Rencana

Patut teruskan Dasar Pendidikan, Bukan Abai Atau Ganti

TEGURAN tentang tandas sekolah kotor sehingga arahan dikeluarkan oleh kementerian terbabit mengambil tindakan sewajarnya adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan. Namun, arahan susulan agar pelajar ikut mencuci tandas sekolah sebagai pengajaran agar mereka tidak lagi mengambil mudah tentang kebersihan dan keselesaannya menerima reaksi bercampur, yakni ada pihak menyokong dan ada pula sebaliknya.

Sehubungan reaksi itu, masing-masing pihak mempunyai dalil yang baik lagi munasabah. Bagi yang menyokong dengan berdasarkan pengalaman lampau mereka sendiri, ia dipercayai satu-satu cara terbaik bagi menyemaikan nilai kebersihan agar pelajar betul-betul memahami untuk menginsafinya. Untuk yang membantah, cara begitu dipercayai amat tidak sesuai lagi kini yang rata-ratanya menggunakan pendekatan psikologi, berbeza sekali dengan zaman lampau yang lebih banyak bersifat fizikal.

Seperkara lagi yang penting dalam isu ini ialah keyakinan pelajar sendiri bahawa amalan mencuci tandas sekolah mereka akan membawa kepada rasa hormat kepada pekerjaan mencuci tandas. Tidak dapat dinafikan selama ini masyarakat rata-ratanya lupa akan perkhidmatan penting yang dihulurkan golongan tukang cuci khususnya pencuci tandas.

Berbicara tentang kerja mencuci ini, satu perkara penting yang terlepas pandang oleh banyak pihak untuk diketengahkan sebagai serius ialah penempatan pekerja wanita di tandas lelaki awam pada sepanjang masa. Dalam hal ini, ia merujuk kepada tugas pencuci wanita yang perlu membersihkan tandas lelaki sama ada membasuh dalam bilik tandas mahupun mengelap lantai atau membilas singki khususnya semasa ia sedang digunakan kaum lelaki. Hal ini dapat dilihat di tandas awam untuk lelaki, baik di pusat beli-belah mahupun lapangan terbang.

Persoalannya di sini ialah maruah pencuci wanita yang terpaksa menjalankan tugas dengan kaum lelaki sedang membuang air kecil, lebih-lebih lagi di tandas dindingan yang ikut diiringi perbuatan cebok walaupun secara tertutup. Pada kesemua masa, pekerja wanita didapati akan menunduk mukanya serendah-rendah yang mampu untuk terus menjalankan tugasnya. Sudah tentu sebagai kaum wanita, beliau pasti tidak selesa, malah amat sangat malu kerana berada dalam keadaan begitu, iaitu kaum lelaki yang sedang melangsaikan tuntutan fisiologi itu secara agak terbuka.

Sesungguhnya hal ini tidak boleh sama sekali berlaku, yakni mengkehendaki pekerja wanita mencuci tandas awam lelaki dengan terus-terusan membenarkan kaum lelaki menggunakannya tanpa ada apa-apa pemberitahuan tentang kerja pembersihan yang sedang berlangsung. Ini penting untuk memberhentikan pengoperasiannya untuk sementara waktu.

VIP, VVIP

Natijahnya di sini ialah harga diri kaum wanita juga haruslah senantiasa diutamakan, waima sebagai hanya seorang tukang cuci. Sehubungan ini, beliau perlu dihormati atas asas kemanusiaan yang saksama, yang sepatutnya sama seperti untuk manusia penting yang digelar VIP (very important person), juga bagi VVIP (very very important person).

Berbalik kepada teguran yang akan menjadi arahan di sekolah, ia sebenarnya tidak begitu penting jika dibandingkan dengan jangkaan masyarakat untuk betul-betul melihat perubahan drastik lagi signifikan kepada sistem pendidikan negara. Ini kerana masyarakat sedang menunggu pengumuman pembaharuan ke arah pembaikan yang akan dilakukan kerajaan semasa. Ini penting untuk memperbetul banyak kepincangan mengenai pengajaran dan pembelajaran didapati memang wujud ekoran pelaksanaannya yang tidak cekap.

Sehubungan ini, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 perlu dilihat untuk menilai pencapaiannya khusus dari segi aspirasinya, baik untuk sistem pendidikan itu secara makro mahupun bagi pelajar secara mikro. Begitu juga dengan 11 anjakan sebagai agen perubahan untuk melonjakkan sistem pendidikan negara agar setanding dengan yang ada di negara maju lain di dunia.

Dalam hal ini, akan didapati banyak yang tidak tercapai. Ini antaranya kerana budaya buruk kita yang mahu mengabaikan apa-apa yang dilakukan oleh pihak lain sebelumnya. Sepatutnya kita mengamalkan budaya terus bina segala apa yang wujud sebelumnya. Ini kerana sistem pendidikan itu bukan semata-mata milik kerajaan semasa yang merupakan variabel sahaja, ia kepunyaan negara yang merupakan entiti tetap.
PPPM itu bukannya digubal oleh kerajaan pada masa itu sahaja, ia sebenarnya juga nasihat oleh McKinsey & Company, iaitu firma rundingan global terkemuka yang diyakini banyak kerajaan di seluruh dunia.

Natijah lainnya di sini ialah sistem pendidikan negara dalam konteks PPPM itu bukan sahaja berada pada landasan betul, ia bestari lagi afdal khususnya dari segi pertumbuhan kecerdasan pelajar. Dalam pada ini, kepincangan yang ada sebenarnya ialah isu pelaksanaan mencakupi segala macam sisi.

Sehubungan ini, sikap buruk kita di Malaysia dalam mengerjakan apa-apa jua termasuk bidang pendidikan haruslah segera berubah. Oleh itu, antara pembaharuan yang sangat diperlukan ialah perubahan sikap kita untuk tidak lagi abai dan kekadang ganti yang lama. Ia hendaklah bersifat memperbaiki apabila terdapat kekurangan untuk memantapkannya, walaupun dilakukan pihak lain dan bukannya mahu menggantikannya setelah adanya pertukaran kepimpinan. Dengan sikap begini berterusan, kita selama-lamanya tidak akan menemui apa-apa jua kejayaan signifikan. Ini kerana kita tidak mahu memberi masa dan peluang pun untuk sesuatu itu memperlihat hasilnya dalam tempoh yang sepatutnya, lebih-lebih lagi ia dimulakan pihak lain khususnya seteru politik kita.

Sumber: Utusan Malaysia, 27 Jun 2023

Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat Inastitut Masa Depan Malaysia (MASA) merangkap Felow Majlis Profesor Negara (MPN)

Back to top button