Berita & Pendapat

Isu Ketidakpadanan Kerja: Laksana Langkah ‘Lobak Dan Kayu’ – Madeline Berma

KUALA LUMPUR: Insentif setimpal wajar diberi kepada syarikat yang mengutamakan pengambilan tenaga kerja tempatan, sementara mereka yang tidak berbuat demikian boleh dikenakan disinsentif.
Dengan mekanisme sedemikian, kata Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Madeline Berma, ia dapat menyelesaikan masalah kekurangan pekerjaan untuk warga tempatan dan isu lambakan pekerja asing di negara ini.
Memang benar kerajaan hari ini, kata Madeline, sudah mengawal pengambilan tenaga kerja luar, namun beliau melihat negara ketinggalan masa yang agak lama.
“Yang menjadi kegusaran sekarang kalaulah pelabur asing datang dan melabur di negara kita, adakah kita mempunyai kemahiran atau kepakaran seperti yang diperlukan.
“Jadi saya rasa waktu transisi itu memerlukan masa dan kerajaan perlu wujudkan kedua-dua insentif dan disinsentif, ‘carrot and stick’,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Tegasnya, selagi isu kebergantungan kepada pekerja asing tidak diselesaikan, sukar kadar gaji di negara ini dinaikkan apabila kita masih mengharapkan tenaga buruh kurang mahir.
Dengan gaji yang tidak bermaruah dan setimpal dengan kelayakan serta kemahiran, tenaga kerja tempatan juga, kata Madeline, enggan untuk mengisi kekosongan pekerjaan ketika kos sara hidup semakin meningkat.
Back to top button