Rencana

Titah Perpaduan Bijaksana

SEMASA menyempurnakan pelancaran sambutan Minggu Perpaduan 2023, Ketua Negara bertitah tentang kepentingan tiga perkara untuk pemupukan dan pelestarian perpaduan termasuklah integrasi di negara ini.

Yang pertama ialah perpaduan adalah aset negara. Kedua ialah keperluan mengurangkan perbezaan untuk merapatkan jurang perkauman dan agama. Terakhir ialah pentingnya perpaduan mula dipupuk di rumah lagi. Ketiga-tiga ini yang didapati dititahkan secara spontan bukan sahaja amat penting, juga sangat bernas.

Sebagai sebuah negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai etnisiti dan tiga wilayah, sudah tentu hubungan etnik dan wilayah yang bukan sahaja selalu baik tetapi kukuh pada setiap masa adalah keutamaan nasional paling teratas.

Sehubungan hubungan baik lagi kukuh ini, ia hendaklah dianggap bukan sahaja sebagai paling mustahak, juga paling bernilai.

Ini kerana pembangunan dan kemajuan negara dari apa-apa jua sisi amat sangat bergantung kepada keharmonian sosial yang wujud akrab lagi tegap, ekoran perpaduan negara yakni hubungan etnik erat dan integrasi nasional, iaitu hubungan wilayah utuh.

Dengan ini, tidak dapat disangkal lagi bahawa hubungan etnik dan wilayah yang erat lagi utuh adalah tetap keutamaan terpenting untuk Malaysia. Perutusan penting begini apabila dititah sendiri oleh Ketua Negara sebagai reaksi naluri terhadap ikrar penyatuan oleh rakyat jelata, sesungguhnya adalah seikhlas-ikhlas keazaman untuk memastikan perpaduan dan integrasi erat lagi utuh itu terus terpelihara.

Sehubungan ini, ia hendaklah berupa khazanah negara yang harus dipertahan dalam apa-apa jua cara oleh semua pihak. Ini kerana kepentingannya kepada negara adalah tidak ternilai nisbahnya.

Titah untuk rakyat jelata mengurangkan perbezaan etnisiti dan kewilayahan untuk tujuan tidak lain tidak bukan bagi merapatkan jurang perkauman dan agama, bukan sahaja adalah sebaik-baik peringatan, ia juga selari dengan peranan Ketua Negara sebagai penaung penting perpaduan negara dan integrasi nasional itu sendiri.

WANITA CINA

Ini kerana Ketua Negara lambang penyatuan bagi negara ini, baik untuk setiap lapisan masyarakat mahupun segenap pelosok tanah air. Sehubungan ini, sebagai payung penyatuan khususnya dalam konteks perpaduan dan integrasi itu, Ketua Negara adalah pelindung yang memberi perlindungan saksama kepada setiap etnisiti dan wilayah di negara ini.

Dalam pada ini, jurang perkauman dan agama serta lain-lain antaranya bahasa dan pendidikan hendaklah dirapatkan untuk dihapuskan akhirnya dengan kita lebih banyak berbicara dan mengangkat perkara yang boleh menyatukan daripada yang memecahbelahkan kita.

Sehubungan ini, kisah benar melibatkan hubungan etnik yang luar biasa hendaklah diuar-uarkan bukan sahaja sebagai sekadar cerita semata-mata tetapi sebagai rangsangan mulia untuk menyatukan kita.

Antaranya termasuklah perihal seorang guru tadika wanita Cina yang telah membesarkan anak perempuan Melayu sehingga dewasa secara Islam. Ia bukan sahaja menyayat hati dari sisi kemanusiaan yang amat luhur sifatnya, lebih penting lagi ialah kemampuan penyatuan dalam kepelbagaian khususnya antara bukan Muslim dengan Muslim.

Sebaliknya kita hendaklah memastikan perkara yang boleh memecahbelahkan kita tidak sesekali dibicara langsung, apatah lagi diangkat sebagai agenda awam. Untuk ini, ahli politik diseru agar tidak sesekali menangguk di air keruh pada keadaan perpaduan dan integrasi kita yang hanya berada pada tahap sederhana dengan membuat kenyataan provokatif dan yang mengapi-apikan pula. Ini kerana ia boleh menyebabkan keadaan tegang yang dapat pula memecahbelahkan kita.

Pentingnya institusi keluarga dalam konteks nilai bersatu bermula di rumah yang dititahkan itu sebenarnya adalah setepat-tepatnya seruan. Ini kerana antara peranan penting keluarga ialah untuk menyebarkan amalan baik antara generasi.

Dengan ini, ahli keluarga khususnya yang lebih tua sama ada ibu bapa sendiri atau datuk, nenek serta bapa dan emak saudara sebenarnya mempunyai tanggungjawab selain merupakan teladan penting untuk mendidik dan mensosialisasikan golongan muda tentang perpaduan dan integrasi itu. Dengan kata lain, mereka harus menanam nilai bersatu untuk dijiwai oleh kanak-kanak.

Sebenarnya, peranan yang dapat dimainkan institusi keluarga dalam hal ini tidak dapat dilihat relevansinya oleh banyak pihak. Namun, ia berjaya dikenal pasti Ketua Negara yang mengetahui betapa pentingnya keluarga dalam kehidupan manusia, khusus pada peranan mendidiknya.

Ini kerana bagi mereka yang dilahirkan ke dalam mana-mana jua keluarga, keluargalah merupakan institusi pendidikan pertama mereka. Sehubungan ini, keluargalah yang membekalkan pengetahuan asas tentang kehidupan, masyarakat sekeliling dan kelakuan manusia.

Di samping peranan mendidik ini, keluarga juga ada peranan sosial dan budaya yang boleh dimainkannya. Ia bukan sahaja boleh membantu, juga memastikan kanak-kanak mematuhi norma sosial dan moraliti tertentu. Ini penting agar mereka tidak bersifat antisosial untuk tidak mahu bercampur dengan mereka yang bukan seetnisiti mahupun sewilayah.

Sesungguhnya titah yang disampaikan secara bersahaja itu amat sarat dengan pelbagai kebijaksanaan. Ia memperlihat tahap pengetahuan yang bukan sahaja tinggi, juga penuh dengan pertimbangan wajar yang boleh dengan mudah diamalkan.

Titah itu juga menunjukkan betapa tingginya pemahaman Ketua Negara tentang proses kenegaraan, baik tentang pembangunan negara khususnya yang mampan, antaranya pertumbuhan ekonomi pesat selain pembinaan negara bangsa untuk melahirkan rakyat jelata yang bersatu. Kedua-dua proses ini sesungguhnya adalah hasil perpaduan dan integrasi erat lagi utuh seperti yang dihasratkan pada titah itu oleh Ketua Negara.

Sumber: Utusan Malaysia, 23 Mei 2023

Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat Inastitut Masa Depan Malaysia (MASA) merangkap Felow Majlis Profesor Negara (MPN)

Back to top button