Pencinta Bahasa Melayu Pun Tidak Lagi Bersuara
KE manakah kini hasrat negara untuk menyebarluaskan bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara kita, antaranya sebagai bahasa kerja kedua bagi ASEAN seperti hebat berlaku sebelum ini? Sehubungan ini, ia semacam sudah dikesampingkan termasuklah oleh pecinta bahasa Melayu sendiri yang didapati langsung tidak bersuara, apatah lagi bertindak untuk merealisasikan hasrat itu.
Walaupun hasrat ini belum diangkat oleh kepimpinan semasa, ia perlu terus diperjuang secara terbuka agar obor bahasa Melayu bukan sahaja senantiasa hidup baranya, juga harus bernyala pada setiap masa dengan api besar. Dengan kata lain, semangat perjuangan ini tidak boleh sesekali reda dan hendaklah berkobar-kobar terus-terusan sama ada wujud atau tiada iltizam terbuka daripada pemerintah.
Sehubungan ini, perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu selaku bahasa negara juga tidak boleh sama sekali bersifat musim-musiman, iaitu hanya sewaktu kempen tahunannya selain apabila disentuh pemerintah. Sepatutnya pencinta bahasa Melayu bersama-sama rakyat jelata selalu bersikap proaktif, iaitu mewujudkan suasana kebahasaan ini secara terserlah pada setiap masa dengan membina semangat kebanggaan, kecintaan dan kesetiaan kepada bahasa Melayu.
Sebaliknya didapati kita semua hanya bertindak dalam bentuk reaksi apabila wujudnya keadaan, antaranya setelah disebut dalam ucapan pemerintah.
Sikap ini harus berubah jika kita betul-betul mahu melihat bahasa Melayu berada pada tempat sewajarnya, pertama-tamanya sebagai bahasa negara ini. Dengan ini, bahasa Melayu hendaklah digunakan sepenuhnya dalam urusan rasmi negara, khususnya di dalam Malaysia. Sebenarnya ini termaktub pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.
Oleh itu, amat tidak wajar, dalam apa-apa jua bentuk, bahasa Melayu dikesampingkan untuk digantikan dengan bahasa lain dalam urusan rasmi walaupun dalam satu dua kejadian di dalam negara. Antaranya majlis pelancaran yang kini kelihatan amat cenderung diberikan nama flag off. Ia sebenarnya boleh dengan mudah sahaja diungkapkan dalam bahasa Melayu mengikut tujuan penganjuran sama ada sebagai permulaan, pelepasan, pembukaan dan lain-lain. Dalam hal ini, sebenarnya bukan bahasa Melayu yang kekurangan kosakata untuk apa-apa jua konsep, tetapi penggunanya yang tidak cekap termasuklah etnik Melayu sendiri yang merupakan penutur jatinya.
MODEN
Ketidakcekapan ini antaranya disebabkan oleh sikap terhadap bahasa sendiri waima ia bahasa ibunda, etnik dan leluhur mereka. Sepatutnya mereka bangga dengan apa-apa sahaja dalam bahasa Melayu untuk dicintai dan ditaati. Ini bukan sahaja amat penting sebagai identiti budaya orang Melayu itu sendiri, jauh lebih penting lagi ialah ia akan menyakinkan etnik lain untuk menerima bahasa Melayu secara integratif, iaitu untuk menjadi ahli komuniti bahasa Melayu dan bukan mempelajarinya secara instrumental yakni hanya bagi memenuhi syarat wajib lulus mata pelajaran bahasa Melayu.
Sehubungan ia yang harus dibanggai, dicintai dan ditaati oleh setiap warganegara, bahasa Melayu antaranya hendaklah dianggap sebagai warisan negara, iaitu mempunyai nilai kenegaraan sebagai warisan budaya Malaysia selain merupakan sejarah kedua-dua negara dan rakyat Malaysia. Sebagai warisan negara, bahasa Melayu adalah budaya yang harus diperturun untuk diwarisi sebagai tradisi dengan penuh kebanggaan, kecintaan dan kesetiaan. Untuk ini, segala apa yang asal dan sudah mantap di dalamnya semenjak sekian lama harus dikekalkan dalam bentuk usul dan mapan itu. Ini kerana sebagai tradisi negara, ia tetap pada masa dahulu, kini dan selama-lamanya mempunyai kepentingan dari segenap sisi terutama sejarah, sosial, budaya serta lain-lain.
Oleh itu, amat penting sekali untuk kita mempertahan bahasa Melayu sebaik mungkin agar ia tidak mudah digantikan perkataan dan ungkapan daripada bahasa lain dan dengan sengaja pula. Ini kerana sebagai tradisi negara, bahasa Melayu bukan sahaja kebanggaan, ia juga adalah maruah negara. Dengan ini, bahasa Melayu harus dikasihi dan dipelihara bagai menantang minyak yang penuh. Dalam hal ini, sisi ketulenannya pada perkataan dan ungkapan asal dan yang sudah mantap penggunaannya, tidak boleh sesekali digantikan dengan bahasa asing atau kelainan asing waima sebagai kata seerti semata-mata.
Sehubungan ini, didapati tiada keperluan langsung atas apa-apa jua alasan untuk kita menggantikan perkataan kesimpulan dengan konklusi, jawatankuasa dengan lajnah, dan beza dengan beda. Tidak sesekali walaupun kononnya ia lebih moden, rahmat, tepat dan segala macam yang lain. Sebetulnya kesan makna perkataan dan ungkapan asal bahasa Melayu itu adalah sama sahaja dengan yang asing itu. Justeru, tidak perlu langsung ia digantikan dengan yang daripada bahasa dan kelainan asing itu.
Natijahnya ialah jati diri bahasa Melayu yang harus dilindungi, lebih-lebih lagi dalam konteksnya sebagai warisan negara, hendaklah diawasi ketelunannya seberapa boleh. Dalam pada ini, tiada larangan, malah ia keperluan untuk kita menggunakan bentuk asing apabila konsep itu tiada bentuknya dalam bahasa Melayu seperti perkataan setem, politik atau siasah dan banyak lagi. Dengan ini, hentikanlah perbuatan sewenang-wenangnya menggantikan perkataan dan ungkapan asal bahasa Melayu yang sudah mantap penggunaannya kepada bentuk asing. Ini kerana sebenarnya ia menafikan akal etnik Melayu masa lampau yang bukan sahaja bijaksana, juga amat munasabah dalam pemikirannya khususnya semasa menaakul untuk hal kebahasaan.
Sumber: Utusan Malaysia, 9 Mei 2023
Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat Inastitut Masa Depan Malaysia (MASA) merangkap Felow Majlis Profesor Negara (MPN)