Wanita Mesti Aktif, kreatif, inovatif
WANITA, dirimu begitu berharga. Wanita ciptaan Tuhan yang dilimpahi dengan pelbagai keistimewaan dan pada wanita juga dunia terakam indah serta mungkin juga sebaliknya.
Hal hebat wanita dan fitrah kejadian wanita itu memiliki pelbagai hikmah dan pada diri wanita itu juga ada tanggungjawab dan amanah. Bukanlah semata-mata diraikan wanita itu kerana kecantikan yang dimilikinya yang dianggap sebagai paksi keindahan seluruh alam seni.
Dalam bidang kesusasteraan dunia, karya-karya yang merakamkan tentang wanita menyampaikan mesej sejagat antaranya drama purba Yunani bertajuk Medea oleh Euripides (431 SM).
Seterusnya wanita menjadi subjek penting dalam pengkaryaan alam Melayu juga antaranya Syair Siti Zubaidah Perang Cina (1840), Hikayat Perempuan Bernama Latifah yang berada dalam koleksi manuskrip Perpustakaan Negara Malaysia (tiada tarikh sebenar hikayat dihasilkan) dan Hikayat Faridah Hanum (1925).
Selain hikayat, kisah-kisah puteri legenda menjadi pembudayaan taakulan minda kita daripada kisah-kisah seperti Puteri Gunung Ledang, Cik Siti Wan Kembang, Tun Fatimah dan ramai lagi, yang boleh kita baca dan menelaah daripada buku berjudul 101 Puteri Dunia Melayu (Nisriwani Yahaya dan Syed Zulflida S.M. Noor), yang diterbitkan oleh Jabatan Muzium pada 2003 dan setiap kali diulang cetak, buku ini pasti habis terjual.
Kini, buku ini, sukar ditemui di pasaran terbuka, menjadi begitu eksklusif dan bahan nadir bernilai warisan, ibarat kandungan ditulis dan dikongsikan oleh gandingan penulis.
Penulis merakamkan serta mendokumentasi khazanah puteri-puteri yang bukan sahaja berani, cantik tetapi juga memiliki kecerdasan tinggi berdasarkan kisah-kisah tersendiri dimiliki setiap puteri. Buku ini seolah-olah menggambarkan juga wanita-wanita yang cerdas berakal budi seperti dijelmakan oleh puteri-puteri ini sukar ditemui semasa kini! Benarkah demikian?
Tidak kira di desa mahupun di kota besar, sama ada pengurus rumah tangga sepenuh jiwa atau separuh jiwa diberikan kepada organisasi, peranan wanita cukup signifikan bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang unggul.
Wanita bukan sahaja dilihat dengan konotasi bersifat berat sebelah, khususnya sebahagian tradisi dan pemikiran yang menganggap wanita bertindak atas emosi, berbanding kecerdasannya.
Itu antaranya polemik yang mungkin tidak akan berkesudahan dan dunia terus sahaja berjalan pada paksinya, sama ada sedar atau tidak, wanita tetap juga ‘beraksi’ untuk memastikan dunia yang ditanganinya adalah satu kehidupan sempurna baginya. Walaupun berdepan dengan cabaran menangani diri serta keluarga, wanita tetap bersedia dengan setiap cabaran yang hadir.
Menurut akademia dan budayawan unggul, Profesor Dr. Noriah Mohamed, pada ejaan Jawi perempuan itu memperlambangkan maksud yang holistik. Ringkasnya, wanita walaupun dianggap lemah, tetap berusaha tampil sempurna dari setiap sudut. Maka tidak hairanlah, jika ada ungkapan menyebut, kejayaan seorang lelaki itu di sebaliknya ada seorang wanita.
MADANI
Hari Wanita Sedunia disambut hari ini. Hampir setiap wanita menginginkan penampilan yang sempurna dan hebat. Wanita berintelektual, cerdas, berwawasan dan pintar, selari dengan gagasan Malaysia Madani yang bersifat menyeluruh.
Wanita masa kini mesti aktif, kreatif, inovatif dan membina kekuatan dalaman untuk menempa cabaran dunia yang serba moden nanti. Justeru, majikan dan organisasi perlulah empati dengan pekerja mereka khususnya wanita.
Majikan seharusnya peka dengan masalah dihadapi pekerja wanita kerana peranan mereka adalah mencabar dan memerlukan konsep dwiperanan yang sangat kolektif dan holistik.
Senario peranan wanita hari ini adalah berbeza dengan situasi peranan wanita pada zaman dahulu. Pandangan tradisi dan dahulu menunjukkan kekangan hanya dalam lingkungan institusi kekeluargaan.
Namun, wanita kini semakin bijak meningkatkan profil dan identiti diri menjadi seorang yang kompeten dan cemerlang dalam bidang diceburi. Bukan hanya dalam sisi kajian di Malaysia, namun kajian luar negara banyak meneroka aspek berkaitan perkembangan kerjaya dan pendidikan wanita.
Dasar Wanita Negara yang merupakan rentetan pembinaan Dasar Wanita Negara pada 1989 mengetengahkan pelbagai prinsip bagi mewujudkan perdamaian dalam isu ketidaksamaan jantina agar pembangunan dapat dilaksanakan secara seimbang, konsisten dan lestari.
Dasar ini bertujuan membangunkan potensi wanita dalam pelbagai bidang khususnya 13 sektor utama termasuk ekonomi, undang-undang, sains dan teknologi, mekanisme, kejuruteraan, kelestarian alam serta kesenian.
Matlamat negara adalah sentiasa memperkukuhkan keupayaan wanita dalam sosioekonomi dan membina sinergi bagi menggerakkan sumber dan kepakaran dalam kalangan wanita. Tidak dinafikan, Malaysia mempunyai ramai tokoh wanita terkenal sehingga ke peringkat antarabangsa.
Antara nama-nama terulung ialah Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, Tan Sri Hajah Zainon Sulaiman, Tan Sri Mazlan Othman, Nur Adlyka Ainul Annuar, Dr. Nur Amalina Che Bakri, Tan Sri Michelle Yeoh, Datuk Nicol Ann David, Dr. Madeline Berma dan ramai lagi wanita hebat di Malaysia yang berjaya dalam karier dan bidang masing-masing secara profesional dan bijaksana.
Wanita memanglah benar-benar hebat! Satu di antara buktinya, waktu dia menangis, dia tetap masih dapat berkata, “Saya tidak apa-apa.” Selamat menyambut Hari Wanita.
Sumber: Utusan Malaysia, 8 Mac 2023