Susah Sangatkah Hendak Belajar Bahasa Melayu?
TEMPOH 10 tahun sehingga 1967 setelah negara merdeka diberikan kepada rakyat bukan Melayu untuk mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa negara, khususnya dalam peranannya sebagai bahasa rasmi.
Masa ini diyakini mencukupi oleh semua pihak, termasuklah etnik bukan Melayu sendiri, untuk mengetahuinya dengan baik, justeru menguasainya pada tahap tinggi sebagai warganegara yang baik.
Keyakinan ini antaranya didasarkan kepada keghairahan etnik bukan Melayu yang amat ingin menjadi warganegara apabila negara ini merdeka.
Malah, kepimpinan negara pada masa itu juga amat yakin bahawa etnik bukan Melayu pasti akan mempelajari bahasa Melayu dengan tekun lagi gigih.
Ini diyakini atas dasar kesetiaan yang akan diberikan kepada negara ini setelah memperoleh kerakyatan yang mereka sendiri sangat-sangat inginkan.
Sehubungan ini, kerakyatan yang diberikan itu, selain atas semata-mata dasar dilahirkan di negara ini pada dan selepas hari kemerdekaan, adalah mudah sekali.
Ia hanya mengambil kira tempoh mastautin antara lima hingga lapan tahun sahaja, di samping berjaya mempamerkan adanya pengetahuan bahasa Melayu yang asas sahaja.
Dengan cara begini mudah, ramai sekali yang menjadi warganegara dalam masa sekelip mata sahaja.
Sebetulnya etnik Melayu selaku kelompok asal berasa amat gusar dan bimbang sekali dengan pemberian kerakyatan yang begitu mudah.
Akan tetapi kerana hasrat mereka untuk mendapat kemerdekaan secepat mungkin daripada penjajah, etnik Melayu sanggup berkongsi hak kerakyatan negara mereka dengan kelompok bukan asal.
Sehubungan ini, bukan sahaja hak baharu ikut diperuntuk, hak lama yang dinikmati terus dikekalkan. Ini termasuklah hak bahasa dan pendidikan yang bukan mudah ditangani.
Biarpun begitu, ia berjaya juga diuruskan oleh Penyata Pendidikan Razak 1956 yang kemudiannya dijadikan Ordinan Pendidikan 1957.
Penyata ini yang kemudiannya ditegaskan oleh Penyata Pendidikan Rahman Talib 1961 berupa asas kepada Akta Pendidikan 1961 dan juga pindaannya pada 1996.
Sesungguhnya dalam hal bahasa dan pendidikan ini, pada mulanya etnik Melayu bertegas bahawa sistem pendidikan negara menggunakan bahasa Melayu sahaja sebagai bahasa pengantar utamanya.
Manakala, sekolah vernakular Cina dan Tamil boleh dibenarkan terus wujud, tetapi hanya sebagai institusi swasta yang tidak boleh dibiayai kerajaan.
Bagi etnik bukan Melayu, mereka secara konsisten menegaskan keperluan untuk membenarkan mereka menggunakan bahasa ibunda Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar.
Selain ini, mereka juga mahu pendidikan vernakular sekolah rendah dan menengah Cina dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan negara.
SAMA RATA
Tidak dinafikan perbahasan sengit wujud sebelum beberapa penyelesaian berjaya dicapai bersama-sama. Yang pertama ialah bahasa Melayu adalah satu-satunya bahasa pengantar utama.
Seterusnya, hanya sekolah vernakular peringkat sekolah rendah adalah sebahagian daripada sistem pendidikan negara, dengan syarat bahasa Melayu harus diajar sebagai mata pelajaran wajib. Untuk sekolah menengah Cina, bahasa Mandarin sama sekali tidak dibenarkan digunakan sebagai bahasa pengantar.
Penyelesaian begini sebenarnya mengambil kira jati diri yang ingin dipupuk sebagai keperibadian nasional apabila merdeka nanti. Ia tidak lain dan tidak bukan bahawa identiti nasional bagi negara ini adalah menerusi penganjuran bahasa Melayu dan lain-lain yang Melayu sifatnya.
Manakala, identiti budaya bagi rakyat adalah melalui pemupukan dan pelestarian warisan budaya etnik masing-masing sesudah mengikuti tradisi Melayu sebagai yang utama.
Semangat dan sifat kepelbagaian beginilah yang harus terus dipertahan, iaitu Melayu yang semestinya Muslim sebagai yang utama untuk diikuti oleh lain-lain. Inilah petua afdal lagi mujarab yang disepakati secara kolektif untuk proses pembentukan negara bangsa.
Oleh itu, ia wajib selalu dipatuhi agar bukan sahaja bagi pertama-tamanya menjaga keharmonian antara etnik, tetapi ia juga penting untuk pembangunan negara dari segenap segi, sama ada sosiopolitik, sosioekonomi mahupun sosiobudaya.
Sebetulnya inilah seadil-adilnya governans dalam berkongsi kuasa dan tanggungjawab antara etnik Melayu dan bukan Melayu dalam negara Malaysia moden.
Ini kerana negara ini bertuan sewaktu kemasukan etnik bukan Melayu walaupun semasa penjajahan, apatah lagi sebelumnya.
Oleh itu, adalah sangat tidak kena untuk etnik bukan Melayu menuntut hak sama rata, dan dengan agresif pula waima atas apa-apa jua alasan.
Ini termasuklah yang selalu digunakan semenjak sekian lama, iaitu mereka juga membangunkan negara ini, malah dengan signifikannya dari segi sosioekonomi.
Meskipun begitu, etnik bukan Melayu, khususnya Cina harus terus menghormati etnik Melayu selaku kelompok asal dan kini majoriti lagi dominan, lebih-lebih lagi dari sisi sosiopolitik.
Ini kerana inilah resminya untuk terus menghuni dengan aman damai di negara yang bertuan. Sehubungan ini, tingkatkanlah pengetahuan dan penguasaan terhadap bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara.
Ia sebenarnya tidak rumit pun apabila terdapat kemahuan ikhlas untuk berbuat demikian yang sudah begitu lama tertangguh.
Kepelbagaian yang selalu dilaung-laungkan oleh etnik bukan Melayu dalam mempertahan bahasa etnik mereka, sebetulnya akan jauh lebih bermakna dalam erti kata yang sebenar-benarnya apabila mereka juga fasih sekali dalam bahasa Melayu.
Sumber: Utusan Malaysia, 4 April 2023
Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat Inastitut Masa Depan Malaysia (MASA) merangkap Felow Majlis Profesor Negara (MPN)