Tidak Perlu Tahu Pun Bahasa Melayu?
SEBAGAI tindak balas kepada persoalan ketidakcekapan warganegara berbahasa Melayu yang merupakan bahasa negara kita, mereka ini meningkah dengan mengatakan bahawa tidak terdapat mana-mana bahagian jua sama ada dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 152 atau Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 yang menyentuh tentang hal ini. Sehubungan ini, mereka sepatutnya menunjukkan kesedaran untuk menginsafinya dengan berjanji untuk mempelajari bahasa Melayu sebagai warganegara baik.
Sebaliknya mereka mencari dalil untuk terus mengizinkan kewujudan keadaan tidak nasionalisitik ini, iaitu warganegara yang tiada pengetahuan baik apatah lagi penguasaan tinggi terhadap bahasa negara. Keengganan mereka ini yang bilangannya besar juga memperlihat kegagalan proses pembentukan negara bangsa kita.
Walaupun boleh dikategorikan sebagai kambing hitam kerana menyanggah lambang negara menerusi kelakuan sebegini biadap, mereka harus dibimbing untuk balik ke pangkal jalan setelah sesat di hujung jalan. Ini kerana persoalan ini mempunyai implikasi besar bukan sahaja kepada diri mereka dalam konteks nasionaliti, tetapi juga kepada pembangunan negara khususnya pembangunan sosial dalam memupuk sikap positif dalam kalangan rakyat.
Dalam membela diri, mereka ini sanggup melakukan apa-apa sahaja sehingga sedia berhujah dari segi perundangan negara. Setelah diteliti Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan mengikut tafsiran mereka, bahasa Melayu selaku bahasa negara khususnya sebagai bahasa rasmi adalah hanya untuk penggunaan dalam pentadbiran kerajaan semata-mata.
Ini dihujahkan berdasarkan peruntukan tentang keperluan wajib penggunaannya apabila berurusan dengan Kerajaan Persekutuan dan negeri sahaja termasuklah juga badan awam. Pada mereka ini, selain penggunaan untuk tujuan rasmi itu, langsung tidak terdapat sebarang keperluan bagi rakyat menggunakan bahasa Melayu dalam pelbagai ranah lain.
Seterusnya, bagi mereka ini, juga tidak terdapat apa-apa jua kewajipan secara perundangan pada rakyat walaupun sebagai warganegara untuk cekap dalam bahasa Melayu. Oleh itu, mereka menegaskan adalah tidak betul bagi sesiapa untuk menyalahkan mana-mana pihak yang tidak cekap berbahasa Melayu, lebih-lebih lagi yang bahasa Melayu tidak pun merupakan bahasa ibunda mereka.
Selanjutnya untuk menguatkan penghujahan mereka dalam hal ini, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ikut diteliti. Menurut kefahaman mereka, kedudukan bahasa kebangsaan kita adalah hanya sah apabila tiada sesiapa pun terutamanya Kerajaan Persekutuan mahupun negeri atau badan awam yang melarang bahasa lain daripada diajar dan dipelajari oleh mana-mana komuniti dalam negara ini.
SAHIH
Mengikut mereka, bahasa Melayu tidak akan berupa bahasa negara lagi apabila ada pihak yang mahu melarang penggunaannya dalam bentuk pengajaran dan pembelajaran, misalnya di sekolah vernakular. Bagi mereka, ini termaktub secara terang lagi bersuluh pada Perkara 152(1)(a)&(b).
Untuk bahasa Melayu terus berkuasa, sahih dan wajar kewujudan sebagai bahasa negara khususnya sebagai bahasa kebangsaan, ia bersyarat dan bukan secara wewenang. Dengan kata lain, bahasa Melayu tidak lagi merupakan bahasa negara apabila wujud sahaja penghalangan oleh mana-mana pihak terhadap mana-mana kelompok untuk menggunakan sebarang bahasa lain di luar ruang lingkup rasmi itu.
Bagi mereka, terdapat kebenaran penggunaan bebas secara perundangan yang diberikan kepada bahasa lain yang perlu dihormati. Oleh itu, menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak untuk mengutuk mereka yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam ranah lain.
Dengan adanya cara pemikiran sebegini, kita bukan sahaja berhadapan dengan masalah serius dalam menangani isu ketidakcekapan ini yang ada kaitan rapat dengan nasionalisme. Dalam hal ini, masalah itu adalah ekoran daripada kegagalan proses pembentukan negara bangsa, khususnya pada aspek linguistik penting ini pada bahasa negara.
Ia tidak lain tidak bukan rasa keterikatan kepada negara sebagai tanah air dari segi pengetahuan dan penguasaan bahasa negara. Dalam hal ini, kita harus berjiwa besar untuk mengakui masalahnya bagi tujuan pembaikan, iaitu membentuk semula negara bangsa yang gagal pada aspek ini.
Langkah pembaikan ini antaranya akan menyatukan pelbagai etnisiti ke dalam satu komuniti nasional yang terserlah jati diri linguistik bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Penyatuan ini akan pula melahirkan warganegara yang bukan sahaja cekap tetapi bangga, sayang dan setia kepada bahasa Melayu selaku bahasa negara.
Semua ini bukan sahaja penting untuk kestabilan politik dalam erti kata keharmonian sosial, ia juga mustahak sebagai hasilan proses pembentukan negara bangsa yang berjaya. Dalam mewujudkan komuniti nasional itu, ia hendaklah antaranya dilakukan dengan menggubal kandungan nasionalisme pada sistem pendidikan negara.
Untuk kandungan ini, gagasan bahasa Melayu selaku bahasa negara hendaklah dijadikan antara peranti utama untuk membangkitkan rasa keterikatan kepada negara tercinta ini. Melalui pendekatan ini, diharapkan tiada lagi warganegara yang berikhtiar mencari dalil, malah dalih untuk tidak mahu terikat kepada negara ini menerusi perasaan positif terhadap bahasa Melayu.
Ia juga dijangka dapat membangkitkan semangat kebangsaan bagi mereka ini untuk sama-sama mengangkat bahasa Melayu yang diketahui dan dikuasai sebaik-sebaiknya sebagai kebanggaan negara. Ini sangat penting untuk Malaysia bermegah bahawa identiti nasional dan identiti budayanya didukung kuat oleh setiap warganegaranya di segenap pelosok tanah air tercinta ini.
Sumber: Utusan Malaysia, 18 April 2023
Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat Inastitut Masa Depan Malaysia (MASA) merangkap Felow Majlis Profesor Negara (MPN)