Peruntukan Untuk Sarawak Perlu Ditambah: Madeline
KUCHING: Sarawak memerlukan peruntukan lebih besar di bawah belanjawan nasional bagi ‘menoktahkan kemiskinan tegar’ di negeri ini.
Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA) Datuk Madeline Berma berkata, Sarawak antara negeri yang tertinggi insiden kemiskinan tegar di Malaysian.
“Dalam Bajet 2023 pada bulan Oktober 2022 yang dibentangkan bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, RM5.4bilion diperuntukan untuk negeri Sarawak.
“RM5.4 bilion kepada Sarawak hanya 1.5 peratus daripada jumlah peruntukan Bajet 2023.
“Dalam Belanjawan 2023 yang baru dibentangkan, peruntukan negeri Sarawak adalah RM5.6 bilion,” katanya kepada Utusan Borneo hari ini sebagai mengulas Belanjawan 2023 yang dibentang semula Jumaat lalu.
Sehubungan itu, Madeline amat berharap Kerajaan Perpaduan dapat menambah peruntukan pembangunan dan mengurus untuk Sarawak.
Ini katanya, selaras dengan status Sarawak sebagai wilayah, bukan negeri.
“Saya berharap peruntukan perlu ditingkatkan daripada 1.5 peratus ke 30 peratus daripada jumlah perbelanjaan untuk membolehkan Sarawak mengejar pembangunan Semenanjung Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, Sarawak tetap mendapat manfaat daripada belanjawan tersebut kerana ia terus mengutamakan pembangunan infrastruktur, pembangunan sekolah dan klinik daif.
Sumber:https://www.utusanborneo.com.my/2023/02/28/peruntukan-untuk-sarawak-perlu-ditambah-madeline