Rencana

Program Pengajian Melayu Penting Untuk Negara

PENGAJIAN Melayu ialah program akademik yang meneliti etnik Melayu secara saintifik tentang pelbagai sisi penting kehidupan mereka.

Dengan ini, budaya mereka dalam beberapa bentuk, sama ada bahasa, agama, politik dan ekonomi merupakan antara tumpuan utama program ini yang ditawar dalam negara.

Ia ikut ditawarkan sebilangan institusi pendidikan tinggi di luar negara, dengan memberi tumpuan khusus kepada hanya sisi tertentu, seperti bahasa, sastera dan budaya.

Sebetulnya pengajian ini amat penting untuk memahami etnik Melayu di negara ini yang merupakan kelompok majoriti selain dominan.

Oleh itu, ia mempunyai nilai tinggi yang berupa sumbangan agam (besar) kepada etnik Melayu itu sendiri selain negara dan masyarakat di dalamnya.

Justeru, ia harus wujud sebagai disiplin yang bukan sahaja mengetengahkan asas dan nilai pemikiran etnik Melayu yang diteliti daripada cara hidup mereka dari segi peradaban yang penuh dengan susila. Ia juga sebenarnya penonjolan kemajuan etnik Melayu dalam erti tamadun yang pesat.

Namun, semua ini lebih berupa hasrat murni yang sangat ingin melihatkan perkara demikian betul-betul berlaku. Ini kerana semenjak beberapa waktu yang lalu, program Pengajian Melayu, khususnya yang ditawarkan beberapa institusi pendidikan tinggi tempatan, didapati tidak lagi disegani seperti yang pernah berlaku dahulu.

Ia kini ibarat rumput di tepi jalan, yakni berada dalam keadaan melarat, antaranya dengan enrolmen pelajar yang amat sangat berkurangan, sehingga beberapa kursusnya terpaksa ditutup.

Ini amat malang kerana ia yang sepatutnya merupakan disiplin besar yang mendukung segala macam judul tentang etnik Melayu, tidak lagi menjadi rujukan paling utama tentang kemajuan etnisiti dominan tanah air.

Dengan kata lain, ia hilang keutamaannya sebagai disiplin yang mempunyai sumber agam lagi sahih tentang etnik Melayu sebagai kemudi kemajuan masyarakat dan negara ini.

Dalam pada ini, kemalapan disiplin penting ini, khususnya dalam konteks kenegaraan sangat perlu ditangani segera agar peranannya tidak sesekali terbantut untuk ikut membina negara, baik dari segi kemampanannya, termasuklah pertumbuhan ekonomi, atau kemenjadian warganegara, seperti berjati diri kental.

Ini kerana etnik Melayu itu bukan sahaja konstituen kenegaraan terpenting, ia juga bahagian paling utama untuk menerajui segala hala tuju negara tercinta ini.

Keprihatinan Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk memastikan program Pengajian Melayu bukan sahaja terus relevan pada setiap masa, juga ia terus penting untuk kedua-dua kemampanan negara dan kemenjadian warganegara, adalah tepat pada masanya.

PIAGAM MADINAH

Setelah melihat kemerosotannya yang amat membimbangkan, beliau telah mula mengulasnya pada 2016 dengan menyentuh tentang keperluan meletakkan program ini sebagai yang berdampak besar dengan nilai yang tinggi.

Selain ini, ikut disentuh ialah keperluan program ini berubah dari tumpuan tradisionalnya terhadap ilmu kemanusian sahaja, kepada yang moden lagi luas untuk mencakupi sains sosial sehinggalah sains tulen.

Sehubungan cakupan lebih luas ini, program ini hendak mula bersifat penyelesaian masalah dan bukan lagi bersifat penghuraian semata-mata.

Terbaharu, beliau yang menerajui portfolio pendidikan tinggi semula, terus menggesa agar usaha lebih tekun digembleng untuk memastikan kepentingan program ini bukan sahaja terus relevan, juga bertambah keutamaannya kini dalam ikut memacu kemajuan negara.

Untuk ini, beliau menyeru agar ia diangkat sebagai antara bidang pengajian penting di negara ini. Ini kerana pencapaian lampau dan pengunjuran masa mendatang etnik Melayu sesungguhnya adalah pengetahuan dan pemahaman tentang negara Malaysia itu sendiri.

Seperkara lain yang diangkat ialah kesempurnaan rantaian sumbangan program ini kepada kemajuan negara, hendaklah jelas selain tuntas.

Sehubungan ini, agama Islam yang menjadi anutan etnik Melayu harus dimanfaatkan untuk menggembleng perpaduan negara antara pelbagai etnisiti dan integrasi nasional antara tiga wilayah Persekutuan Malaysia, dengan lebih erat dan utuh lagi. Sehubungan ini, Piagam Madinah hendaklah diterapkan untuk keharmonian itu.

Selain ini, beliau juga ikut menyeru agar program ini tidak lagi bergerak secara bersendirian. Sebaliknya ia hendaklah merangkumi pelbagai pihak berkepentingan lain.

Antaranya badan dan individu bukan kerajaan, semua institusi pendidikan tempatan dan luar negara yang menawarkan program ini, selain gerakan massa yang sebelum ini rata-ratanya dianggap bukan rakan perjuangan strategik.

Sebenarnya, seruan beliau bukan semata-mata atas dasar sebagai Menteri Pendidikan Tinggi. Ia juga sebetulnya hasrat selain kewajipan peribadi sebagai seorang etnik Melayu, untuk bukan sahaja melihat, juga merealisasikan keberadaan etnik Melayu yang lebih terserlah di tanah watannya sendiri.

Ia tidak sesekali cauvinis, apatah lagi rasis, melainkan nasional. Ini kerana nasionalisme dan nasionaliti Malaysia hendaklah berkisar pada lambang dan proses sosiobudaya Melayu yang dipersetujui bersama, sebagai jati dirinya untuk identiti nasional bagi negara dan identiti budaya bagi warganegara Malaysia.

Dengan ini, citra baharu program ini bukan sahaja loncatan besar yang diharap-harap dalam waktu terdekat ini, juga ia hendaklah berupa iltizam etnik Melayu untuk kemajuan negara tercinta ini, yang harus disokong sepenuhnya tanpa sebarang syak dan prasangka daripada etnik bukan Melayu.

Sumber: Utusan Malaysia, 6 Jun 2023

Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat Inastitut Masa Depan Malaysia (MASA) merangkap Felow Majlis Profesor Negara (MPN)

Back to top button