Rencana

Teori Mudah Perpaduan Malaysia

SECARA puratanya, perpaduan negara hanya berada pada tahap sederhana walaupun sudah diikhtiarkan sekian lama oleh pelbagai agensi termasuklah Kementerian Perpaduan yang ditubuhkan khas untuk mengurus hubungan etnik agar menjadi lebih baik lagi. Sehubungan ini, kelihatan ia semacam tidak boleh bertambah baik lagi, justeru penting sekali untuknya bertahan begini sahaja daripada merosot ke tahap lebih teruk.

Dalam pada ini, ada keperluan mendesak untuk diketengahkan teori perpaduan, iaitu gagasan yang terdiri daripada satu set prinsip sebagai satu sistem yang setiap satu bukan sahaja saling berkait tetapi bertindak sebagai satu keseluruhan. Teori dikemukakan itu tidak semestinya satu sahaja, malah beberapa harus diutarakan untuk memberi penjelasan tuntas setelah kaedah saintifik digunakan bagi menyatakan fakta dan hipotesis tentang keadaan perpaduan negara.

Sehubungan ini, semua teori perlu diambil kira untuk tujuan lengkap-melengkapi. Ini kerana tumpuannya tidak sama, justeru mauduknya berbeza-beza. Satu daripada teori ini adalah keadaan perpaduan kita yang sederhana ini pertama-tamanya disebabkan kurangnya pergaulan antara etnik yang signifikan sifatnya, iaitu serius selain sakan pada agregat besar, misalnya Melayu-Cina untuk betul-betul kenal mengenali antara satu sama lain di serata tempat.

Dengan ini, ia akan membawa kepada yang seterusnya, iaitu faham memahami antara satu sama lain, antaranya aspirasi sesuatu etnik dari pelbagai sisi termasuklah agama. Setelah semua ini berlaku, ia akan mengurangkan perasaan curiga-mencurigai antara etnik yang perlu diakui wujud, malah dengan tebalnya.

Gejala kurang, malah tidak bergaul ini secara signifikannya disebabkan oleh sistem pendidikan kita yang menggalak dan membenarkan pengasingan etnik berlaku pada usia sangat muda. Dalam hal ini, kanak-kanak sudah pun diasing-asingkan semasa prasekolah lagi dengan ke tadika yang berdasarkan etnisiti masing-masing. Ia berterusan di peringkat sekolah rendah apabila ibu bapa menghantar anak mereka ke pelbagai aliran persekolahan mengikut etnisiti masing-masing.

Usaha untuk mencantumkan kanak-kanak yang terpisah di peringkat sekolah rendah di peringkat sekolah menengah didapati tidak menjadi. Buktiknya, polarisasi etnik yang benihnya disemaikan sebelum ini tidak memungkinkan kanak-kanak ini bergaul untuk bersatu dengan mudah, apatah lagi mesra.

Ia berterusan di sekolah menengah, berlanjutan di institusi pendidikan tinggi dan dibawa ke tempat kerja. Inilah sebab utama perpaduan kita tidak utuh seperti sepatutnya berlaku setelah lebih enam dekad tertubuhnya negara tercinta ini.

Kita langsung tidak mahu mengendahkan petua mudah, iaitu kanak-kanak yang belajar bersama-sama semasa kecil akan terus bersama-sama apabila dewasa nanti. Malangnya, perkara ini langsung tidak berlaku pada agregat besar untuk negara mengecapi perpaduan yang sepatutnya.

Sebetulnya, usaha untuk kanak-kanak berlainan etnisiti belajar bersama-sama dari kecil lagi adalah sebaik-baik sistem untuk memupuk perpaduan utuh lagi lestari. Namun, ia didapati langsung tidak mungkin dapat dilaksanakan memandangkan bantahan keras setiap kali gagasan ini diutarakan walaupun dalam bentuk neutral yang menjaminkan komponen etnisiti itu dikekalkan secara utuh dalam satu aliran persekolahan negara yang baharu.

Walaupun diketahui faktor pergaulan yang secukupnya amat penting, tidak banyak usaha signifikan dilakukan dalam sistem pendidikan negara ke arah itu. Kalau usaha sedia ada itu berkesan, polarisasi etnik yang disebutkan itu sudah mampu dileraikan di peringkat sekolah menengah untuk melonjakkan tahap perpaduan negara daripada sederhana kepada baik.

Kita banyak bercakap, malah sangat berbangga dengan kepelbagaian etnisiti di negara ini. Namun, ia wujud hanya secara jukstaposisi, iaitu berada sebelah menyebelah sahaja untuk memperlihat kesatuan tetapi pada hakikatnya tiada apa-apa yang wujud antara kita pelbagai etnik ini. Dengan kata lain, ia semu belaka apabila kita berkata kita bersatu dalam kepelbagaian.

Untuk tahap perpaduan negara menjadi baik, kita wajib mencari jalan mewujudkan pergaulan yang intensitinya tinggi dan frekuensinya kerap bagi mewujudkan kemesraan yang substantif sifatnya dan bukan di permukaan sahaja ibarat melepas batuk di tangga. Sehubungan ini, pergaulan mesra pasti akan mewujudkan keadaan kenal-mengenali yang lebih mendalam lagi. Ini penting sekali kerana kita akan lebih mudah menerima etnik lain setelah sudah mengenalinya, bak kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta.

Dengan ini, pasti kita akan lebih faham-memahami menerusi pengetahuan silang etnik ekoran pergaulan rapat ini khususnya dari segi sosiobudaya tentang agama, nilai, organisasi sosial serta bahasa pada sisi budi bahasanya. Ini penting sekali untuk mengurangi dan menghapuskan buruk sangka, stereotaip, konsepsi salah, etnosentrisme, sikap perkauman dan kejutan budaya.

Sebenarnya pergaulan terhad lagi renggang itulah yang menyebabkan kejahilan kita terhadap keberadaan etnik lain sehingga mewujudkan prasangka tidak berasas yang kemudiannya menjadi persepsi tidak tepat, kepercayaan kalut dan nilai salah terhadap sesuatu etnik. Inilah punca perasaan curiga-mencurigai itu sehingga kita tidak percaya-mempercayai antara satu sama lain walaupun senegara. Setelah mengetahui sebab utamanya tidak cukup bergaul, kita wajib mengatasinya untuk memupuk dan melestarikan perpaduan utuh dengan cara banyak bergaul untuk kenal-mengenali, faham- memahami dan mempercayai antara satu sama lain.

Sumber: Utusan Malaysia, 28 Februari 2023

 

Back to top button