Berita & Pendapat

Hasil kajian Institut MASA akan dicadang jadi dasar kerajaan

KUALA LUMPUR – Hasil kajian penyelidikan Program Pembangunan Dasar Institut Masa Depan Malaysia (MASA) atau MPDP akan dicadang untuk dijadikan dasar kerajaan yang dapat memberi kesan langsung kepada proses pembangunan negara.

Pengerusi MASA, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penghasilan kajian berimpak tinggi oleh ahli akademik dan para penyelidik yang ditapis oleh panel-panel professional itu wajar dijadikan petunjuk tindakan ke arah pembangunan sosio ekonomi Malaysia yang lebih baik.

“Hasil-hasil yang diperolehi daripada para penyelidik ini bukan sahaja akan dibukukan malah mana yang agak penting akan dicadangkan untuk ia dijadikan dasar awam, baik dari segi ekonomi, sosial, pendidikan, perubahan iklim, teknologi dan bermacam-macam lagi.

“Nampaknya usaha ini telah memberi kesan yang baik dan kami akan teruskan. Ini adalah sumbangan demi masa depan Malaysia terutama dalam pembinaan dasar-dasar negara,’’ katanya pada sidang akhbar Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) 2.0 di Hotel Tamu, semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA) Azril Mohd Amin.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri itu dalam ucapannya mendedahkan, hasil daripada kajian MASA mendapati sebahagian daripada rakyat negara ini khususnya dalam golongan B40 dan M40 berdepan dengan beban kos sara hidup yang semakin menekan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysian itu menegaskan tiada impak sosio ekonomi yang baik dicapai oleh gabungan kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setakat ini.

“Sampai hari ini saya masih tidak mendengar satu pun perkara yang memberi harapan kepada rakyat yang sedang menanggung beban kerana ekonomi yang tidak menentu.

“Sedangkan apa yang paling utama dan harus diberikan tumpuan adalah soal proses untuk memulihkan ekonomi negara.

“Sebab itu jugalah isu-isu yang berkait dengan rakyat ini menjadi tumpuan MASA dalam kajian-kajiannya,’’ katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin berkata, penganugerahan geran MPDP 2.0 merupakan kesinambungan daripada MPDP yang diperkenalkan pada September 2021 berikutan kejayaan penghasilan 30 kertas dasar yang mencari penyelesaian kepada isu-isu kritikal pemulihan dan pembangunan ekonomi negara.

Beliau berkata, pada tahun ini, pihaknya menerima sebanyak 254 kertas cadangan daripada 29 Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA dan IPTS) serta badan bukan kerajaan.

“Antara bidang tumpuan adalah berkaitan dengan perubahan iklim; keterjaminan makanan; pembinaan daya tahan kesihatan dan kesiapsiagaan krisis masa depan; menangani keciciran pembelajaran; memacu perniagaan; rumah mampu milik, dan; perlindungan sosial.

“Kesemua kertas cadangan ini telah melalui proses tapisan awal oleh Sekretariat Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) diikuti penilaian oleh panel penilai professional terdiri daripada pakar bidang, mantan pegawai tinggi kerajaan serta ahli akademik,’’ katanya.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 27 kertas cadangan dari 15 IPTA dan IPTS tempatan yang merangkumi topik kajian dalam bidang ekonomi, sosial, kebajikan, pendidikan serta pembangunan lestari telah disenarai pendek dan diputuskan layak oleh panel penilai untuk menerima geran penyelidikan MPDP 2.0.

“Mereka yang terpilih dianugerahkan geran penyelidikan bernilai RM10,000 untuk setiap kertas ringkasan polisi yang bakal dihasilkan,’’ katanya.

Maklumat lanjut mengenai Institut MASA boleh diperolehi dari laman https://institutmasa.com/

Sumber:https://malaysiatribune.news/2023/05/18/hasil-kajian-institut-masa-akan-dicadang-jadi-dasar-kerajaan/

Back to top button