Rencana

Nama Bak Kut Teh Tidak Boleh Wakili Negara

NAMA warisan negara khususnya makanan haruslah tidak sesekali kontroversi sifatnya sehingga boleh menimbulkan bantahan keras daripada masyarakat. Sehubungan ini, bak kut teh, asalnya sejenis sup Cina menggunakan tulang babi sebagai nama kepada makanan itu yang akhir-akhir ini wujud dalam beberapa versi halal hendaklah dibahaskan secara amat serius. Ini kerana nama asalnya masih mempunyai pengertian tidak halal walaupun setelah ditambah perkataan ayam, iaitu bak kut teh ayam dan sebagainya setelah menggunakan bahan halal.

Selain syarat halal agar boleh ikut dinikmati umat Islam yang merupakan kelompok majoriti lagi dominan di negara ini, sensitiviti namanya juga harus diambil kira untuk mereka. Ini amat penting kerana nama pada sesuatu itu membawa perkaitan dengan pelbagai hal, antara yang terpenting ialah budaya.

Di samping ini, sesebuah nama itu juga boleh mewujudkan makna tertentu yang difahami sebegitu. Nama itu juga penting sebagai identiti nasional negara selain identiti budaya rakyatnya dalam konteks warisan negara.

Sehubungan penamaan dalam bentuk asalnya, lagi-lagi yang tidak ada penambahan apa-apa jua perkataan selepasnya, iaitu hanya bak kut teh walaupun untuk versi ayam, ia bukan sahaja sangat mengelirukan, ia juga amat tidak patut sebegitu caranya. Ini kerana pengertian tidak halal itu terus wujud tanpa ada apa-apa keterangan halal meskipun ia sudah menjadi halal dengan menggunakan ayam dan lain-lain.

Penghujahan bahawa bak adalah perkataan bahasa Cina Hokkien yang merujuk kepada apa-apa jua daging secara umum, digunakan dalam perbahasan ini. Justeru, sudah memadai dengan nama asalnya tanpa perlu ditambahkan apa-apa perkataan lain sebagai pemberitahuan bahawa ia kini halal. Dalam hal ini, ia tidak benar kerana dalam budaya Cina Hokkien, bak secara dominan dan khususnya adalah daging babi.

Dengan ini, untuk daging lain, ia hendaklah dinyatakan dengan menggunakan nama haiwan berkenaan.

Begitu juga hal dalam budaya Melayu di negara ini. Secara umumnya, perkataan daging merujuk kepada apa-apa jua daging. Pun begitu, secara spesifiknya, ia merujuk kepada hanya daging lembu dan kerbau.

Dengan ini, apabila disebut kari daging, ia pasti difahami di Malaysia sebagai makanan itu mengandungi daging lembu atau kerbau dan tidak yang lain-lain. Ini kerana daging jenis lain akan dinyatakan secara khusus seperti rusa, arnab dan sebagainya pada sesuatu makanan, misalnya sate.

Tidak salah untuk mengangkat makanan Cina itu dalam versi halalnya sebagai warisan negara. Dalam hal ini, harus dicari nama lain yang sesekali tidak menggunakan nama asalnya khususnya pada bahagian tidak halal itu.

BAK CANG

Diakui bahawa sering kali nama lain itu tidak selalu mampu mengungkapkan konsep sesuatu makanan itu dari segi penyediaan dan lain-lain yang sudah mantap difahami melalui nama asalnya. Namun, nama lain itu sangat diperlukan, malah diharuskan kerana nama asal itu bukan sahaja terlalu amat sensitif, ia juga sebenarnya tidak dibenarkan dalam Islam yang merupakan agama negara. Ini kerana dalam Islam, nama diberikan itu haruslah yang baik-baik untuk menyampaikan maksud kebaikannya itu.

Sehubungan pemberian nama untuk makanan Cina yang kini banyak wujud dalam versi halal, ia boleh mengambil contoh bak cang, iatu ketupat pulut yang asalnya mengandungi ramuan tidak halal antaranya babi. Ia kini diperbuat oleh Cina Muslim dengan gantian bahan halal dan dikenali sebagai kueh cang. Bagi nama lain untuk bak kut teh, kita perlu kreatif untuk menciptanya agar cara penyediaannya serta lain-lain itu tetap tergarap utuh pada nama baharunya nanti.

Dalam pada ini, kita tidak boleh sesekali mahu meneruskan penggunaan nama asalnya atas nama kepelbagaian, iaitu Malaysia negara majmuk yang sifatnya itu harus diangkat pada setiap perkara. Sehubungan ini, ia tidak boleh selalunya begitu atas beberapa kekangan. Antaranya imej Malaysia sebagai negara Islam atau penduduk majoriti dan dominannya ialah Muslim. Ini harus bukan sahaja diutamakan, juga dijelmakan secara nasional mahupun internasional pada setiap masa.

Dengan ini, elakkanlah apa-apa jua nama asal ataupun baharu bercanggah dengan budaya Melayu dan agama Islam yang merupakan unsur utama dalam Dasar Kebudayaan Negara. Untuk ini, status negara sebagai bertuan etnik Melayu semenjak azali lagi dan Islam selaku anutan mereka haruslah diambil kira secara serius. Dengan ini, ia tidak boleh sesekali bersifat sama rata, yakni etnik dan agama lain harus ikut diberikan hak sama banyak selain serupa dengan yang diperuntukkan kepada penduduk asal pada budayanya dan lain-lain lagi.

Walaupun dalam konteks bertuan ini, apa-apa jua makanan tidak halal itu tidak pun sesekali disekat dalam apa-apa bentuk jua dalam kehidupan domestik dan komuniti etnik dan agama lain itu. Hanya untuk diangkat dalam kehidupan nasional, ia harus halal dari segala sisi termasuk nama selain bahannya.

Pembahagian ini bukan sahaja sangat penting difahami dengan sebaik-baiknya, ia juga harus diamalkan secara tegar sekali. Dengan ini, apa-apa yang wujud pada ranah domestik dan komuniti itu lebih-lebih yang tidak halal dan tidak selari dengan Dasar Kebudayaan Negara, tidak boleh sama sekali wujud apatah lagi sengaja mahu diangkat dalam ranah kebangsaan dan antarabangsa. Sehubungan ini, ia tidak boleh sama sekali mewakili Malaysia untuk kehidupan nasionalnya oleh semua etnisiti dan wilayah, lebih-lebih untuk ditonjolkan sebagai identiti nasional bagi negara dan identiti budaya bagi rakyatnya.

Sumber: Utusan Malaysia, 20 Jun 2023

Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat Inastitut Masa Depan Malaysia (MASA) merangkap Felow Majlis Profesor Negara (MPN)

Back to top button