan berlakunya rasuah, amat tidak senang dengan cara kejadian itu ditangani. Dalam pada ini, etnik Cina melalui penganalisis sosial selain warganet mereka pula menggesa agar tindakan diambil terhadap tuduhan rasuah yang didakwa berlaku itu.

Sehubungan gejala rasuah di negara ini bukan lagi ditanggapi, malah menjadi kenyataan bahawa pihak rata-rata menerima rasuah ialah etnik Melayu yang merupakan bahagian terbesar dalam perkhidmatan awam. Ini mahu sengaja terus dicanangkan etnik bukan Melayu bahawa etnik Melayu sahajalah kelompok yang tidak beramanah.

Sudah tentu ia salah sama sekali. Ini kerana etnik bukan Melayu bukan bahagian signifikan dalam tenaga kerja kerajaan. Oleh itu, kes tumbuk rusuk yang hampir tiada dalam kalangan mereka mahu digunakan untuk mengiakan kelompok penuh amanah.

Ini juga sama sekali tidak betul kerana apabila terjadi gejala makan suap ini oleh etnik bukan Melayu, didapati tiada beza pun dengan yang dilakukan etnik Melayu. Malah ia lebih dahsyat pada skala tertentu dalam sebilangan kes nasional yang pernah wujud. Ini terbukti dalam skandal agam pada perusahaan kekuli di Terengganu dan pengurusan zon komersial dan perusahaan terbesar terletak di kawasan Selat Melaka yang kedua-duanya diuruskan etnik Cina.

NAFSU HALOBA

Natijahnya di sini ialah nafsu haloba ada pada manusia yang tidak kuat pedomannya tanpa mengira etnisitinya. Oleh itu, salah sama sekali untuk mengaitkan etnisiti Melayu sahaja dengan gejala rasuah di negara ini. Ini kerana dua belah tangan diperlukan untuk bertepuk. Dengan kata lain, secara umumnya perlu ada penglibatan dua pihak yang memberi rasuah dan yang menerimanya. Dengan ini, rasuah bersifat saling-menyaling yang tidak perlu pun dipertikai mana-mana etnisiti, apatah lagi mahu dinafikan dengan sekeras-kerasnya oleh etnik Cina akan penglibatan mereka.

Sehubungan ini, pernah ada kenyataan bahawa etnik bukan Melayu khususnya Cina sebagai pengusaha perniagaan dominan di negara ini, banyak sekali memberi sogokan untuk membolehkan mereka melakukan perkara yang tidak baik dan betul. Ia dibuktikan melalui data kajian memang mendapati etnik Cina lebih suka memberi rasuah berbanding etnik lain. Dengan faktanya yang begini jitu, ia tidak seharusnya dipolitikkan sebagai perkauman oleh etnik Cina, apatah lagi menganggapnya sebagai rasis.

Hal pemberian rasuah ini antaranya dapat dilihat pada kelulusan pengubahsuaian kediaman berkembar mahupun banglo yang bukan sahaja mencurigakan, juga yang pasti akan mendatang bahaya kebakaran kepada jiran terdekat. Ini dapat dilihat pada kerja ubah suai yang merapat ke belakang sehingga berdindingkan pagar konkrit jiran belakang. Ia juga sangat amat hampir dengan pagar tepi jiran sebelah manakala anjung hadapannya menghala sampai ke jalan raya. Apabila ditanya kepada majikan yang melakukan kerja ubah suai akan pelan sedemikian oleh jiran terdekat yang sebelum ini terpaksa akur kepada jarak belakang, tepi dan hadapan kediamannya, dengan angkuh diberitahu bahawa ia sudah pun disepakati di agensi kerajaan tempatan tertentu.

Sudah sampai masanya mereka yang memberi rasuah ikut disabitkan di mahkamah. Ia sebenarnya jelas termaktub dalam perundangan negara tetapi amat jarang dilakukan, hendaklah mula dikuatkuasakan segera dan pula dengan berkesan sekali. Dengan keadaan sedia ada yang didapati rata-rata mendakwa pihak penerima sahaja, tidak dapat dinafikan gejala rasuah bukan sahaja tidak akan berjaya dibanteras sebaik-baiknya, ia akan bertambah teruk seperti yang berlaku kini secara terang-terangan pada pengubahsuaian kediaman dan segala macam lain.

Sesungguhnya etnik Cina khususnya yang terlibat dalam perniagaan adalah antara punca utama rasuah terus berleluasa di negara ini selain etnik Melayu yang ikut terlibat dengan ramainya. Dengan ini, etnik Cina hendaklah memberhentikan gesaan untuk tidak melepaskan pegawai imigresen yang dituduh terlibat dalam rasuah pada kes terbaharu ini. Ini kerana etnik Cina bukan malaikat tetapi sebaliknya dengan penuh kekejian yang memperlihat mereka adalah pemberi rasuah terbesar di negara ini.

Dalam pada ini, kerajaan hendaklah mula giat menangkap pemberi rasuah selain terus memberkas penerimanya. Ini harus dilakukan dengan serius dan bukannya pemberi rasuah yang disoal siasat itu hanya mahu dijadikan saksi utama untuk bukan sahaja mensabitkan penerimanya, juga memastikan penerimanya tidak akan sesekali terlepas daripada hukuman.

Sebetulnya cara kini akan terus menggalakkan rasuah berleluasa kerana pemberi akan keuntungan pada sepanjang masa, iaitu sebelum dan selepas ditangkap.

Sehubungan ini, apa-apa jua peruntukan perundangan yang didapati lemah untuk mendakwa pemberi rasuah, hendaklah diperketat segera. Tidak ada gunanya langsung gejala rasuah mahu diperangi habis-habisan pada satu pihak sedangkan ia lemah sekali dari segi penguatkuasaan sebenar pada pihak lain.

Sumber: Utusan Malaysia, 11 Ogos 2023

Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat MASA merangkap Felow Majlis Profesor Negara.

Check Also
Close
Back to top button