Didikan Jati Diri Untuk Mahasiswa
Oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA)
TITAH Ketua Negara untuk institusi pendidikan tinggi (IPT) sama ada yang awam mahupun swasta membantu mendidik mahasiswa agar mereka dapat menyumbang secara besar-besaran kepada negara nanti bukan sahaja tepat pada masanya, malah ia selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Ini kerana lepasan IPT kini didapati rata-ratanya kurang jati diri mereka apatah lagi yang kental.
Sehubungan ini, FPK yang digubal pada 1988 dan disemak pada 1996 berhasrat untuk melahirkan warganegara seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi dengan kepatuhan kepada Tuhan. Dengan ini, dihasratkan warganegara yang berilmu dan berakhlak itu berkeupayaan untuk memastikan kesejahteraan diri sendiri dan memberi sumbangan kepada negara.
Perkara dititahkan itu bukanlah sangat tentang penyampaian ilmu yang merupakan soal pendidikan. Ia sebenarnya ada kaitan dengan didikan, iaitu membimbing, melatih dan mengawasi perwatakan mahasiswa dari segi akhlak agar bukan sahaja hemah sepanjang masa tetapi juga memiliki nilai keharmonian dan kemakmuran terhadap keluarga mereka sendiri, kemudian masyarakat dan akhirnya negara. Inilah yang dihasratkan pada FPK.
Untuk tujuan didikan ini, barangkali mahasiswa kita memerlukan tunjuk ajar yang khusus sifatnya terutama memberi balik kepada masyarakat, yakni perbuatan amal jariah atau kerja kebajikan yang membawa faedah kepada pihak lain. Sebenarnya sifat murah hati bukan sahaja sudah lama wujud dalam kehidupan manusia, malah ia telah juga lama menjadi antara sifat mulia dalam hidup bermasyarakat.
Kerja kebajikan ini sebenarnya boleh berbentuk kompleks sekali. Namun, peringkat paling mudahnya ialah kesukarelawanan, antaranya menyumbangkan masa untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan dalam komuniti kita. Sifat memberi balik kepada masyarakat ini adalah penting bukan sahaja bagi pihak yang disantuni tetapi juga kepada kita yang memberi. Ini kerana ia akan merapatkan kita dengan masyarakat, selain yang lebih penting lagi ialah ia akan mempunyai dampak positif terhadap perspektif, yakni pemahaman dan kesedaran kita tentang banyak perkara.
Perbuatan memberi balik ini begitu mulia dan merupakan antara bahagian penting dalam warisan Timur kita dalam bentuk budaya kolektivisme ditandai sifat murah hati, prihatin dan bantu mereka yang memerlukannya.
Melalui budaya ini, komuniti dan bukannya individu yang diutamakan. Justeru, sifat murah hati mengatasi kepentingan diri, harmoni, bukannya konflik serta keperluan pihak lain dan sama sekali tidak untuk diri sendiri adalah antara ciri mulianya. Dengan kata lain, kebergantungan sangat ditekankan dalam budaya kolektivisme.
BUBUR
Ini berbeza sekali dengan budaya individualisme dari Barat yang kini kelihatan sudah banyak menular dalam kehidupan masyarakat Timur. Dengan ini, kita mendapati ramai dalam kalangan kita hanya mementingkan kehendak sendiri yang kekadang bukan sahaja tidak menghargai lalu menceroboh hak pihak lain tetapi yang lebih dahsyat lagi ia menganjurkan persaingan tidak sihat yang boleh membawa kepada wujudnya konflik serius.
Dengan adanya kesedaran bahawa kita sudah mula berganjak ke arah amalan yang bukan sahaja tidak merupakan warisan Timur kita, antaranya mementingkan pencapaian kendiri tanpa mempedulikan kesan negatifnya kepada masyarakat umum, ia adalah amaran yang tidak boleh diabaikan lagi.
Justeru, titah itu hendaklah difahami antaranya sebagai amalan individualistik yang tidak cocok dengan cara Timur kita haruslah ditangani segera untuk mengubah keadaan sebelum nasi menjadi bubur. Untuk ini, jati diri mahasiswa kita antaranya hendaklah dihalakan untuk mengutamakan kesatuan kelompok daripada Hasrat peribadi semata-mata.
Ini selari dengan visi dan misi bidang pendidikan tinggi kita untuk melahirkan insan cemerlang bagi memenuhi aspirasi negara.
Untuk ini, mahasiswa boleh antaranya dikelolakan untuk mengetahui bagi memahami dan menghayati kesemua dasar negara, baik sosiopolitik, sosioekonomi dan sosiobudaya sifatnya. Ini penting untuk pemahaman merangkumi seluruh negara dan bukannya bagi hanya bahagian tertentu, apatah lagi tentang sesuatu etnisiti.
Pemahaman begini bukan sahaja dapat memupuk semangat kebangsaan, ia juga boleh merangsangkan rasa bangga, sayang dan taat kepada negara tercinta ini. Selain ini, ia juga dapat membangkitkan keazaman untuk memastikan negara terus maju di samping mementingkan kedaulatan negara terpelihara pada setiap masa. Inilah antara caranya mahasiswa dapat menyumbang kepada negara seperti yang diinginkan pada FPK, khususnya dari segi keharmonian, iaitu Kerjasama dan kedamaian serta kemakmuran, yakni kejayaan dan kesejahteraan.
Sehubungan ini, dengan penekanan peri pentingnya budaya kolektivisme, kerjasama antara kita pasti menjamin kedamaian. Begitu juga dengan kejayaan yang diraih bersama nescaya menentukan kesejahteraan.
Oleh itu, dalam memupuk untuk membentuk jati diri mahasiswa bagi menjadikan mereka sebati dengan aspirasi negara dari segi sumbangan, iaitu memberi balik kepada negara, kata hikmah berikut boleh dimanfaatkan, iaitu tanya apa yang dapat kita lakukan untuk negara dan bukannya apa yang negara dapat berikan kepada kita. Dengan cabaran daripada kata hikmah ini, semoga mahasiswa kita bukan sahaja lebih bersedia menyumbang kepada negara secara besar-besaran, ia juga akan menjadikan mereka lebih patriotik.
Sumber: https://www.utusan.com.my/rencana/2023/01/didikan-jati-diri-untuk-mahasiswa/