Belanjawan Utamakan Pendidikan
KUCHING: Kerajaan Perpaduan diharapkan dapat menambahkan peruntukan sektor pembangunan dan pengurusan kepada Sarawak dalam Bajet 2023. Pakar ekonomi Sarawak Datuk Dr Madeline Berma berkata, ini kerana ia selaras dengan Status Sarawak sebagai wilayah dalam Malaysia.
“Dalam Belanjawan 2023 pada Oktober 2022 yang dibentangkan mantan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, RM5.4 bilion diperuntukkan kepada Sarawak. “Sebanyak RM5.4 bilion kepada Sarawak hanya sebanyak 1.5 peratus daripada jumlah peruntukan dalam Belanjawan 2023.
“Sehubungan itu, Kerajaan Perpaduan diharapkan dapat meningkatkan peruntukan perbelanjaan kepada 30 peratus daripada jumlah perbelanjaan pada Belanjawan 2023. “Ia bagi membolehkan Sarawak seiring dengan pembangunan di Semenanjung Malaysia,” katanya kepada Suara Sarawak ketika diminta mengulas harapan rakyat Sarawak dalam Bajet 2023, semalam.
Sementara itu kata beliau yang juga Felow Kehormat berkata, antara sektor dan fokus yang perlu diberikan kepada Sarawak adalah pembangunan ekonomi digital serta sektor tenaga alternatif seperti hidrogen.
Selain itu, pembangunan dari aspek kualiti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur khususnya di luar bandar. “Pendidikan merupakan nadi kepada masyarakat justeru, kepentingan dalam mengutamakan keperluan asas Internet untuk pendidikan perlu diberi perhatian khusus bagi membolehkan bidang ini bergerak seiring dengan kemajuan teknologi,” katanya.
Sumber: https://sarawakvoice.com/belanjawan-utamakan-pendidikan/