Rencana

Ungkit Soal Patriotisme Setiap Kali 31 Ogos Bukan Klise

BILAKAH kita mula menyedari kita hidup bernegara? Saat bilakah kita mula menyedari betapa kita sebenarnya ada tanggungjawab kepada semangat mencintai negara? Adakah semua ini bermula setiap kali kita menyanyikan Negaraku ataupun ketika bersekolah atau berada dalam program-program kem bina diri dan sebagainya, mengangkat tangan turut bersama-sama memperkukuh ikrar Rukun Negara?

Puluhan lagu bertemakan semangat cintakan tanah air sentiasa menjadi siulan di bibir sejak era penciptaan lagu-lagu oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Joget Malaysia sehinggalah Bahasa Jiwa Bangsa, Setia, Fikirkan Boleh, Keranamu Malaysia, Saya Anak Malaysia dan Tanggal 31 serta lainnya sehinggalah trend terkini dengan irama rap dan hip-hop, lagu-lagu patriotik memberikan pengukuhan tanpa sedar bangsa Malaysia, betapa elemen patriotisme ini hal yang amat seni dan sentiasa perlu dinamik mekanismenya agar kekal utuh dalam hati seluruh rakyat.

Menyebut hal patriotisme setiap kali menyambut Hari Kebangsaan tidaklah kita boleh menganggapnya klise atau hal yang terlalu ironi menghubungkannya dengan kewarganegaraan Malaysia. Patriotisme kepada setiap individu di negara ini ibarat tulang belakang kepada Malaysia. Rapuhnya patriotisme bermakna rapuh juga integriti terhadap tanggungjawab kepada negara bangsa ini.

Patriotisme merupakan perasaan kasih sayang, kesetiaan dan tanggungjawab terhadap negara. Ia bukan sekadar ungkapan emosi tetapi juga melibatkan penghayatan dan tindakan nyata untuk memajukan dan melindungi negara serta rakyatnya. Patriotisme merangkumi aspek-aspek seperti penghormatan terhadap lambang-lambang negara, kesetiaan terhadap prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang dipegang oleh negara serta keterlibatan aktif dalam usaha-usaha pembangunan dan kemajuan negara.

Nasionalisme pula adalah semangat untuk memperjuangkan kepentingan dan kesejahteraan warganegara dalam konteks masyarakat yang lebih besar. Ia melibatkan usaha untuk mencapai kemerdekaan, keadilan dan kebahagiaan bagi semua individu dalam negara tersebut. Nasionalisme juga boleh memainkan peranan dalam pembangunan sosial dan ekonomi negara dengan mendorong kerjasama dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Kedua-dua konsep ini, patriotisme dan nasionalisme memainkan peranan amat penting dalam membina identiti nasional, memelihara keamanan dan kesatuan serta membentuk asas untuk pembangunan dan pertahanan negara yang berjaya. Kedua-dua unsur ini memperkukuh dan menyatukan rakyat dari pelbagai latar belakang dan mengangkasakan hasrat bersama untuk mencapai matlamat lebih besar. Oleh itu, memahami dan mengamalkan nilai-nilai ini dapat membantu memperkukuhkan negara dan masyarakat secara keseluruhannya.

HARI PAHLAWAN

Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun bagi memperingati dan menghargai semangat keberanian di samping menghargai jasa para perwira dan perajurit pasukan keselamatan negara terutama mereka yang gugur demi mempertahankan keamanan serta kedaulatan negara.

Dalam konteks era globalisasi ini, pahlawan juga dilihat dari sudut yang lebih luas dan luwes. Pahlawan negara termasuklah mereka yang telah berjuang membina, membangunkan serta mencelikkan minda seluruh warganegara ini sejak kita meniti zaman-zaman penuh mencabar. Bahawa sehingga kini guru-guru di pedalaman Kelantan, Sabah, Sarawak saban hari melalui liku-liku amat mencabar demi menyuluh ilmu di dada anak bangsa. Walaupun tidak mengangkat senjata, pahlawan tidak didendang seperti ini sentiasa ada dalam doa-doa kita!

Kita akan menyambut Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia dengani tema Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Memenuhi Harapan, sebagaimana diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada 27 Mei lalu.

Musim memilih juga telah selesai. Syabas kepada yang telah menjalankan tanggungjawab memilih. Demi semangat patriotisme yang mendalam, usah kita lebarkan pertentangan tapi ayuh kita bangkit serlahkan kesatuan, pacu negara ke puncak kejayaan.

Pada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baharu dirasmikan, iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu iaitu secara rasminya penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu. Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dengan iringan Negaraku yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baharu. Diikuti selepas itu seruan azan sebagai simbolik lahirnya sebuah negara baharu dan tembakan meriam 101 das.

Generasi baharu harus menghargai pengorbanan pahlawan-pahlawan kita yang membawa keamanan ini agar bertransformasi menjadi masyarakat proaktif dan produktif. Peristiwa penting seharusnya dirayakan secara meriah untuk menanamkan rasa cinta terhadap negara di dalam diri setiap warga Malaysia. Hari Kemerdekaan, juga dikenali sebagai Hari Kebangsaan dirayakan dengan penuh semangat setiap tahun di mana pelbagai acara seperti perarakan berwarna-warni, pengibaran bendera Malaysia, pertunjukan panggung, kompetisi dan pelbagai acara lainnya. Sebagai contoh, menggantung bendera di pintu rumah atau kenderaan. Semua acara ini diadakan untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dalam meraikan kemerdekaan negara, dan secara tidak langsung membantu mendidik generasi muda untuk lebih mendalam memahami sejarah negara. Negara terhutang budi kepada para pahlawan yang telah berkorban nyawa dan air mata demi sebuah Malaysia berdaulat.

Sumber: Utusan Malaysia, 16 Ogos 2023

Profesor Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Felo MASA merangkap Pakar Psikologi Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia & Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh, Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Back to top button