Kita Tidak Layak Dalam Liga Asia Tenggara
TITAH Ketua Negara tentang polarisasi bakal meruncing lagi apabila terdapat perjuangan untuk memartabatkan etnisiti masing-masing secara melampau tanpa mengambil kira kemajmukan merupakan teras penubuhan negara, bukan sahaja tepat pada masanya yang kini memperlihat perpecahan ketara.
Ia juga sebenarnya merupakan peringatan halus tentang kegagalan proses pembentukan negara bangsa kita yang harus diberikan perhatian segera sebelum sesuatu lebih teruk berlaku.
Sebetulnya setelah sekian lama penubuhan negara, kita sepatutnya tidak lagi berbicara tentang masalah asas sebegini dalam naratif yang masih memperlihat pergelutan untuk terus bertahan sebagai sebuah negara bersatu padu akibat tiadanya perpaduan erat lagi utuh.
Sepatutnya sesudah sekian lama negara tertubuh, kita kini harus lebih banyak berbicara tentang cara menggemilangkan negara di persada dunia seperti sedang dilakukan negara lain yang sebaya dengan negara kita.
Malang sekali dengan prestasi lembap kita dalam konteks negara bangsa berjaya khususnya warganegara yang memiliki identiti nasional bagi menyerlahkan Malaysia sebagai politi (bentuk pemerintahan negara) Melayu dan identiti budaya bagi memaparkan budaya nasional yang terasnya Melayu-Islam, kita tidak pun layak berada dalam liga Asia Tenggara, apatah lagi rantauan. Ini kerana apabila diambil kira kewatanan asal yang perlu dijulang semua, khususnya oleh bukan asal, ia masih tidak terjunjung dalam cara signifikan.
Dalam hal ini, harus diakui kita belum berjaya membentuk negara bangsa dalam bentuk komuniti nasional betul-betul terdiri daripada satu paduan kukuh dari segi kejiwaan Malaysia yang dipersetujui berdasarkan simbol dan proses sosiobudaya Melayu.
Dengan ini, Malaysia sebagai politi Melayu yang ikut dihuni etnisiti lain sebagai rakyat masih belum boleh mempamerkan rakyatnya bukan asal, waima sudah beberapa generasi mendukung sukma Melayu itu seperti ditekadkan pada perjanjian etnik menjelang penubuhan negara.
Ini dapat dilihat dengan jelas sekali apabila masih terdapat ramai bergelar warganegara daripada golongan muda pula yang tidak boleh berbahasa negara bukan sahaja dengan baik, malah ada tidak mengetahuinya langsung.
Gejala ini tidak sepatutnya wujud setelah sekian lama kita mula membentuk negara bangsa, iaitu komuniti nasional bukan sahaja mampu mempamerkan identiti nasional utuh, juga bangga, sayang dan setia kepada negara dalam konteks identiti budaya yang wajib diperlihat setiap warganegara dari segenap pelosok tanah air.
Namun, ia jauh panggang dari api, yakni tidak pun seperti dijangkakan daripada proses pembentukan negara bangsa yang bermula sejurus penubuhan negara. Lebih serius lagi ialah ia semacam mustahil dilakukan, iaitu untuk melahirkan warganegara khususnya dari kelompok bukan asal yang menjiwai firasat Melayu sebagai kelompok asal majoriti lagi dominan di negara ini.
CEKAP
Kemahiran insaniah ditekankan dalam titah itu yang ikut menyenaraikan nasionalisme dan patriotisme sejati sebagai antara terpenting adalah tepat sekali. Ini sangat benar dalam konteks pengetahuan baik dan penguasaan tinggi dalam bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara.
Sehubungan ini, kelompok bukan asal di negara ini hendaklah bukan sahaja memahami, juga menerima kebenaran bahawa mereka tinggal di negara yang tuannya adalah etnik Melayu.
Oleh itu, mustahak sekali untuk mereka menerima hakikat bahawa mereka wajib melakukan sebilangan perkara yang dikehendaki daripada mereka. Antaranya kecekapan berbahasa Melayu.
Dengan adanya kecekapan ini, bukan sahaja kewarganegaraan warganegara untuk cekap dalam bahasa negaranya. Dalam pada ini, pengetahuan dan penguasaan itu harus berada pada tahap munasabah dengan kedudukan seseorang warganegara itu untuk menyatakan apa-apa yang ingin diperkatanya selain memahami segala diperkata kepadanya dalam bahasa Melayu.
Sesungguhnya polarisasi ini boleh diatasi dengan kecekapan berbahasa negara. Ini kerana bahasa memang memiliki kuasa penyatuan, apatah lagi bahasa negara yang merupakan pemilikan semua warganegara.
Untuk ini, syarat pertamanya ialah wajib cekap dalam bahasa Melayu yang ingin digunakan sebagai wadah perpaduan. Sepatutnya kecekapan ini tidak lagi menjadi masalah linguistik utama kerana bukan sahaja setiap warganegara Malaysia melalui sistem pendidikan kebangsaan, persekitaran agam penggunaan bahasa Melayu hendaklah dimanfaatkan untuk membantu mempertingkat kecekapan itu.
Sehubungan ini, penobatan bahasa Melayu sebagai bahasa negara tidak sesekali berniat untuk menegakkan kekuasaan etnisiti Melayu, apatah lagi hegemoni politik Melayu.
Ia pilihan wajar kerana pemilik negara ialah etnik Melayu. Justeru, pemilihannya bukan bersifat chauvinisme linguistik. Oleh itu, urusan bahasa Melayu dalam peranannya sebagai bahasa negara tidak patut hanya merupakan kewajipan etnik Melayu tetapi amanah semua etnik. Dengan ini, menjadi tanggungjawab kelompok bukan asal untuk mengetahui dan menguasai bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya.
Ia dilakukan selama ini secara instrumental, antaranya untuk lulus mata pelajaran bahasa Melayu sahaja, kini hendaklah mula dipelajari secara integratif, iaitu untuk menjadi sebahagian daripada komuniti bahasa Melayu yang sesungguhnya adalah komuniti nasional yang ingin dilahirkan oleh proses pembentukan negara bangsa itu.
Dengan adanya komunikasi antara etnisiti yang menggunakan bahasa negara, ia diyakini dapat meleraikan kebuntuan ‘tak kenal maka tak cinta’ yang sebenarnya merupakan faktor utama wujudnya polarisasi itu selain menjayakan peranan bahasa Melayu khususnya sebagai bahasa kebangsaan.
Sumber: Utusan Malaysia, 8 Ogos 2023
Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat MASA merangkap Felow Majlis Profesor Negara.