Rencana

Lahirkan Genius Dalam Kalangan Anak Autisme

PENDIDIKAN berkaitan kesihatan dan terjejasnya perkembangan seseorang kanak-kanak pada era kini sentiasa dipergiatkan dalam masyarakat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan organisasi berkaitan. Ibu bapa hari ini sentiasa mengambil berat perkembangan anak-anak mereka sama ada kanak-kanak itu normal mahupun sebaliknya.

Anak-anak adalah anugerah yang tidak ternilai. Bagaimanapun, keadaan diri dan kesihatan serta perkembangan yang berlaku kepada mereka, ibu bapa sentiasa sahaja bersedia dengan segala kemungkinan dan berusaha untuk memberikan yang terbaik. Demikian juga dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai anak-anak mengidap autisme.

Berdasarkan sumber KKM, istilah ‘autisme’ berasal daripada perkataan ‘autos’ bermaksud diri sendiri dan ‘isme’ pula bermaksud satu aliran. Autisme merujuk kepada seseorang yang hidup dalam dunianya sendiri. Ia memberi kesan kepada tiga komponen iaitu sosial, komunikasi dan tingkah laku.

Adakah kita hari ini benar-benar memahami wujudnya golongan autisme dalam kalangan kita? Bagaimanakah kita untuk membantu mereka? Apakah yang boleh kita lakukan bagi membantu mereka?

Berdasarkan laporan, perkembangan minda yang tidak normal berlaku sebelum usia tiga tahun, menyebabkan kanak-kanak autisme lambat berinteraksi sosial dan tidak dapat menggunakan bahasa dengan betul. Masalah komunikasi timbul apabila berlaku perkembangan bahasa yang lambat. Ini berlaku kerana kanak-kanak autisme kelihatan seperti tidak mendengar apa-apa serta bertindak mendiamkan diri. Mereka tidak suka menggunakan bahasa dalam komunikasi, sukar diajak berbicara walaupun boleh bertutur tetapi lebih suka meniru perbualan orang lain. Mereka lebih gemar memencilkan diri dan duduk di satu sudut lain.

Kanak-kanak autisme mengalami gangguan deria. Mereka sensitif pada sentuhan, bunyi kuat dan tidak takut pada bahaya. Walaupun mereka tidak suka dipegang tetapi mereka suka dipeluk.

Sindrom autisme mempunyai perkaitan dengan masalah genetik, epilepsi, usia ibu bapa meningkat dan sebagainya. Bagaimana pula dengan gajet yang disangka punca anak menjadi autistik? Adakah teknologi menjadi faktor utama penyebab autisme? Bagaimanapun, pemberian gajet untuk anak yang sudah mempunyai autistik menyebabkan pendedahan sosial mereka dengan orang lain lebih terhalang.

Proses pemulihan, kita mahu anak autisme lebih banyak berinteraksi. Jika ibu bapa sentiasa berikan anak gajet, ini bermaksud komunikasi bersifat satu hala menghalang perkembangan kanak-kanak autisme. Rehabilitasi awal adalah sangat penting untuk anak-anak autisme ini.

Dari segi permainan, kanak-kanak autisme tidak suka bermain dengan rakan-rakan mereka. Corak atau pola permainan mereka agak ganjil, seperti memutar-mutar skru atau melambung-lambung alat permainan. Mereka juga suka pada benda-benda berputar seperti kipas dan benda-benda lembut. Contohnya, kanak-kanak autisme menyukai bola dan sentiasa membawanya ke mana-mana sahaja.

Kanak-kanak autisme sukar dikawal kerana mereka bukan mudah dipujuk atau dirayu. Autisme tidak boleh diubati, cuma boleh dikawal. Pendidikan khas diperlukan untuk mendidik kanak-kanak ini supaya menjadi lebih terkawal dan dapat menjalani kehidupan dengan lebih normal. Apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa kanak-kanak autisme adalah menghantar anak-anak mereka ke sekolah khas, seelok-eloknya semasa kecil kerana pelbagai terapi boleh dicuba walaupun hasilnya tidak begitu menggalakkan (Stoppard, 1998).

Apabila menyebut tentang kanak-kanak autisme, perkara pertama terbayang di benak pastilah kesukaran mereka menyesuaikan diri dengan norma hidup seharian. Percaya atau tidak, terdapat tokoh autisme yang berjaya dalam kerjaya, mengetepikan segala rintangan dan cabaran yang mereka hadapi dari zaman kanak-kanak hingga dewasa.

Proses pembelajaran dan pengajaran untuk kanak-kanak autisme sememangnya sangat mencabar tetapi tidak mustahil pendidikan mampu mengubah, bahkan melahirkan genius dalam kalangan kanak-kanak autisme. Kaedah Santai Tutur (Jessica, 2010) menggunakan elemen muzik untuk proses pengajaran dan pembelajaran menunjukkan peningkatan prestasi mereka dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Teori psikonalitik melihat dari sudut pandang psikologis, iaitu teori refrigerator mother. Freudian memperkenalkan teori psikogenik, fokus kepada ibu bapa yang kurang peka dengan peringkat awal dan tidak mahu mencari alternatif untuk menerima kenyataan bahawa anak mereka ialah kanak-kanak autisme. Keadaan ini melambatkan proses dalam berinteraksi dan ibulah yang banyak dipersalahkan kerana kerap melahirkan perasaan negatif. Ibu bapa perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam mendapat teknik-teknik untuk membantu guru-guru di sekolah dalam mengatur dan merancang langkah-langkah sistematik.

Kemahiran sosial perlu diterapkan kepada kanak-kanak autisme untuk memudahkan mereka berinteraksi dengan masyarakat. Ibu bapa perlu memantau dan sentiasa mendapat maklum balas daripada guru-guru di sekolah tentang perkembangan anak mereka. Pelbagai kaedah dan pendekatan boleh dilakukan untuk memastikan kanak-kanak istimewa juga mampu menjalani kehidupan berdikari sama seperti insan normal.

Masyarakat hari ini sentiasa dahagakan ilmu dan maklumat. Oleh demikian, amatlah digalakkan orang ramai meraih pengalaman berkaitan pendidikan kanak-kanak atau golongan autisme. Sebagaimana ada yang terlibat dalam program orang kurang upaya (OKU) tertentu, program berkaitan autisme juga sesuatu yang menarik boleh diteroka.

Sekurang-kurangnya inilah tanda prihatin kita kepada kalangan mereka yang memiliki ahli keluarga mengidap autisme. Malah paling mengujakan, khalayak autisme sudah tentu dapat dikembalikan keyakinan dan sudah tentu mereka adalah sebahagian yang amat penting dalam keharmonian masyarakat. Dalam kekurangan, kita saling melengkapi, dalam rasa sempurna usah kita lupa mereka yang memerlukan kita.

Sumber: Utusan Malaysia, 13 April 2023

Back to top button