Adakah Pemimpin Kita Patriotik?
SETIAP kali negara menyambut Bulan Kebangsaan, kedengaran seruan daripada golongan pemimpin, antaranya ahli politik untuk rakyat mempertingkat semangat cintakan negara.
Sehubungan ini, mereka mengajak rakyat memperlihat sukma patriotik terhadap negara, antaranya dengan mengibarkan bendera negara selain berbicara tentang pengorbanan generasi terdahulu dalam perjuangan menubuhkan negara, dan keperluan generasi kini mempertahankannya.
Dari satu segi, tindakan begini boleh disifatkan sebagai kepimpinan patriotik, yakni yang menganjurkan semangat cintakan negara. Melaluinya mereka didapati cuba mendorong dan mempengaruhi rakyat untuk meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan melebihi segala-gala yang lain.
Untuk ini, rakyat juga diberitahu bahawa adalah amat berbaloi bagi mereka mati dalam mempertahan negara yang merupakan tanah tumpah darah.
Dari satu segi lain, golongan pemimpin ini didapati tidak pun berupaya mengangkat budaya patriotisme, yakni amalan yang memperlihat kecintaan kepada negara sebagai tanah air khususnya melalui perbuatan sendiri sama ada secara profesional sebagai anggota pentadbiran atau dalam kehidupan peribadi.
Ini kerana sebagai pemimpin, tingkah laku mereka diperhati dalam konteks kepimpinan melalui teladan. Dengan ini, bukan sahaja cakap mereka dinilai, juga perbuatan mereka dalam mencapai apa-apa yang dilaungkan itu.
Sebagai pemimpin, sudah tentu pelbagai ciri kepimpinan baik perlu ada pada mereka. Antaranya termasuklah berwawasan melihat jauh ke hadapan, jujur dalam erti beramanah tinggi, kepandaian mengagihkan tugas untuk memupuk semangat kebersamaan, mahir berkomunikasi untuk pelbagai tujuan khususnya bagi menaikkan semangat, dan berkeyakinan dengan bersikap positif pada setiap masa.
Komitmen, yakni dedikasi jitu dan penuh dengan tanggungjawab pula, kreatif dengan banyak gagasan baharu lagi bernas, ada naluri untuk menjangka dan meramal bagi kecemerlangan, dan mampu merangsang mereka yang dipimpin adalah ciri lain sama pentingnya.
Mengatasi semua ciri baik ini, seorang pemimpin patriotik itu harus memiliki kepandaian menginspirasikan patriotisme terdiri daripada banyak sisi. Sehubungan ini, ia tidak semestinya berupa hanya idealisme kesediaan berkorban sehingga sanggup mati untuk negara.
Sebenarnya sisi patriotisme begini adalah hanya gagasan kesempurnaan pada idea dan prinsip, yang tidak mudah tercapai oleh kebanyakan rakyat. Pun begitu, ia didapati ada pada rakyat bertugas dalam sektor awam tertentu yang khidmat mereka adalah semata-mata untuk mempertahan negara.
Untuk rakyat lain, memadailah kalau patriotisme itu berupa sokongan padu kepada negara tercinta ini dengan mereka ikut menjayakan semua dasar negara. Ini termasuklah bersifat sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopolitik untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara. Ini kerana dengan adanya sokongan kuat ini, negara boleh dibangunkan dengan lebih sempurna untuk hasilnya dinikmati oleh rakyat.
DASAR PEROLEHAN NEGARA
Walaupun perlu menyokong, rakyat juga boleh mengkritik dasar yang didapati kurang baik, sama ada dari segi konsepsi mahupun pelaksanaannya. Sebetulnya cara menegur ini adalah antara pelbagai sisi patriotisme. Ia dipanggil patriotisme ikonoklastik, iaitu menegur kerana sayangkan negara agar ia terus maju.
Dalam pada ini, ia diiktiraf apabila kerajaan sendiri menyatakan bahawa zaman kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berlalu. Dengan ini, ia mengalu-alukan saranan daripada rakyat yang sudah tentu perlu dilakukan melalui saluran betul selain penuh kehemahan. Inilah antara budaya patriotisme perlu diwujudkan bersama oleh yang memimpin dan dipimpin.
Dalam hal ini, ia termasuklah juga seruan mengutamakan pembelian barangan buatan Malaysia yang bukan sahaja perlu disasarkan kepada rakyat. Ia juga harus didukung secara nyata oleh pemimpin, malah kerajaan sendiri melalui Dasar Perolehan Negara yang betul-betul memberi keutamaan kepada pemerolehan barangan tempatan.
Ini juga harus meliputi perkhidmatan sering kali didapati tidak pun mahu diperoleh dari dalam negara sedangkan kita mempunyai kepakarannya yang kekadang diiktiraf dunia.
Kesungguhan dalam mengamalkan budaya patriotisme ini daripada pemimpin haruslah kelihatan jelas lagi nyata. Kes yang memperlihat sebilangan pemimpin menyekolahkan anak mereka yang masih kecil di luar negara, sudah tentu tidak dapat menginspirasikan rakyat tentang sistem pendidikan kita yang dilaungkan mereka sendiri sebagai bertaraf dunia.
Begitu juga dengan pelbagai kes lain yang terang-terangan memperlihat firasat peribahasa seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul.
Cara cakap tidak serupa bikin ini sama sekali tidak baik dalam konteks kepimpinan patriotik kerana budaya patriotisme itu bukan sahaja tidak berjaya dipupuk sepenuhnya, juga ia diperlekeh oleh golongan pemimpin sendiri yang sepatutnya menjadi perangsang kepada rakyat.
Mutu barangan dan perkhidmatan tempatan yang kurang baik itu sepatutnya diperbaik melalui kepimpinan mereka sebagai anggota pentadbiran, dan bukannya dijadikan alasan bagi mensahihkan tindakan mereka yang tidak patriotik.
Sesungguhnya patriotisme adalah kuasa kuat yang mampu mengubah negara dan rakyatnya menjadi kuasa handal lagi hebat dunia. Ini telah diperlihat oleh Jepun yang bangkit setelah dileburkan bom atom. Ini tidak dinafikan antaranya disebabkan oleh kepimpinan patriotik.
Oleh itu, kerajaan harus menggunakan patriotisme bagi memastikan kepimpinannya patriotik pada setiap masa untuk bukan sahaja diteladani rakyat pada sepanjang hayat mereka. Juga untuk memupuk jati diri kebangsaan yang mapan lagi malar dalam kalangan mereka.
Sumber: Utusan Malaysia, 15 Ogos 2023
Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat MASA merangkap Felow Majlis Profesor Negara.