Rencana

Wajibkan Pekerja Asing Belajar, Fahami Bahasa Melayu

SIGNIFIKANNYA sektor ekonomi negara bergantung kepada pekerja asing khususnya pada tahun-tahun sebelum pandemik Covid-19. Pada masa kini, hanya enam sektor formal dibenarkan mengambil pekerja asing iaitu pembinaan, perkilangan, perkhidmatan, perladangan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian.

Dari negara manakah pekerja asing ini didatangkan? Terdapat 15 negara sumber yang dibenarkan untuk membekalkan pekerja asing. Negara-negara tersebut adalah Indonesia, Nepal, Myanmar, India, Vietnam, Filipina (lelaki), Pakistan, Thailand, Kemboja, Sri Lanka, Laos, Turkmenistan, Uzbekistan dan Kazakhstan. Dilaporkan negara kini memerlukan sejumlah 540,363 tenaga kerja asing dalam mengimbangi kepesatan ekonomi negara.

Kemasukan pekerja asing dari luar negara juga mempelbagaikan lagi jenis bahasa seperti bahasa Indonesia, bahasa Nepal dan lain-lain. Oleh itu, Malaysia memerlukan alat komunikasi yang seragam dan boleh difahami oleh seluruh warganegara serta warga asing, iaitu bahasa Melayu. Menurut Hall dalam Abdul Hamid Mahmood (2002), bahasa merupakan institusi untuk manusia berkomunikasi dan berinteraksi menggunakan simbol lisan pendengaran yang arbitarari mengikut tabiat.

Berdasarkan perkongsian oleh Profesor Emeritus Abdullah Hassan, Denmark, Finland, Sweden dan beberapa negara di Timur seperti China, Jepun dan Korea Selatan memberikan penekanan kepada pekerja asing untuk menguasai bahasa kebangsaan negara mereka masing-masing.

Cara sedemikian, selain dapat mendidik warga asing menghormati negara ini, dalam masa sama juga mereka memahami sudut kedaulatan negara menerusi lagu kebangsaan, bahasa dan peraturan di tempat mereka bekerja dan budaya setempat.

Menyedari peri pentingnya menguatkuasakan pekerja asing mempelajari bahasa Melayu, terdapat beberapa institusi memberikan alternatif dalam mempelajari bahasa Melayu untuk pertuturan khususnya menerusi Akademi DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka). Kursus Bahasa Melayu untuk Penutur Asing yang ditawarkan oleh akademi ini meliputi tiga peringkat iaitu tahap asas, pertengahan dan lanjutan. Modul pembelajaran meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis.

LINGUA FRANCA

Kaedah pembelajaran menerusi akademi ini termasuklah ceramah, audio visual, latihan lisan, latihan menulis dan kerja rumah. Para pelajar akan mengikuti penilaian bagi memantau keberkesanan pembelajaran untuk menguasai bahasa lingua franca ini. Lazimnya selepas lebih tiga bulan, pelajar akan dapat mengaplikasikan kemahiran dipelajari dalam bentuk latihan diberikan.

Selain DBP, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga memainkan peranan cukup proaktif dalam memastikan bahasa Melayu tidak dipandang sebelah mata. Malaysia mesti mencontohi Jerman, Jepun, Korea Selatan dan China yang begitu bersungguh-sungguh dan dinamik dalam mempertahankan dasar bahasa kebangsaan mereka tidak hanya kepada rakyat tempatan tetapi juga kepada orang asing. Negara-negara tersebut menguatkuasakan pelajar asing mempelajari dan menguasai bahasa kebangsaan mereka dalam tempoh tertentu sebelum memulakan pengajian di negara-negara berkenaan.

Seiring matlamat ini, KPT sentiasa menyusun pintar, menginovasi, memperkemas serta menyelaras kursus bahasa Melayu untuk pelajar asing di semua institusi pengajian tinggi (IPT) supaya selari dan mencapai piawaian ditetapkan. Tidak hanya di IPT dan pusat bahasa terpilih, sudah tentu pendekatan sedemikian juga perlu dilakukan oleh majikan sebelum menerima kemasukan pekerja asing. Tekad untuk memperkasakan bahasa kebangsaan ini amat wajar dilaksanakan oleh sektor industri bukanlah semata-mata institusi pendidikan atau orang ramai sahaja.

Kehadiran pekerja asing memang mempunyai pro dan kontra yang perlu diberikan perhatian oleh pihak bertanggungjawab. Sebagai kelebihan, pekerja asing yang mahir di bidang tertentu dapat membantu mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor-sektor utama seperti pembinaan, perladangan, perindustrian dan perkhidmatan. Ini membantu memastikan projek-projek pembangunan dapat dijalankan dan negara terus maju.

Namun, kehadiran pekerja asing dalam jumlah besar juga menyebabkan masalah sosial dan ekonomi kepada masyarakat tempatan. Masalah yang timbul antaranya pekerja asing sering mendapat gaji rendah dan tidak mempunyai akses kepada pelbagai keistimewaan diberikan kepada pekerja tempatan seperti perumahan, kesihatan dan pendidikan.

Hal ini dapat menyebabkan persaingan yang ketat dalam pasaran pekerjaan dan mengganggu kestabilan sosial.

Oleh itu, pihak berkuasa perlu memastikan kemasukan pekerja asing dikawal dengan ketat dan diatur mengikut peraturan ditetapkan. Langkah-langkah seperti menetapkan had kemasukan, menyediakan perlindungan sosial untuk pekerja asing dan memantau keadaan tempat kerja harus dilakukan untuk memastikan kepentingan semua pihak dijaga. Dengan cara ini, kehadiran pekerja asing dapat memberi manfaat kepada negara tanpa mengganggu kestabilan sosial dan ekonomi.

Menurut Pengarah Eksekutif, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan, kemahiran pekerja tempatan perlu diiktiraf daripada pengalaman yang mereka miliki. Memperkenalkan jawatan yang relevan untuk rakyat dan giatkan promosi lebih kreatif dalam mengiklankan pekerjaan agar boleh menarik minat rakyat untuk bekerja dalam negara sahaja.

Sudah tentu cara ini, sektor ekonomi negara dan rakyat saling menikmati ganjaran daripada kemakmuran ekonomi yang dijana dan digembleng bersama. Sektor industri dalam masa sama turut meningkatkan citra bahasa kebangsaan. Demikianlah negara maju dunia memetakan keberhasilan negara seiring dengan pemartabatan bahasa negara mereka.

Sumber: Utusan Malaysia, 19 Mei 2023

Back to top button