Rencana

Pelik Bila Tragedi 13 Mei Bukan Lagi Tabu

RUSUHAN kaum 13 Mei 1969 berlaku kerana hubungan tidak baik antara etnik Melayu dan Cina. Ia bermula apabila etnik bukan Melayu mulai datang dengan ramainya menerusi penjajahan Inggeris, tidak pernah menjadi baik sehingga kini. Ia bertahan sahaja dengan sekali-sekala wujud ketegangan yang masih dapat dikawal setelah sakan berperang mulut.

Walaupun yang menang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu dari peristiwa berdarah itu, etnik Cina didapati pihak paling banyak terkesan. Dengan ini, traumanya bukan sahaja masih terkenang-kenang, ia sangat pedih untuk terus diperingati. Oleh itu, secara umumnya etnik Cina sangat tidak suka apabila ia dibangkit, iaitu ditimbulkan setelah sudah lama berlalu. Apatah lagi diungkit, yakni sengaja dibongkarnya semula meskipun sebagai peringatan bagi semua pihak waima dalam bentuk paling mesra. Ini dapat dilihat apabila pimpinan bukan Melayu bukan sahaja menjadi sangat berang, juga dengan agresif sekali mencabar pihak tertentu untuk mencetuskannya untuk kali kedua.

Bagi etnik bukan Melayu khususnya Cina, peristiwa hitam dalam sejarah negara itu sama ada sebagai peringatan mesra apatah lagi amaran keras adalah terlalu sangat memerihkan untuk dibicarakan dalam apa-apa juga cara termasuklah ceramah ilmiah. Ini dianggap mereka sebagai pengacuman etnik, yakni etnik Cina ditanggap negatif sebagai pencetusnya.

Namun kebelakangan ini, perkara sebaliknya berlaku, iaitu pemimpin etnik Cina yang disanjungi mereka mula berbicara tentang peristiwa berdarah itu sebagai peringatan berdasarkan perkembangan politik kini menjelang pilihan raya negeri (PRN). Sebelum ini, perbincangan tentang rusuhan berdarah itu walaupun dengan niat yang sama sekali tiada sebarang unsur hasutan, masih tidak dapat diterima etnik bukan Melayu.

Tetapi kini ia sendiri mula dibicarakan mereka mengenai keganasan yang berlaku lebih dari setengah abad lalu dan tentang bahayanya jika keadaan semasa tidak segera dibendung. Ini amat menghairankan kerana dengan tiba-tiba peristiwa berdarah itu bukan tabu lagi bagi mereka. Justeru, ia boleh diperkata secara terbuka dengan etnik bukan Melayu bukan sahaja tidak berasa tersinggung lagi. Sebaliknya mereka semacam teruja untuk menegakkan penemuan baharu dalam sejarah 13 Mei yang kononnya diulang kaji mereka.

Sebetulnya banyak pihak termasuklah etnik bukan Melayu sendiri berasa amat terperanjat dengan pendekatan baharu ini oleh kepimpinan mereka, iaitu peristiwa berdarah itu yang lebih banyak mengorbankan nyawa dan memusnahkan harta benda mereka tidak ingin disorokkan lagi. Ia kini mahu semacam dinyahklasifikasikan, yakni diisytiharkan sebagai bukan sulit lagi, lantas boleh dibicarakan dengan bebas oleh mereka sendiri dengan ikut mengajak yang lain-lain.

Dari satu segi, ini kelakuan aneh lagi luar biasa. Ia semacam perbuatan buang tabiat, yakni sesuatu yang tidak pernah terjadi kini tiba-tiba dilakukan seperti sering dibuat seseorang sebelum menemui ajalnya.

Dengan kata lain, perbuatan mahu mula berbicara tentang peristiwa berdarah itu amat memelikkan lagi mengganjilkan banyak pihak. Dari segi lain, ia dilihat pada keyakinan etnik bukan Melayu yang kini lebih beriktikad setelah mandat besar mereka merupakan antara kekuatan kerajaan semasa. Dengan ini, mereka berasa memiliki kuasa lebih, justeru bukan lagi kelompok lemah tetapi sebaliknya.

KETAKUTAN

Apa-apa jua dalilnya tentang perubahan mendadak ini, peristiwa berdarah itu tidak sepatutnya dielakkan perbincangannya sama sekali oleh mana-mana pihak. Sebaliknya ia wajib dibicarakan dari segenap sisi dengan niat baik, iaitu untuk memahami faktor penyebabnya bagi mengelak berlakunya perkara sama dan yang seumpamanya.

Sehubungan ini, ceriteranya tidak boleh lagi diteruskan sebagai hanya ketakutan, apatah lagi ketidakadilan serta kemarahan daripada peristiwa berdarah itu. Dalam pada itu, yang perlu ditegah keras dan habis-habisan ialah ugutan sama ada dikaburkan dalam bentuk peringatan apatah lagi jelas sebagai amaran akan berlakunya rusuhan kaum sebegitu atau lebih dahsyat lagi dalam waktu terdekat atau pada bila-bila waktu mendatang.

Sebaliknya ia wajib diperkata dengan jujur lagi berkecuali mengikut kebenaran faktanya untuk kepentingan rakyat jelata selain negara oleh kerajaan. Untuk ini, perbincangan secara bebas, apatah lagi yang dimanipulasikan dengan niat jahat khususnya di media sosial dan internet selain kempen pilihan raya dengan kandungan penuh kebencian pula wajib dipantau dengan hemat oleh pihak berkuasa. Semua ini penting untuk keutuhan selain keselamatan negara tercinta ini di samping selari dengan amaran keras kerajaan bahawa ia sedang dipantau rapi dan akan diambil tindakan tegas.

Sehubungan kejadian 13 Mei 1969 itu, ia pertembungan paling buruk dalam semua konflik pernah berlaku antara etnik Melayu dengan Cina walaupun hanya terjadi di Kuala Lumpur dan beberapa tempat di Selangor. Yang lain-lain adalah di Pulau Pangkor (Mei 1959), Bukit Mertajam (Julai 1964), Singapura (Julai dan September 1964 sewaktu masih dalam Persekutuan Malaysia), Kuala Lumpur (awal 1965) dan Pulau Pinang (November 1967 dan April 1969).

Natijah peristiwa berdarah itu ialah ia tidak boleh sesekali dipolitikkan oleh mana-mana pihak, lebih-lebih lagi ahli dan parti politik yakni sama sekali tidak boleh dijadikan isu politik dari sebarang sisi. Oleh itu, ia tidak boleh sama sekali dibicarakan untuk tujuan politik bagi manfaat agenda pihak tertentu. Dengan ini, ia yang sering diceriterakan secara berat sebelah semasa kempen pilihan raya baik oleh pemerintah mahupun pembangkang, wajib dihentikan serta-merta.

Sumber: Utusan Malaysia, 1 Ogos 2023

Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat MASA merangkap Felow Majlis Profesor Negara.

Back to top button