‘Kepincangan’ Bahasa Melayu Di SJKC Bukan Palsu
Oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA)
PENAFIAN terhadap subjek bahasa Melayu yang dilaporkan rata-ratanya tidak diminati murid Cina di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) perlu ditelaah dengan lebih mendalam. Ini kerana bukan sahaja ia pena an keras sebagai langsung tidak benar, ia ikut disanggah dengan membuat laporan polis setelah mendakwanya sebagai hasutan untuk membenci etnik Cina.
Sehubungan ini, sudah lama menjadi rahsia terbuka, lebih-lebih lagi dalam kalangan etnik Cina sendiri bahawa secara umumnya mereka tidak memberi perhatian sewajarnya kepada bahasa Melayu dalam apa-apa jua bentuknya termasuklah sebagai bahasa negara dalam kehidupan nasional. Ini ikut melibatkannya sebagai subjek nasionalistik di sekolah yang wajib lulus untuk memperoleh sijil penuh bagi peperiksaan awam di negara ini.
Dengan wujudnya sikap ini, tidak keterlaluan dikatakan bahawa etnik Cina secara umumnya tidak menghormati bahasa Melayu. Ini dapat dilihat dengan jelasnya pada banyak kelakuan kebahasaanmereka yang ada kaitan dengan bahasa Melayu yang rata-ratanya memperlihat ia tiada kepentingan bagi mereka.
Sudah tentu tindak-tanduk mereka berbeza sekali dengan pengakuan, lebih-lebih lagi yang terbuka sifatnya yang dibuat mereka dengan mengatakan bahasa Melayu itu penting, malah sangat penting. Dalam konteks sebagai subjek wajib lulus, kepentingan ini diperlihat dengan cara bahasa Melayu dipelajari dengan tekunnya untuk hanya mendapat gred baik melalui kelas tambahan di sekolah dan tuisyen di luar sekolah.
Usaha ini tidak dapat dina kan sebetulnya bersifat instrumental semata-mata, yakni memenuhi syarat sistem pendidikan negara untuk perolehi kejayaan keseluruhannya. Dengan ini, bahasa Melayu dipelajari khusus untuk mendapat manfaat segera yang pragmatik sifatnya, iaitu untuk hanya berjaya dalam subjek wajib lulus. Dalam mempelajarinya, ia tidak sesekali mahu ditekuni untuk tujuan hubungan interpersonal dalam bentuk integratif, yakni berdasarkan minat ikhlas terhadap etnik dan budaya Melayu yang merupakan kelompok dan warisan dominan di negara ini.
Juga menjadi fakta terbuka dalam kalangan etnik Cina bahawa rata-ratanya mereka tidak memandang tinggi kepada etnik bukan Cina yang lain di negara ini. Ini antaranya kerana didikan etnik Cina secara turun-tumurun menegaskan bahawa warisan mereka yang berusia sekitar 5,000 tahun itu, selain tidak pernah terputus peradabannya, adalah paling utuh dan sangat superior daripada segala tamadun lain. Dengan perasaan angkuh diwarisi ini, etnik Cina secara umumnya didapati tidak mudah menerima warisan etnik lain yang dianggap tidak hebat, lebih-lebih lagi yang mereka nilai sebagai jauh lebih rendah daripada dipunyai mereka.
Berbalik kepada penafian dan khususnya laporan polis itu, ia sebenarnya mengeruhkan lagi keadaan yang sudah lama rumit dan tegang ini, iaitu hubungan etnik Melayu-Cina yang tidak pernah baik sepanjang masa bermula dari zaman penjajahan lagi.
LAPANG DADA
Tindak balas awam terhadap isu tiadanya minat etnik Cina mempelajari, apatah lagi menekuni bahasa Melayu secara ikhlas selain serius hendaklah ditangani mereka dengan lebih bijak lagi bertanggungjawab. Isu ini seharusnya dihadapi dengan penuh rasional selain lapang dada dan bukannya sesekali dengan cara membuat laporan polis. Ini kerana apa-apa yang dilaporkan itu memang ada banyak kebenarannya dan bukannya palsu semata-mata.
Sehubungan ini, etnik Cina harus cekal selain tabah menerima hakikat bahawa selama ini mereka tidak pernah menganggap bahasa Melayu itu penting, selain mengakui bahawa mereka juga tidak pernah menghormatinya sepenuhnya walaupun ia bahasa negara. Sebetulnya inilah realitinya yang begitu nyata pada perlakuan mereka walaupun mengakui hal sebaliknya. Perkara ini didapati betul sekali sebab tindakan melalui perlakuan mereka itu lebih nyata hakikat yang sebenar-benarnya daripada kata-kata manis dilafazkan menerusi pengakuan positif pula.
Sehubungan ini, etnik Cina harus berjiwa besar untuk tidak lagi terus-terusan menafikan realiti ini dengan mula memberi perhatian sewajarnya kepada bahasa negara ini. Dalam pada ini, mereka harus mula sedar untuk betul-betul kesal akan perlakuan selama ini yang tidak pun menguntungkan mereka sendiri, apatah lagi kepada negara untuk proses pembentukan negara bangsa.
Dengan ini, setelah sesat di hujung jalan, etnik Cina diminta balik ke pangkal jalan dengan segera menginsa keterlanjuran lampau yang tidak mementingkan bahasa Melayu khususnya dalam bentuk integratifnya. Sehubungan ini, mereka perlu memulakan tekad baharu untuk mempunyai perasaan bangga seterusnya menjadi cinta dan akhirnya setia kepada bahasa Melayu sebagai bahasa negara untuk kedua-dua peranannya selaku bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
Dalam pada itu, tiada ada banyak gunanya bagi mereka mahu terus menegak benang basah dengan menguar-uarkan kadar kelulusan subjek bahasa Melayu di SJKC yang tinggi sebagai bukti bahawa ia tidak pernah diabaikan melainkan ditekuni dengan gigih lagi serius. Natijahnya ialah semua yang dinyatakan itu langsung tidak menjadi walaupun didakwa diusahakan berdekad-dekad lamanya. Ini kerana lepasan SJKC rata-ratanya tidak dapat berfungsi dengan baik, malah ramai yang tidak fungsional langsung dalam komuniti bahasa Melayu. Ini antaranya kerana kaedah yang digunakan itu bersifat amat cauvinis untuk habis-habisan melindungi pendidikan aliran Cina. Dalam hal ini, mereka tidak pernah mahu menerima saranan kerajaan sepenuhnya yang dicurigai sebagai agenda Melayu yang licik sedangkan ia nilai pendidikan murni semata-mata untuk kebaikan murid Cina di SJKC itu sendiri.
Sumber:https://www.utusan.com.my/rencana/2023/02/kepincangan-bahasa-melayu-di-sjkc-bukan-palsu/