Rencana

Wajibkan Pendidikan Literasi Kewangan

KERAJAAN meminda Akta Insolvensi 1967 untuk melepaskan kes muflis secara automatik pada waktu singkat. Sementara menunggu akta ini dipinda, sekurang-kurangnya kes kecil bernilai RM50,000 ke bawah yang memenuhi syarat dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac lalu. Dengan usaha ini, kerajaan berharap lebih 130,000 orang dapat dilepaskan daripada status muflis atau bankrap.

Menurut data Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM), jumlah kes kebankrapan yang ditadbir sehingga Februari lalu adalah sebanyak 268,744 manakala bagi 2019 hingga Februari 2023 sahaja adalah 33,388.

Antara punca ramai mengalami kebankrapan atau muflis adalah pinjaman peribadi yang mencatatkan 49.31 peratus dengan bilangan 16,463 kes, manakala pinjaman perniagaan (16.95%) dan sewa beli kenderaan (11.20%).

Realitinya, kebanyakan mangsa kebankrapan ini juga adalah golongan muda. Berdasarkan statistik dikeluarkan JIM dari 2019 hingga Februari 2023, sebanyak 6,361 kes kebankrapan berumur 34 tahun dan ke bawah.

Daripada akta yang dilaksanakan, anak muda tidak boleh menganggap di kemudian hari dia akan dibebaskan daripada kebankrapan. Ia tidak semudah itu kerana di bawah Akta Insolvensi 1967, terdapat banyak sekatan. Antaranya, individu tersebut tidak boleh berniaga, menjadi pengarah syarikat, akaun bank dibekukan, tidak boleh keluar negara dan tidak boleh menjawat jawatan tertentu seperti dalam persatuan, pertubuhan dan sebagainya.

Terdapat tiga kategori kes kebankrapan yang akan diberikan pertimbangan oleh Ketua Pengarah Insolvensi untuk pelepasan segera iaitu pengisytiharan kebankrapan yang telah melepasi tempoh lima tahun dari tarikh perintah penerimaan dan perintah kebankrapan.

Selain itu, jumlah hutang individu yang diperakukan atau baki hutang terlibat tidak melebihi RM50,000. Ketiga ialah individu yang tiada perintah mahkamah, prosiding mahkamah atau prosiding penyiasatan dijalankan ke atas individu bankrap mengikut Akta Insolvensi 1967 yang menghalang pelepasan diberi melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi.

Kajian Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendapati keberhutangan tinggi disebabkan kos hidup dan pengurusan kewangan yang lemah. AKPK turut mengesan sikap segelintir pengguna sendiri yang materialistik, mahu mengikut trend semasa dan berbelanja melebihi kemampuan diri telah memburukkan lagi masalah kewangan dalam diri dan keluarga mereka.

Antara kesalahan lazim dilakukan golongan muda dalam pengurusan kewangan adalah tidak memantau perbelanjaan bulanan. Perkara ini banyak berlaku dalam kalangan masyarakat kini kerana lazimnya apabila menerima gaji bulanan, mereka akan terus membelanjakan wang tersebut. Perbelanjaan mengikut perkiraan tetap adalah penting seperti bil utiliti, telefon, pinjaman rumah atau kereta.

Namun begitu, pemantauan termasuk perbelanjaan luar jangka juga penting. Ini bagi memastikan baki wang yang mencukupi untuk simpanan kecemasan sekali gus mengelakkan kesempitan wang yang akhirnya membawa kepada hutang.

KECEMASAN

Justeru, masyarakat perlu mengubah pemikiran bahawa duit bukan hanya untuk dibelanjakan. Perlu ada pemahaman lebih jelas seperti pelaburan. Sudah tentunya dalam pelaburan itu terdapat konsep kompaun dan faedah. Namun, ia juga merupakan konsep penyimpanan pada masa akan datang.

Wang simpanan kecemasan adalah penting kerana situasi kecemasan adalah berada di luar kawalan tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan persaraan atau berhutang.

Disebabkan pengurusan kewangan anak muda masih kurang, pendidikan literasi kewangan perlu dimulakan di peringkat persekolahan dan diwajibkan di peringkat universiti. Hal ini selari dengan amalan dilaksanakan di negara-negara maju seperti Sweden. Di Sweden, anak-anak seumur awal lima tahun sudah pun belajar tentang konsep duit. Kalau mengikut kajian dibuat oleh Universiti Cambridge, erti duit itu sudah dikenali oleh kanak-kanak seawal umur empat hingga lima tahun.

Jika dilihat di negara terdekat, Singapura mempunyai tahap literasi kewangan yang tinggi dalam kalangan penduduk. Salah satunya adalah MoneySENSE, iaitu program pendidikan kewangan kebangsaan di Singapura yang dilancarkan pada 2003.

Pendidikan kewangan telah diajar di Singapura sejak 1960-an dengan Kementerian Pendidikan bertanggungjawab terhadap keseluruhan kurikulum kebangsaan negara tersebut. Kementerian Pendidikan Singapura juga mengiktiraf pendidikan celik kewangan harus bermula dari kecil dengan memupuk tabiat menabung dan menyemai nilai berhemat dalam diri pelajar.

Sesetengah kandungan pendidikan kewangan juga diterapkan dalam persekolahan menengah atas terutamanya bagi mata pelajaran Prinsip Akaun dan Elemen Pengajian Perniagaan. Kementerian Pendidikan Singapura juga menyediakan latihan pendidikan kewangan sebelum dan dalam perkhidmatan untuk guru mata pelajaran berkaitan.

Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga merupakan solusi terbaik bagi menangani masalah muflis. TVET boleh memberi peluang baharu kepada mereka yang menganggur selain ekonomi gig. Konsep TVET tidak semestinya bererti kita bekerja dengan majikan tapi sekurang-kurangnya anak-anak muda dilengkapi kemahiran yang membolehkan mereka berdiri di atas kaki sendiri.

Ini yang kerajaan perlu lihat dan koordinasi kementerian lain bahawa dengan adanya latihan TVET, mereka boleh mengetahui cara untuk menjadi seorang usahawan yang membolehkan memberi perkhidmatan dan mendapat pendapatan daripada usaha tersebut. Jadi, mereka tidak perlu bergantung kepada majikan lagi.

Selain itu, akses kepada perkhidmatan buy now pay later (BNPL) atau beli dahulu bayar kemudian sewajarnya dihadkan kepada graduan dan mereka yang baru bekerja. Hal ini untuk mengelak daripada terperangkap dalam hutang yang merugikan. Perkhidmatan pembayaran ini sememangnya memudahkan para pembeli untuk mendapatkan barang keperluan yang diinginkan dan membuat pembayaran secara ansuran pada satu tarikh yang ditetapkan.

Namun begitu, kemudahan yang ditawarkan ini menimbulkan kesan buruk kerana ia dilihat akan menambahkan beban hutang kepada isi rumah terutama sekali golongan muda. Sifat kehendak yang melebihi keperluan bagi golongan muda yang kurang literasi kewangan akan menambahkan beban hutang yang ditanggung mereka. Hal ini akan merisikokan diri mereka dalam belenggu hutang yang banyak dan membawa kepada kes muflis melibatkan golongan belia.

Justeru, walaupun Akta Pelepasan Kebankrapan dilaksanakan bagi jumlah tertentu, anak muda tidak sepatutnya mengambil remeh hal tersebut dengan mengabaikan pengurusan kewangan.

Sumber: Utusan Malaysia, 3 Mei 2023

Check Also
Close
Back to top button