Selit budi bahasa dalam subjek Bahasa Melayu
SUDAH banyak usaha dilakukan semenjak tertubuhnya negara ini untuk menjayakan gagasan bahasa Melayu selaku bahasa negara sebagai wadah perpaduan. Terkini, ia menjadi antara strategi utama untuk identiti nasional sebagai salah satu teras perpaduan dalam Dasar Perpaduan Negara yang mahu direalisasikan melalui Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030. Dengan ini, bahasa Melayu ingin diperkukuh peranan kenegaraannya sebagai perantara penting untuk memupuk dan melestarikan perpaduan erat lagi utuh di negara ini.
Sehubungan ini, namanya pernah ditukarkan kepada Bahasa Malaysia, meskipun langkah ini rata-ratanya kurang disenangi etnik Melayu selaku penutur jatinya. Dengan nama baharu ini yang memang lebih nasionalisitik sifatnya, ia didapati tidak juga diterima dengan seadanya oleh etnik bukan Melayu. Ia seperti sahaja sewaktu bernama bahasa Melayu, iaitu nama lazim pada mana-mana bahasa kerana mengambil nama etnik yang menuturkannya sebagai bahasa ibunda.
Untuk tujuan perpaduan, bahasa Melayu dalam peranannya sebagai bahasa negara sebagai kedua-dua bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, hendaklah mula diajar untuk dipelajari secara integratif oleh mereka yang bukan dari etnik Melayu. Ia dilakukan bagi menjadikan mereka sebahagian daripada komuniti bahasa Melayu, antaranya untuk dapat berfungsi dengan baik semasa berada di dalam komuniti itu. Malangnya ini langsung tidak berlaku. Ini kerana bahasa Melayu rata-ratanya dipelajari selain juga diajar secara instrumental yakni semata-mata untuk memenuhi syarat yang diperlukan, antaranya sebagai mata pelajaran wajib lulus.
Selaras dengan peranannya sebagai bahasa perpaduan, sudah sampai masanya kurikulum dan sukatan pelajarannya dalam konteks sebagai bahasa negara digubal semula agar ia benar-benar mempunyai perimbangan yang bukan sahaja realistik. Lebih penting lagi yang nasionalisitk antara pengajaran dan pembelajaran tatabahasa sebagai komponen pembangunan akademik dengan budi bahasa selaku komponen pembentukan negara bangsa.
Dengan ini, mata pelajaran bahasa Melayu tidak boleh lagi bersifat akademik semata-mata seperti kini yang umumnya menekankan aspek tatabahasa sahaja. Mulai sekarang, sementara menunggu penggubalan semula itu, mata pelajaran Bahasa Melayu hendaklah diselitkan sisi nasionalisitknya dalam bentuk budi bahasa.
Ini amat penting agar ia bukan sahaja difahami tetapi didukung sebagai identiti nasional bagi negara dan identiti budaya bagi rakyat. Budi bahasa ini antaranya hendaklah terdiri daripada sikap positif terhadap bahasa Melayu selaku bahasa negara. Ia hendaklah dibentuk pada semua pihak, lebih-lebih lagi dalam kalangan rakyat bukan Melayu yang selama ini hanya mempunyai sikap acuh tidak acuh terhadap bahasa Melayu walaupun berupa bahasa negara.
POSITIF
Sehubungan ini, sikap bahasa yang harus dibina itu sebenarnya adalah perasaan terhadap bahasa Melayu yang positif sifatnya. Ini kerana sikap positif terhadap bahasa Melayu itu sendiri adalah sangat penting untuk seterusnya mewujudkan sikap positif kepada komuniti bahasa Melayu, khususnya etnik Melayu sebagai penutur jati bahasa Melayu. Sikap positif kepada kedua-dua bahasa dan komuniti bahasa adalah penting untuk memastikan pembelajaran bahasa Melayu akan berjaya dalam erti kata mencapai matlamat integratif selain instrumentalnya.
Dengan ini, sikap positif yang dipupuk untuk dilestarikan itu hendaklah dipastikan ikut menilai kepentingan bahasa Melayu. Sesungguhnya nilai bahasa Melayu dalam konteks kenegaraan khususnya sebagai bahasa negara, tiada tolok bandingnya. Ini kerana bahasa Melayu sebagai bahasa negara adalah identiti nasional bagi negara tercinta ini dan identiti budaya bagi rakyatnya yang patriotik.
Sebagai identiti nasional, ia bermakna rakyat mempunyai kewajipan terhadap bahasa Melayu untuk menguasai selain melindunginya. Ini penting untuk memperlihat keutuhan negara bangsa kita yang antaranya dibina oleh bahasa negara setelah didukung bersama-sama oleh semua etnik. Untuk identiti budaya, bahasa Melayu adalah tunjang dan teras yang bukan sahaja mempunyai perkaitan rapat dengan negara ini dan rakyatnya, malah perkaitan itu nasionalistik sekali sifatnya. Ini kerana bahasa Melayu ikut melestarikan selain melindungi sejarah negara ini bersekali dengan peradaban rakyatnya.
Semua ini sebenarnya amat selari dengan satu sisi falsafah bahasa, iaitu bahasa adalah kunci kepada jiwa sesebuah bangsa. Ini kerana bukan sahaja sisi itu didapati amat benar dari segi budaya atas dasar bahasa adalah roh sesuatu kelompok yang menuturkannya. Ia juga didapati benar sekali dari segi sosial, iaitu bahasa sebagai alat komunikasi boleh membuka laluan untuk memulakan persahabatan yang boleh pula membawa kepada perpaduan.
Dengan ini, bahasa Melayu bukan sahaja berupa keterikatan rakyat kepada negara sebagai tanah air mereka dan hal-hal seumpamanya. Ia juga berupa keterikatan sesama rakyat, iaitu antara Melayu, Cina, India, anak negeri Sabah dan natif Sarawak, di samping sebagai keterikatan sesama wilayah, yakni antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Dalam hal ini, keterikatan ini wujud dalam bentuk perkongsian untuk pendukungan pemahaman dan aspirasi selain sentimen serta gagasan yang tujuannya tidak lain tidak bukan adalah bagi memupuk dan melestarikan perpaduan negara yang erat lagi utuh.
Perpaduan sebegini ialah idaman semua negara. Sehubungan ini, ia menjadi aspirasi semua kerajaan yang memerintah. Oleh itu, ia cuba dipupuk dan dilestarikan melalui pelbagai cara. Antaranya termasuklah bahasa khususnya bahasa negara. Inilah yang sebenarnya mahu dilakukan dalam Dasar Perpaduan Negara melalui Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030.
Sumber: Utusan Malaysia, 21 Mac 2023