Rencana

Kuasailah BM Sebagai Warganegara Baik

Oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA)

TINJAUAN yang mendapati rata-ratanya murid Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tidak ghairah untuk menekuni mata pelajaran Bahasa Melayu dengan penuh minat tidak memeranjatkan banyak pihak.

Ini kerana lepasan SJKC ini memang rata-ratanya didapati bukan sahaja tidak cekap berbahasa Melayu walaupun ia bahasa negara. Lebih menyedihkan lagi ialah mereka ini langsung tidak pun berasa bersalah dan cuba mendalilkan hal ini bahawa bahasa Melayu tidak penting jika dibandingkan dengan bahasa Mandarin.

Selain sikap tidak apologetik (menyesal) langsung ini, mereka ini juga menyalahkan Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran yang susah untuk dipelajari. Justeru, mereka ini tidak cekap di dalamnya biarpun bertahun-tahun mempelajarinya.

Hal ini pula dilengkapi hujah daripada kepimpinan Cina bahawa menjadi beban berat pada kanak-kanak Cina untuk sekali gus mempelajari tiga bahasa, iaitu Bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Apa-apa jua dalilnya atau lebih tepat lagi dalihnya, gejala tidak cekap berbahasa Melayu sepatutnya tidak boleh wujud langsung. Ini kerana ia bukan sahaja sesuatu yang amat malang memandangkan bahawa sebagai warganegara, seseorang itu wajib mempunyai pengetahuan baik selain penguasaan tinggi terhadap bahasa negaranya, lebih-lebih lagi setelah negara ini ditubuhkan semenjak 65 tahun dahulu.

Lebih buruk daripada ini, ia amat memalukan sebab tidak terdapat di mana-mana negara lain di dunia yang warganegaranya tidak mengetahui dan menguasai bahasa negara, kecuali di Malaysia sahaja.

Sebenarnya ini bukan isu linguistik semata-mata. Ia isu kenegaraan yang wajib ditangani segera setelah dibiarkan berlarutan sekian lama agar nasi tidak menjadi bubur, sesudah terhimpunnya banyak kekusutan rumit yang tidak dapat dileraikan lagi.

Sebenarnya, masalah ini sudah lama disedari dan kerajaan pernah berusaha untuk menanganinya, dengan ingin menambah waktu pendidikan mata pelajaran ini di samping menyelaraskan sukatan pelajarannya. Ia bukan sahaja tidak mendapat kerjasama penuh daripada masyarakat Cina, ia ditolak habis-habisan kerana disyaki dua usaha ini akan menjejaskan identiti SJKC.

Sehubungan Bahasa Mandarin, khasnya di SJKC dan amnya di negara ini, masyarakat Cina harus menyedari, malah menginsafi kedudukannya dalam konteks dasar bahasa yang diamalkan di negara ini.

Dalam dasar ini, kerajaan telah mengkanunkan bentuk, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa negara, bahasa Inggeris selaku bahasa antarabangsa terpenting dan Bahasa Mandarin bertindak sebagai bahasa vernakular sahaja walaupun ia bahasa besar dunia.

Pemahaman begini amat penting dalam konteks kenegaraan kita. Malangnya ia tidak mahu langsung difahami sedemikian apabila masyarakat Cina mempertikai kuasa, prestij dan glamor bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin.

Dari satu segi, tidak dina kan bahawa bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin mempunyai nilai ekonomi yang lebih tinggi daripada bahasa Melayu.

JELIK

Namun dari satu segi lain, bahasa Melayu adalah bahasa negara kita, justeru ia identiti nasional bagi negara selain identiti budaya untuk rakyat. Oleh itu, ia bahagian penting lagi utama untuk nasionaliti Malaysia, iaitu keadaan keterikatan rakyat kepada negara ini sebagai warganegaranya. Berhubung dengan nasionaliti ini, bahasa Melayu juga adalah lambing kebanggaan, kecintaan dan kesetiaan kita kepada negara tercinta ini, khususnya dalam konteks Malaysia yang merupakan tanah tumpah darah kita semua.

Dengan ini, bahasa Melayu bukan sembarangan bahasa. Ia bahasa keramat yang wajib diketahui dengan baik dan dikuasai pada tahap tinggi oleh setiap rakyat yang mengakui dirinya sebagai warganegara Malaysia.

Oleh itu, tidak boleh ada langsung dalih ia bahasa yang sukar dikuasai pada tahap tinggi. Justeru, memadailah apabila bahasa Melayu diketahui secara cetek dan dikuasai pada tahap rendah sahaja. Dengan kata lain, sudah cukup ia hanya dituturkan secara jelik sebagai bahasa pasar sahaja.

Ini adalah satu lagi kemudaratan pada bahasa Melayu sebagai bahasa negara, yakni rata-ratanya dituturkan dalam bentuk kasar lagi gabas (tidak kemas), seolah-olah kita tidak pernah memiliki bahasa yang dikongsi bersama, walhal kita mempunyai bahasa negara semenjak sekian lama.

Tidak ada jalan lain selain masyarakat Cina berhenti daripada terus-terusan memberi dalih untuk mengelak daripada perlu mengetahui bahasa Melayu dengan baik untuk menguasainya pada tahap tinggi. Oleh itu, tidak harus lagi kedengaran dalih bahawa bahasa Melayu sukar dipelajari dan ia tiada kepentingan waima di negara Melayu ini sendiri.

Jadilah warganegara baik dengan mengambil segala langkah dengan apa-apa jua cara untuk mempelajari bahasa Melayu sebaik-baiknya bagi menjadi amat cekap di dalamnya. Ia bahasa negara dan haruslah dihormati sebegitu kerana ia bahagian penting dalam kewarganegaraan Malaysia. Dengan ini, bahasa Melayu mempunyai kaitan rapat dengan nasionalisme dan patriotisme yang wajib diberikan perhatian oleh masyarakat Cina.

Sementara itu, apabila wujudnya isu ini, SJKC sebagai antara pengaruh sosial pada sistem pendidikan negara, untuk mempupuk identiti nasional bagi Malaysia dan identiti budaya untuk warganegara Malaysia, boleh dipertikai. Ini kerana SJKC didapati gagal semenjak dahulu lagi untuk lepasannya menzahirkan dua identiti itu dalam kehidupan nasional mereka.

Ini tidak dapat disangkal lagi apabila hampir setiap lepasan SJKC didapati tidak mampu menjadi sebahagian daripada negara dan kewarganegaraan Malaysia, kerana tiadanya pengetahuan baik dan penguasaan tinggi terhadap bahasa Melayu selaku bahasa negara.

Sumber:https://www.utusan.com.my/rencana/2023/01/kuasailah-bhasa-melayu-sebagai-warganegara-baik/

Back to top button