Rencana

Banggakah Kita Dengan Sastera, Budaya Sendiri?

ADAKAH kita berbangga dengan karya sastera dan budaya negara? Cukupkah Malaysia mengangkat martabat bahasa, seni dan budaya di mata dunia? Kesempatan menghadiri Seminar Fikrah Siddiq Fadzil di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini, izinkan kami memetik kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa era dikuasai digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI), aspek ketamadunan seperti ilmu bahasa dan sastera tidak harus dilupakan kerana ia merupakan kekuatan nilai dan akhlak sesebuah masyarakat. Negara juga tidak boleh berkembang tanpa pembinaan tamadun.

Merujuk kepada A. Aziz Deraman, citra persuratan merupakan suatu aspek perihal tulis menulis, kesusasteraan, kepustakaan ilmu dan perpustakaan. Kesusasteraan dapat digambarkan melalui kesusasteraan tradisional (lisan dan persuratan dengan ribuan manuskrip Melayu, pantun, syair, gurindam, peribahasa, seloka) dan kesusateraan moden yang berkembang daripada pengaruh Barat dalam bentuk karya kreatif (novel, cerpen, sajak). Menurut Johnson Laird, Keith Oatley dan Cupchik, ketika membaca karya sastera, pembaca berharap untuk merasakan pengalaman emosi. Keindahan emosi terjadi melalui respons emosional yang terlibat dalam karya sastera. Dalam hal ini, penilaian tentang keindahan dalam penggunaan bahasa juga memainkan peranan penting dalam menghasilkan keindahan emosi.

Sembilan teras Dasar Keselamatan Negara 2021-2025, isu kesihatan mental dengan merujuk kepada teras kelapan, iaitu Keselamatan Rakyat dan salah satu daripada 153 item dalam Matriks Keselamatan Negara adalah Pengukuhan Kesihatan Minda dan Ketahanan Rakyat. Isu kesihatan mental dan tekanan emosi dalam kalangan rakyat perlu dipandang serius berikutan ia memberi pelbagai kesan buruk kepada negara. Isu kesihatan mental yang kini melibatkan pelbagai lapisan masyarakat merangkumi semua domain, iaitu biologikal, psikologikal, sosial dan spiritual. Isu ini tidak boleh dipandang enteng dan usaha untuk mengesan, mencegah dan bertindak balas perlu dilaksanakan secara serius.

Cupchik (2002) menegaskan, keindahan emosi dalam karya sastera tergantung pada penilaian tentang keindahan dalam penggunaan bahasa. Dengan demikian, para pembaca merasa terpanggil untuk menikmati keindahan dalam karya pengarang.

Memperkasakan program kesusasteraan Melayu, penulisan karya sajak dalam pembentukan akhlak masyarakat amat penting dari hemat kami sebagai terapi minda. Puisi sebagai salah satu karya sastera dan karya seni yang memiliki potensi terapeutik tersendiri yang unik (Karyanta, 2012). Puisi terbaik dihasilkan ketika penyair benar-benar berada di tengah emosi dan berjuang untuk mendapatkan kejelasan. Puisi dapat dimasukkan dalam jenis psikoterapi, terdapat literatur menunjukkan puisi dapat menghilangkan ketegangan otot dan berefek relaksasi. Maka jelas di sini, sebuah karya seni seperti puisi dapat mempengaruhi emosi. Dan emosi jelas berkaitan dengan darjat stres sehingga berpengaruh pada tingkat kekebalan tubuh. (Saleh, 2018).

Kami merasakan apa yang lebih penting adalah membina akal yang sentiasa ingin menyelidik dan kritikal. Setiap orang hendaknya berupaya mencurahkan masalah psikologi dalam bentuk apa pun. Ketika musibah, menghadapi permasalahan, merasakan kehilangan, semua itu dapat diekspresikan melalui sastera sebagai jalan terapi untuk pemulihan emosi dalam diri. Kesan emosi ini bersamaan dengan Teori Rasa yang salah satu aspeknya mementingkan kesan dan akibat (Sohaimi Abd. Aziz). Rasa ialah salah satu unsur yang akan membentuk satu-satu karya sastera. Rasa atau emosi adalah 28 keadaan batin yang kuat dan boleh mendorong pembaca untuk melakukan sesuatu hasil daripada kegembiraan, kesedihan, perasaan terharu dan perasaan berani (Faisal Tehrani, 2008).

NASIONALISME

Sebagaimana dijelaskan oleh penulis Geri Giebel Chavis dalam Puisi dan Terapi Cerita ialah kekuatan penyembuhan ekspresi kreatif (menulis untuk terapi atau pengembangan peribadi) bahawa pengakuan pikiran terdalam memungkinkan untuk jujur pada diri kita sendiri dan meningkatkan kreativiti, ekspresi serta harga diri. Teori aspek sosiologi pengarang menurut Wellek dan Warren terdiri daripada empat aspek iaitu status sosial pengarang, ideologi sosial pengarang, latar belakang sosial budaya pengarang dan dasar ekonomi produksi sastera.

Kita berbangga dengan Suara Wirawan Negara Bangsa hasil karya Ramli Abdul Halim merupakan himpunan 105 sajak dengan tema berkaitan nasionalisme. Nilai kemasyarakatan yang terkandung dalam sajak terpilih Suara Wirawan Negara Bangsa menggunakan teori sosiologi dan mengkaji pemikiran dan nilai pengajaran pada sajak terpilih karya Ramli Abdul Halim dalam konteks masyarakat kontemporari.
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) melabuhkan tirai pada 4 Jun lalu. Bagi kebanyakan penulis, PBAKL adalah tempat untuk mempromosi karya mereka kerana tiada lagi ruang untuk bertemu pembeli buku dengan meriah. Selain PBAKL, kami mengharapkan lebih banyak ruang bersesuaian dianjurkan oleh pelbagai pihak untuk masyarakat berkongsi ilmu dan kreativiti dalam sastera.

Janganlah kita membeza-bezakan darjat dan pangkat untuk mengundang masyarakat yang berminat untuk sama-sama terlibat memartabatkan bahasa, seni dan budaya. Diskusi sastera yang berterusan untuk semua pihak harus digalakkan di Malaysia dan diperkenalkan di luar negara. Ini kerana di luar negara, pengunjungnya kerap dihidangkan dengan pelbagai maklumat mengenai seni setempat.

Kita tanpa mengira bangsa dan agama perlu rasa tanggungjawab dengan kesedaran diri untuk mengangkat maruah serta martabat bahasa melalui karya kesusasteraan Melayu. Jika adab merupakan satu tata susila yang membentuk jati diri kepada bangsa itu, maka adat pula boleh diertikan dengan tata cara hidup sesuatu bangsa. Nilai sastera, bahasa dan budaya masyarakat Melayu perlu dipelihara dan dikembangkan untuk membentuk dan meneruskan masyarakat Malaysia Madani yang harmoni dan sejahtera.

Sumber: Utusan Malaysia, 27 Jun 2023

Back to top button