Berita & Pendapat

Tarik Subsidi Elektrik: Kerajaan Harus Lebih Teliti, Jangan Sampai Tekan Rakyat – Muhyiddin

KUALA LUMPUR 17 Mei – Kerajaan perpaduan harus lebih teliti dan tidak membuat keputusan terburu-buru dalam membuat sesuatu yang memberi kesan kepada rakyat.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sepatutnya berbincang dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan input atau pandangan seterusnya menilainya sebelum membuat keputusan secara drastik.

“Dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mungkin kata cara itu bagi mengurangkan bebanan. Saya faham, tapi kita bila kabinet buat keputusan dia ada dia punya andaian.

“Kalau buat begini, kesan pada sektor mana, kalau buat begini kesan pada domestik atau tidak. Ataupun, sektor industri atau tidak.

“Tetapi, terbukti apabila kerajaan buat keputusan terkini itu, ada pihak yang rasa tidak berpuas hati. Sebab mereka terpaksa membayar bil elektrik yang lebih tinggi,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) 2.0 di sini hari ini.

Muhyiddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri berhubung tiada subsidi diberikan kepada pengguna domestik yang mengggunakan elektrik berlebihan sebaliknya dikenakan caj tarif semasa, baru-baru ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd Amin.

Terdahulu, Muhyiddin ketika berucap pada majlis tersebut menegaskan, beberapa kajian menunjukkan rakyat Malaysia terutamanya golongan B40 dan M40 merasakan kedudukan kewangan peribadi mereka semakin terjejas.

Katanya, kerana itulah terdapat gesaan yang kuat daripada rakyat supaya kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang boleh mereka gunakan pada masa kritikal sekarang ini bagi menampung keperluan harian.

“Malangnya, kerajaan tidak mendengar keluhan dan permintaan rakyat, selain tidak mempunyai sebarang langkah konkrit bagi membantu rakyat menghadapi zaman sukar pada masa ini.

“Janganlah semasa sebelum berkuasa pandai bercakap, tetapi apabila berkuasa tak pandai buat. Malah, menutup mata dan memeakakkan telinga apabila berhadapan dengan tuntutan rakyat. Langsung tidak peka dan tidak prihatin terhadap nasib rakyat jelata,: katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi MASA berbesar hati kerana MPDP 2.0 mendapat sambutan memberangsangkan daripada kalangan ahli penyelidik dan akademia dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) di seluruh negara.

Katanya, sebanyak 27 kertas cadangan telah disenarai pendek panel penilai, dan setiap penerima geran MPDP 2.0 layak menerima geran peneyelidikan sebanyak RM10,000.

Antara bidang tumpuan penyelidikan MPDP 2.0 merangkumi isu-isu relevan seperti perubahan iklim, keterjaminan bekalan makanan, menangani keciciran pembelajaran, memacu perniagaan, rumah mampu milik, pembinaan daya tahan sistem kesihatan dan kesiapsiagaan menghadapi krisis pada masa depan serta perlindungan sosial – DagangNews.com

Sumber:https://www.dagangnews.com/article/tarik-subsidi-elektrik-kerajaan-harus-lebih-teliti-jangan-sampai-tekan-rakyat-muhyiddin-26546

Back to top button