Jaga Adab Bahasa Ketika Berhari Raya Di Maya
SEMUA kita menantikan detik Hari Raya Aidilfitri hadir. Ramadan yang berundur pergi, moga-moga membawa jiwa kita kepada pematuhan hal-hal yang baik dan memiliki hikmah.
Dalam kesibukan merancang jadual percutian kembali ke kampung halaman pada musim perayaan ini, perihal keselamatan diri juga harta benda sentiasa menjadi mauduk utama kita. Aspek keselamatan termasuk diri individu dan isi rumah, harta benda, kenderaan, sebagai pengguna lebuh raya mahupun jalan raya sehinggalah kepada isu rangkaian sosial.
Setiap daripada kita bertanggungjawab agar semuanya menjadi harmoni dan selamat. Pendidikan berkaitan keselamatan siber mencakupi pelbagai elemen turut dipergiatkan oleh agensi berkaitan, tidak hanya pada musim-musim tertentu.
Rangkaian sosial ialah satu jaringan ikatan yang dimiliki oleh seseorang dalam satu-satu masa. Dalam menjalani kehidupan seharian, manusia tidak dapat tidak akan berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang-orang di sekelilingnya, tidak kira ahli keluarga, saudara-mara, rakan, sahabat handai dan sebagainya.
Kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kini ibarat nyawa kedua kepada ramai insan. Menerusinya, masyarakat kekal berhubung dan lebih mudah serta dapat mengekalkan semangat perpaduan dan kebersamaan ketika perayaan Hari Raya Aidilfitri atau hal sebaliknya juga boleh berlaku.
Jaringan komunikasi berinovasi ini semakin popular dan laporan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan pada 2021, peratusan capaian isi rumah kepada internet meningkat kepada 95.5 peratus berbanding 91.7 peratus (2020). Pada 2021, capaian oleh isi rumah terhadap telefon bimbit dan komputer juga masing-masing meningkat kepada 99.6 peratus dan 88.3 peratus. Pada 2022 pula dilaporkan sejumlah 29.55 juta pengguna internet di negara ini. Sudah tentu peratusan ini meningkat dengan sangat pesat pada tahun ini.
Rangkaian sosial boleh didefinisikan sebagai satu perkhidmatan yang membenarkan individu membentuk komuniti sosial secara dalam talian untuk pelbagai tujuan dan aktiviti. Antara contoh rangkaian sosial yang hangat pada masa kini ialah Myspace, Facebook, Friendster, Twitter, telegram dan sebagainya.
Namun begitu, penggunaan rangkaian sosial ini juga boleh mendatangkan kesan baik dan buruk. Antaranya, kesan positif yang boleh diperoleh ialah dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain. Dengan kata lain, segala-galanya dapat dicapai dengan mudah.
Semuanya dari hujung jari. Berkongsi sahaja lokasi, kami bersedia untuk menghadirkan diri. Lemang, ketupat dan rendang serta kaum keluarga yang dikasihi sedia menanti di Hari Raya Aidilfitri.
Kajian menunjukkan ramai pengguna laman rangkaian sosial berkomunikasi dengan orang yang sedia dikenali bagi mengekalkan persahabatan berbanding untuk mencari rakan baharu (Boyd & Ellison, 2007). Secara demografi, majoriti pengguna Web 2.0 merupakan golongan muda.
Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan pelajar yang sibuk dengan pelajaran sekalipun akan terlibat dengan rangkaian sosial seperti Facebook sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari (Pempek, 2010). Ini menunjukkan penggunaan rangkaian sosial telah diintegrasikan ke dalam kehidupan harian golongan muda, mungkin juga kalangan berusia senja.
KAD DIGITAL
Bersempena perayaan yang bakal menjelang, banyak aplikasi boleh digunakan bagi kita mendedikasikan ucapan selamat hari raya, sama ada dengan kreativiti kad digital pelbagai bentuk dan warna mahupun hanya semudah menyunting gambar keluarga yang menarik di aplikasi tertentu dan kemudian tekan butang hantar. Adakah hal demikian ini menjadi perkara penting?
Persoalannya bagi kami, adakah ikatan yang pelbagai dan luas dalam satu rangkaian akan mewujudkan pengaruh berbeza ke atas perlakuan sosial (termasuk bahasa) seseorang?
Kami melihat kepentingan latar budaya suatu komuniti menjadi asas kepada pemahaman pola komunikasi dalam peristiwa bahasa kerja-kerja sosial. Dalam norma interaksi, peraturan interaksi menjadi unsur yang penting diambil perhatian.
Peraturan interaksi menurut Asmah Omar (2010) melibatkan giliran dalam bercakap (turn taking), pilihan bahasa atau kelainan bahasa dan kepatuhan kepada peraturan-peraturan sosial.
Komunikasi berkesan didapati semakin kurang kerana terlalu mengutamakan rangkaian sosial dan secara tidak langsung tiada penelitian terhadap komponen dalam peraturan interaksi. Justeru, persoalan tentang etiket bahasa perlu diberi penekanan kerana ia memberi perhatian kepada cara-cara bahasa diungkapkan berteraskan peraturan sosial dan budaya komuniti penuturnya makin berkurangan.
Kawalan kendiri demi keselamatan diri dan keluarga tercinta amat perlu bagi menangani diri dengan ketaksuban rangkaian sosial. Usah terlalu teruja menyertai komunikasi dalam gajet sehingga keselamatan di jalan raya terabai. Kemalangan jalan raya yang dikaitkan dengan penggunaan telefon bimbit ketika memandu walaupun sukar dibuktikan dari segi perundangan, namun tidak dinafikan ada berlaku. Ia berpunca daripada sikap manusia zaman moden yang sukar ‘berpisah’ dengan peranti pintas itu yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.
Kini semakin ramai menggunakan aplikasi WhatsApp, maka mesej selalunya masuk tanpa henti dan rasa ingin membacanya boleh menyebabkan nyawa melayang sekelip mata jika malang tidak berbau. Keadaan itulah menyebabkan mereka kadangkala tidak boleh menahan tangan daripada memeriksa telefon bimbit bila ada mesej masuk ketika memandu. Sepanjang tahun lalu, lebih 46,000 saman dikeluarkan oleh polis terhadap pemandu atas kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu, peningkatan hampir 4,000 daripada 42,641 jumlah saman dikeluarkan pada 2015.
Rangkaian sosial merupakan sesuatu yang semakin digunakan secara meluas oleh masyarakat. Bagaimanapun, pengunaannya secara tidak terkawal boleh mendatangkan kesan negatif. Guna dengan bijak, berhemah dan selamat serta mematuhi prinsip saling hormat-menghormati untuk hidup bersama sebagai sebuah masyarakat biarpun berbeza ras, budaya dan kepercayaan.
Anda bijak menghubungkan diri anda dengan rangkaian sosial, kehidupan juga menjadi lebih bermakna. Walaupun berasa sendirian, sahabat taulan serta saudara-mara sedang menantikan anda di maya sana. Walau jauh beribu batu, anda tetap dalam ingatan. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak kira di mana sahaja anda berada.
Sumber: Utusan Malaysia, 19 April 2023