Rencana

Menahan Diri Daripada Khianati Negara

SEJAK saya (Rabi’ahtuladawyah) kecil sehingga dewasa saat usia bakal menginjak lima dekad, ibadah puasa signifikan dengan bagaimana kita dapat merasakan keperitan menahan kelaparan.

Kalau benar-benar menjalani ibadah yang memiliki hikmah tersendiri ini, mungkin juga kita akan dapat merasakan bagaimana orang miskin serta dalam kedaifan atau pelarian seperti Rohingya mahupun peperangan seperti Syria yang sentiasa berdepan dengan situasi mencabar untuk mendapat sesuap makanan.

Betapa bermaknanya seteguk air dan sepotong roti kosong, malah tular video memaparkan kanak-kanak sudah dapat menikmati kegembiraan hanya kerana dapat mengunyah rumput-rumput yang dapat dicapai oleh tangan-tangan mongel mereka.

Demikian pengalaman satu demi satu kita kutip untuk memaknai apakah itu puasa sebenarnya sementelah lagi dalam satu bulan yang diwajibkan iaitu Ramadan.​

Bagi saya (Jessica) pula, amalan berpuasa yang dipatuhi oleh rakan-rakan Muslim mempunyai keistimewaan tersendiri.

Selain memahami rakan Muslim tidak boleh makan dan minum pada siang hari, sebelah malamnya pula kedengaran masjid dan surau di taman-taman perumahan begitu meriah dengan bacaan-bacaan melantunkan ayat suci al-Quran dan juga menunaikan solat tarawih.

Paling mengujakan ialah kedatangan Ramadan ini adalah saatnya saya mengucapkan syukur betapa makmurnya negara ini kerana dek meriahnya ‘pesta’ bazar Ramadan yang cukup signifikan dengan beribu juadah pelbagai makanan sama ada yang paling moden mahupun diwarisi sejak zaman silam. Kesemuanya ada di bazar Ramadan!

​Kami berdua terus memahami sedemikian, lalu mencari-cari apakah luar biasanya amalan yang cukup signifikan dengan kepatuhan masyarakat beragama Islam sama ada di negara ini mahupun di seluruh dunia? Bagaimana penghayatan ‘menahan diri’ daripada membatalkan puasa dapat disempurnakan dengan begitu baik oleh masyarakat Islam?

Puasa menurut Kamus Dewan Perdana (2021) ialah perbuatan menahan diri daripada beberapa perkara seperti makan, minum, mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari yang merupakan rukun Islam ketiga.​

Bersumberkan buku Panduan Amalan di Bulan Ramadhan terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Cetakan Keenam 2015), puasa dalam bahasa Arab disebut assiyam bermaksud meninggalkan manakala daripada penelitian fikah iaitu meninggalkan (al-imsak) diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Daripada banyak sumber memang telah menceritakan serta merekodkan berkaitan 1,001 kelebihan amalan ibadah puasa di bulan Ramadan ini.

Namun, ada sesuatu yang ingin kami telusuri daripada kepatuhan amalan ibadah ini mahupun dari sudut agama mahupun sudut perubatan yang apabila menyebut ‘puasa’ sahaja, tidak kira apa bangsa dan agama, memahami apabila bakal menjalani pembedahan, seseorang pesakit sama sekali tidak dibenarkan makan mahupun minum oleh jururawat mahupun doktor yang bertugas.​

PATUH

Lantaran kerana memahami pembedahan perlu dilaksanakan dengan selamat dan tidak timbul kesan-kesan buruk atau sebaliknya daripada tidak pematuhan kepada syarat ini, maka kesemua kita sama sekali tidak akan melanggar peraturan ini.

Ya, kita akan berpuasa demi mahu menjalani pembedahan yang baik dan selamat dan dengan harapan kita akan segera sembuh daripada penyakit yang kita alami.

Kelaziman menghayati puasa dengan kepatuhan beragama dan syarat ketat menjalani pembedahan kini kami perluaskan pula kepada menghayati pemaknaan menahan diri atau meninggalkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh memudaratkan negara.

​Tidakkah sepatutnya kita yang bertanggungjawab kepada amanah yang diberikan kepada setiap warganegara perlu menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan atau merosakkan negara?

Tidak hanya dipandang tinggi oleh dunia, tetapi bagaimana negara yang unik dan kaya dengan sumber alam serta kekayaan hasil bumi ini akan dapat didiami oleh rakyatnya dengan makmur dan harmoni.

​Oleh demikian, dengan semangat bulan mulia ini, kami berdua menyeru agar kita semua benar-benar menghayati konsep menahan diri yang diajarkan oleh ibadah puasa ini oleh Yang Maha Kuasa.

Ibadah puasa ini kepunyaan Allah SWT. Tidak dapat dihuraikan dengan data bagaimana ganjaran yang akan dikurniakan oleh Yang Maha Kuasa kepada hamba-hamba-Nya.

Namun, kepercayaan dan iman adalah tonggak kepada keyakinan bahawa kepatuhan kepada rukun Islam ketiga ini akan benar-benar dapat dirasakan oleh hamba-Nya yang ikhlas.

Lebih-lebih lagi pada malam disebut lailatulqadar, malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan bagaikan satu simbolik yang maha seni berkaitan luar biasanya Ramadan ini.

​Setiap kita mahukan yang terbaik untuk negara kita. Sudah tentu kita sentiasa digoda dengan pelbagai cabaran dan halangan untuk boleh mengkhianati negara kita.

Moga-moga dengan memahami konsep ‘menahan diri’ ini, kita akan dapat mengawal diri kita bahawa segala apa yang dilakukan tanpa kawalan akal fikiran yang baik, pasti kelak akan menghancurkan serta memusnahkan masa depan negara.

Ayuh, pandanglah wajah-wajah generasi kita yang menghulurkan tangan, agar kita dapat memimpin mereka ke jalan yang terang. Terang bercahaya negara tercinta ini untuk kita semua.

Sumber: Utusan Malaysia, 4 April 2023

Back to top button