Tingkatkan Kemahiran Wanita Berkaitan Ekonomi Digital
KERAJAAN perlu mengambil pendekatan menyeluruh dan lebih serius dalam menyediakan infrastruktur, kursus serta latihan bagi meningkatkan kemahiran dari segi upskilling dan reskilling wanita berkaitan ekonomi digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd Amin berkata, selain itu kerajaan juga perlu meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang hak-hak dan perlindungan serta pengukuhan aspek emosi dan rohani yang perlu diberikan kepada golongan wanita dalam berdepan cabaran semasa dan masa hadapan.
Menurutnya, era digital membuka ruang pemerkasaan yang luas bagi golongan wanita dan kanak-kanak perempuan.
“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah pun mengambil inisiatif memperkenalkan Program Keusahawanan Wanita Bangkit pada tahun 2022, bagi membantu golongan wanita yang hilang sumber pendapatan berikutan krisis pandemik Covid-19 dengan memastikan tiada yang terpinggir daripada arus pemodenan ekonomi digital.
“Namun, bagi merealisasikan aspirasi negara sebagai peneraju ekonomi digital di rantau Asia Tenggara, Malaysia perlu mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi digital dan teknologi moden yang masih lagi kecil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2023 dengan tema antarabangsa, Digital untuk Semua: Inovasi dan Teknologi bagi Kesamarataan Gender. yang telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Manakala tema “KASIH Wanita” telah dipilih oleh KPWKM sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan dan jasa wanita yang sangat signifikan dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.
Ujar Azril lagi, kesediaan kerajaan untuk meningkatkan kemahiran wanita dalam ekonomi digital itu juga adalah selaras Prinsip Panduan Kelima Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) iaitu Keterangkuman yang mengangkat golongan wanita supaya tidak tercicir dalam arus pembangunan negara.
“Menurut Statistik Pemerkasaan Wanita dalam Domain Terpilih 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Wanita (LFPR) masih rendah iaitu 55.5 peratus berbanding lelaki sebanyak 80.9 peratus.
“Daripada jumlah tersebut, hanya 40.6 peratus menerajui bidang profesional dan teknikal, manakala 24 peratus menjawat jawatan tinggi seperti penggubal undang-undang, pegawai kanan dan pengurus,” katanya.
Selain daripada cabaran yang dihadapi golongan wanita seperti diskriminasi dan keganasan terhadap wanita ujar beliau lagi, pembangunan pesat teknologi digital termasuk bidang kecerdasan buatan (AI), internet benda (IoT) dan automasi juga merupakan cabaran baharu dalam mendokong agenda digital untuk wanita.
“Ini didorong oleh beberapa faktor seperti capaian internet yang rendah di kawasan pedalaman dan luar bandar, kurangnya pendedahan literasi digital, keganasan digital gender (online gender based violence), serta diskriminasi gender dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.
Sumber:https://www.edisi9.com.my/2023/03/tingkatkan-kemahiran-wanita-berkaitan-ekonomi-digital/