Perlembagaan Persekutuan Bahasa Melayu Peningkatan Nasional
SARANAN bagi mengangkat naskhah bahasa Melayu untuk Perlembagaan Persekutuan sebagai yang sahih dan rasmi, sepatutnya dialu-alukan oleh setiap warganegara, dan bukannya ditentang, apatah lagi dengan keras pula oleh mana-mana pihak.
Ia yang sepatutnya dilakukan sebegini semenjak puluhan tahun dahulu tidak perlu disangsikan sama sekali tentang kemampuan bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini.
Ini kerana bahasa Melayu sudah lama menjadi bahasa saintifik moden, iaitu yang mampu mengungkapkan segala macam hal, baik secara konkrit mahupun abstrak dalam segenap bidang pekerjaan selain ilmu pengajian.
Dengan kata lain, ia sudah mantap dan terus mapan untuk digunakan setelah dibangunkan secara tekun oleh Dewan Bahasa dan Pustaka selaku ejen pengembangan bahasa Melayu terulung di negara ini.
Oleh itu, kita harus mempunyai penuh keyakinan terhadap bahasa negara kita untuk memberi perlindungan kepada rakyat. Antaranya dalam memastikan hak dan keistimewaan mereka senantiasa dipelihara dengan seadil-adilnya oleh Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan ini, keadilan yang menjadi tunggak utama dalam mana-mana perlembagaan boleh dicapai dengan sebaik-baiknya, untuk antaranya mengurus tadbir negara tentang pelbagai hal kehidupan rakyat, melalui penggunaan apa-apa jua bahasa.
Yang penting dalam hal ini ialah bahasa yang digunakan itu mempunyai kemampuan dari segi ia bahasa saintifik moden, selain penggunaannya yang cekap.
Dengan hakikat ini, kenyataan bahawa teks sahih dan rasmi Perlembagaan negara ini hendaklah terus dikekalkan dalam bahasa Inggeris kerana banyak perkataan dan ungkapan perundangan dalam bahasa itu tidak boleh diterjemahkan dengan baik ke dalam bahasa Melayu, adalah tidak benar sama sekali.
Tidak dinafikan bahawa ia sedemikian sebelum ini kerana tiada penggunaan bahasa Melayu yang cekap oleh mereka yang terlibat dalam penterjemahan itu.
Oleh itu, mustahak sekali untuk kita mendapatkan perkhidmatan mereka yang pakar dalam hal bahasa untuk bersama-sama dengan pakar perundangan dalam menjamin perterjemahan yang bukan sahaja baik, lebih penting lagi yang tepat.
Sehubungan ini, agak pelik kepada masyarakat umum apabila perkataan tertentu dalam bahasa Inggeris, misalnya parent seperti pada Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan pada naskhah bahasa Inggerisnya, boleh ditafsirkan sebagai jamak, iaitu kedua-dua ibu dan bapa sekali gus, dan bukannya hanya salah seorang, yakni sama ada ibu atau bapa.
Hal ini berbeza apabila perkataan parent itu diterjemahkan sebagai bentuk tunggal dalam naskhah bahasa Melayu. Dengan ini, ia dapat difahami dengan mudah oleh masyarakat umum yang mengetahui bahasa Inggeris, khususnya tentang bentuk jamak dan tunggal untuk kebanyakan perkataannya. Ini kerana itulah hukum nahu bahasa Inggeris.
KONTROVERSI
Sebetulnya naskhah bahasa Melayu itu pada umumnya didapati lebih tepat maksudnya apabila diterjemahkan, sama ada secara harfiah ataupun yang lain-lain. Dari segi ilmu bahasa, perkataan parent pada Perkara 12(4) itu memang bermaksud bentuknya yang tunggal.
Ini disahkan melalui penggunaan guardian yang juga diketengahkan sebagai bentuk tunggal sejurus sahaja selepas penggunaan parent untuk menekankan maksud seorang sahaja dan bukannya berdua, iaitu ibu dan bapa sekali gus.
Dengan ini, bagaimanakah boleh kita bimbang akan penterjemahan yang tidak tepat apabila ia dilakukan dalam bahasa Melayu. Ia yang lebih tepat apabila dibandingkan dengan naskhah bahasa Inggeris yang mahu dikekalkan sebagai yang sahih dan rasmi, hendaklah diyakini sepenuhnya.
Sehubungan ini, natijahnya ialah penggunaan bahasa yang tepat, sama ada bahasa Melayu mahupun yang lain-lain oleh mereka yang ahli dalam bahasa berkenaan. Gabungan mantap antara ahli bahasa dengan pakar perundangan dalam memastikan naskhah bahasa Melayu yang mahu diangkat itu adalah penting.
Ia pasti akan menghasilkan bukan sahaja teks yang sebaik-baiknya, juga yang amat tepat pula. Inilah seafdal-afdal petuanya. Ia mungkin tidak dilakukan secara signifikan sebelum ini sehingga timbulnya kontroversi yang mempertikai tafsiran aneh apabila parent dalam bahasa Inggeris boleh ikut bermakna bentuk jamaknya, iaitu parents.
Natijah pentingnya ialah penggunaan bahasa yang tepat, khususnya oleh mereka yang mahu mengangkat bahasa Melayu untuk menduduki martabat sewajarnya sebagai bahasa negara.
Sehubungan ini, mereka juga perlu memperlihat kemampuan dalam bahasa Inggeris yang merupakan persaingan dalam konteks kita mahu mengangkat naskhah bahasa Melayu ini.
Ini penting untuk memperlihat bahawa mereka memperjuang bahasa Melayu bukan semata-mata sebagai tradisionalis kerana hanya cekap dalamnya dan langsung tidak mengetahui bahasa Inggeris, ataupun dengan sederhana sahaja.
Sebaliknya mereka adalah modenis yang mengetahui kedua-dua bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan baik sekali, tetapi memilih untuk mengangkat bahasa Melayu dalam kes ini dan juga lain-lain atas semangat kebangsaan yang tinggi.
Ini antaranya dicetuskan kepercayaan bahawa warisan budaya kita adalah jauh lebih baik dan hebat daripada yang lain-lain. Justeru, dengan mengangkat naskhah bahasa Melayu ini, kita sebetulnya mahu dilihat sebagai negara dan bangsa yang merdeka lagi berdaulat.
Untuk ini, kita haruslah bukan sahaja memiliki, tetapi menonjolkan nasionalisme yang sarat dengan semangat dan hasrat kita sendiri yang tidak lagi terikat dengan mana-mana negara dan bangsa lain.
Ini penting sebagai peningkatan nasional setelah kita menubuhkan negara ini dan membina negara bangsa semenjak sekian lama.
Sumber: Utusan Malaysia, 25 April 2023
Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat Inastitut Masa Depan Malaysia (MASA) merangkap Felow Majlis Profesor Negara (MPN)